Kuala Lumpur, 9 Oktober 2023 – Pos Malaysia Berhad (“Pos Malaysia” atau “Kumpulan”), pembekal perkhidmatan pos dan bungkusan nasional, menyambut Hari Pos Sedunia 2023 hari ini. Sambutan tersebut merupakan acara global bagi meraikan perkhidmatan penting yang disediakan oleh sektor pos.
Sambutan di ibu pejabat Pos Malaysia bertemakan “Kepercayaan Bersama: Bekerjasama Demi Masa Depan yang Selamat dan Terhubung,” diserikan dengan kehadiran YB Fahmi Fadzil, Menteri Komunikasi dan Digital, dan YB Teo Nie Ching, Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital.
Tema bagi tahun ini menekankan perpaduan dan kerjasama untuk masa depan yang selamat dan saling berhubung.
Dalam ucapannya, YB Fahmi Fadzil merakamkan penghargaan pihak kerajaan kepada Pos Malaysia dan seluruh warga kerjanya atas beberapa inisiatif yang telah dilaksanakan seperti memperluas liputan capaian perkhidmatan pos di seluruh negara melalui rangkaian pejabat pos, pos mini dan “Pick Up Drop Off” di Pusat Ekonomi Digital (PEDi), serta penyediaan peluang pekerjaan kepada komuniti luar bandar di Sabah dan Sarawak seperti Posmen Komuniti (PK) dan Wakil Posmen Komuniti (WPK).
Mulai 9 hingga 13 Oktober, Pos Malaysia akan melancarkan beberapa aktiviti menarik di semua pejabat pos di seluruh negara seiring dengan ‘Minggu Bersama Pelanggan’ untuk menghargai pihak berkepentingan utamanya serta Wira Pos Malaysia dan rakyat.
Berikut beberapa aktiviti menarik untuk pelanggan Pos Malaysia:
•Sesi beramah mesra bersama pelakon Malaysia, Shaheizy Sam di GPO Shah Alam (9 Oktober, 12 tengah hari hingga 2 petang)
•Sesi beramah mesra bersama pemain Malaysian Football League (MFL) di pejabat pos berikut:
➢GPO Kedah (9 Oktober, 1 petang hingga 2 petang)
➢GPO Perak (10 Oktober, 12 tengah hari hingga 1 petang)
➢GPO Terengganu (11 Oktober, 12 tengah hari hingga 1 petang)
➢GPO Pahang (12 Oktober, 11 pagi hingga 12 tengah hari)
•Setiap hari, pelanggan yang berbelanja paling tinggi di seluruh negara berpeluang memenangi Wafer Emas 5gm dari 9 hingga 13 Oktober
•Peraduan Senang-Menang: Belanja sekurang-kurangnya RM20 untuk peluang memenangi hadiah tunai RM10,000
•Diskaun sehingga 20% untuk bungkusan domestik dan penghantaran antarabangsa
•Diskaun 50% untuk pembelian individu Setem Ku
•Cukai jalan motosikal percuma untuk setiap pembaharuan insurans motosikal
Dan di Pos Shop:
•Beli 1 aiskrim untuk 1 aiskrim percuma dari 9 hingga 13 Oktober, 11 pagi hingga 6 petang
•Pembelian-Bersama-Pembelian kopi RM1 dengan setiap pembelian 1 pau
•Putar Roda: Belanja sekurang-kurangnya RM15 untuk peluang memutar roda dan memenangi baucar beli-belah Pos Shop bernilai sehingga RM30
Charles Brewer, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia Berhad berkata, “Di Pos Malaysia, kami bersemangat untuk membina kepercayaan bagi menghubungkan kehidupan dan perniagaan untuk masa depan yang lebih baik. Rangkaian kami yang tiada tandingan, memberikan liputan terluas dan menghantar ke lebih daripada 11 juta alamat di seluruh negara, adalah bukti komitmen kami untuk berkhidmat kepada semua rakyat Malaysia di mana jua mereka berada. Dalam tinjauan Cabaran Kurier 2022 baru-baru ini yang dijalankan oleh MCMC, Pos Malaysia mencapai skor yang mengagumkan 96 peratus dalam prestasi penghantaran yang dijamin. Ini melebihi purata industri 78 peratus, mencerminkan dedikasi Pos Malaysia untuk memastikan kami menyampaikan perkhidmatan yang terbaik.”
Pos Malaysia juga bekerjasama dengan Postal Forum untuk menganjurkan pertandingan menulis surat “Apa Khabar?” dengan lebih daripada 470 buah sekolah rendah dan menengah melalui KESEF Club (Kelab Setem dan Filateli). Sekolah terpilih juga akan menerima Peti Harapan yang mengandungi poskad dan kata-kata harapan untuk para pelajar. Inisiatif ini bertujuan untuk mempromosikan seni menulis surat, menghubungkan rakyat Malaysia, dan mempromosikan penulisan kreatif di kalangan generasi muda, dengan peluang memenangi hadiah tunai bagi sekolah dengan jumlah penyertaan tertinggi.
Semasa majlis, Pos Malaysia mempamerkan rekaan unik setem peringatan bagi Hari Pos Sedunia, melambangkan warisan abadi perkhidmatan pos. Acara tersebut diakhiri dengan pelepasan kumpulan pertama van elektrik Pos Malaysia oleh YB Fahmi Fadzil dan YB Teo Nie Ching, memperlihatkan komitmen organisasi kepada masa depan yang lestari.
Charles Brewer berkata, “Ketika kami meneruskan perjalanan transformasi, kami bangga dengan peranan penting yang kami mainkan dalam membina kepercayaan dan menghubungkan rakyat Malaysia untuk masa hadapan yang lebih cemerlang. Kami berdiri sebagai ‘teladan’, memperjuangkan kelestarian untuk Malaysia dan sektor logistik.”
“Perasmian penggunaan van elektrik buat pertama kali ini merupakan langkah penting untuk mara ke hadapan dalam mencapai matlamat kami untuk menyampaikan 100% penghantaran melalui kenderaan elektrik pada 2030 dan komponen penting bagi komitmen kami untuk menjadi sifar bersih pada 2050,” tambahnya.
Van elektrik ini menyertai 105 buah motosikal elektrik dalam kumpulan kenderaan Pos Malaysia, menyampaikan secara lestari di sekitar Lembah Klang, Johor, Kedah, Pulau Pinang, dan Perak, serta telah mengumpul jarak perjalanan sebanyak 153,363km pada akhir September tahun ini.