Pos Malaysia Menyambut Hari Pos Sedunia 2024: Memperkukuhkan Komitmen untuk Sampaikan Hubungan, Tingkatkan Kehidupan

Pos Malaysia Menyambut Hari Pos Sedunia 2024 Memperkukuhkan Komitmen untuk Sampaikan Hubungan, Tingkatkan Kehidupan

Kuala Lumpur, 9 Oktober 2024 – Pos Malaysia Berhad (“Pos Malaysia”), penyedia perkhidmatan pos dan bungkusan nasional, hari ini menyertai perkhidmatan pos di seluruh dunia untuk memperingati Hari Pos Sedunia.

Disambut setiap tahun pada 9 Oktober, hari penting ini meraikan ulang tahun Kesatuan Pos Sedunia (UPU) sambil meningkatkan kesedaran tentang peranan sektor pos dalam kehidupan seharian masyarakat dan perniagaan serta sumbangannya kepada pembangunan sosial dan ekonomi dunia.

Tema Hari Pos Sedunia tahun ini, “150 tahun memudahkan komunikasi dan memperkasakan rakyat merentas sempadan”, menjadi tumpuan utama pada sambutan tempatan yang diadakan di ibu pejabat Pos Malaysia di Kompleks Dayabumi hari ini.

Dihadiri oleh YB Fahmi Fadzil, Menteri Komunikasi, dan YB Teo Nie Ching, Timbalan Menteri Komunikasi, acara tersebut mengetengahkan filem pendek baharu Pos Malaysia yang memaparkan kisah transformasi luar biasa Syarikat sepanjang dua abad yang lalu untuk menjadi lebih daripada sekadar pejabat pos untuk rakyat hari ini, dan komitmen teguh untuk menyampaikan hubungan dan meningkatkan kehidupan. Filem pendek dua minit itu mendapat tepukan gemuruh daripada penonton pada akhir tayangan.

Tan Sri Syed Faisal Albar, Pengerusi Pos Malaysia, berkata: “Filem pendek ini bukan sahaja menghormati warisan Pos Malaysia yang kaya dan berpanjangan di negara ini, tetapi yang lebih penting ia menandakan komitmen kami untuk terus memenuhi keperluan rakyat Malaysia yang sentiasa berubah dalam era digital ini. Kinii, Pos Malaysia bukan lagi sekadar menghantar surat dan bungkusan; kami kini menawarkan pelbagai produk dan perkhidmatan inovatif, termasuk logistik hujung ke hujung, pengendalian penerbangan (‘ground handling’), hingga ke penyelesaian runcit dan digital. Kami telah menempuh perjalanan yang jauh dalam tujuan kami untuk menghubungkan orang ramai dan perniagaan untuk masa depan yang lebih baik.”

YB Fahmi Fadzil menggemakan sentimen Tan Sri Syed Faisal Albar: “Walaupun kita berada di persimpangan antara tradisi dan inovasi, Pos Malaysia terus menjadi tulang belakang pembangunan perdagangan dan ekonomi negara kita. Semasa kita berkumpul untuk meraikan Hari Pos Sedunia, marilah kita mengingati bahawa perkhidmatan pos adalah lebih daripada sekadar sistem untuk menghantar surat dan bungkusan. Ia mewakili infrastruktur kritikal yang menyokong pertumbuhan ekonomi, memudahkan perdagangan, dan menghubungkan komuniti. Nilai sentuhan peribadi dan perkhidmatan pos kekal tidak terganti dalam era komunikasi digital pantas hari ini.”

Beliau memuji Pos Malaysia atas usaha berterusan untuk kecemerlangan perkhidmatan, dengan Pos Laju berjaya mencapai penarafan 4 bintang daripada program MyKurier dan dinobatkan sebagai penyedia perkhidmatan kurier terpantas dan paling dipercayai oleh MCMC Star Rating Awards 2023.

“Jadi, kepada semua warga Pos Malaysia – daripada Abang Pos yang bertugas tanpa mengira hujan atau panas, kepada kakitangan di pusat pengisihan, pejabat belakang dan kaunter perkhidmatan – kami menghargai dedikasi anda. Anda adalah wira yang tidak didendang yang memainkan peranan penting dalam mengekalkan hubungan negara kita,” tambah YB Fahmi Fadzil.

Menteri kemudiannya menyampaikan anugerah perkhidmatan lama kepada enam belas (16) pekerja Pos Malaysia yang telah berkhidmat dengan Syarikat selama 35 tahun dan ke atas.

Semasa acara tersebut, Pos Malaysia juga melancarkan set setem kenang-kenangan khas yang dilancarkan sempena Hari Pos Sedunia. Berharga RM50.50 setiap satu, set edisi terhad ini – yang datang dalam folder terdiri daripada lembaran setem, lembaran miniatur, sampul Hari Pertama dengan setem dan sampul Hari Pertama dengan lembaran miniatur – boleh didapati di semua Biro Filateli Pos Malaysia, termasuk 13 Pejabat Pos Besar di seluruh negara, dan dalam talian di https://shop.pos.com.my selagi stok masih ada.

Sambutan tersebut berakhir dengan YB Fahmi, YB Teo dan tetamu istimewa melepaskan kumpulan terbaru kenderaan elektrik (EV) Pos Malaysia, menggariskan komitmen organisasi untuk menyampaikan masa depan yang lebih hijau. Lebih 1,000 basikal elektrik dan lebih 300 van elektrik dijadualkan akan menyertai armada EV yang sedia ada dalam beberapa bulan akan datang.

“Sebagai organisasi progresif dalam memperjuangkan kelestarian untuk Malaysia dan sektor logistik, kami berbangga dengan kemajuan yang telah kami capai setakat ini dalam pelan tindakan kelestarian kami yang dilancarkan tahun lalu. Pada masa ini, Pos Malaysia mempunyai 200 motosikal elektrik dan 143 van elektrik, yang telah menempuh jarak 2.8 juta kilometer, bersamaan dengan 71 kali mengelilingi Bumi. Teras kepada perjalanan kami ke arah Net Sifar adalah peralihan kepada EV, di mana kami kini mempunyai armada EV terbesar dalam sektor logistik Malaysia. Bilangan EV kami yang semakin meningkat adalah bukti fokus berterusan kami untuk mengurangkan pelepasan yang dihasilkan oleh kenderaan dan akhirnya mencapai 100% penghantaran hijau first dan last-mile menjelang 2030,” kata Tan Sri Syed Faisal Albar.

Pos Malaysia dijadualkan akan memulakan promosi filem jenama baharunya dari 9 Oktober di pelbagai titik sentuh termasuk media sosial dan papan iklan digital. Ini diikuti dengan satu siri aktiviti menarik yang akan diadakan di pejabat-pejabat pos, dengan cenderamata edisi terhad yang boleh dimenangi oleh pelanggan yang membuat transaksi di mana-mana pejabat pos dari 16 Oktober hingga 31 Disember 2024.

Tonton filem pendek di laman kempen Pos Malaysia World kami di https://www.pos.com.my/world-of-posmalaysia.

Kekal terhubung dengan Pos Malaysia melalui www.pos.com.my atau ikuti kami di Facebook, X, Instagram, TikTok, YouTube, dan LinkedIn.

© 2024 BlackButterfly DesignArts