Pos Malaysia Memperluas Capaian Runcit dengan Pembukaan Pos Shop Baharu di Brickfields

Kuala Lumpur, 16 November 2023 – Pos Malaysia Berhad (“Kumpulan” atau “Pos Malaysia”) telah melancarkan kedai serbaneka Pos Shop keduanya yang terletak di lokasi strategik di Brickfields, Kuala Lumpur hari ini.

Pos Malaysia Memperluas Capaian Runcit dengan Pembukaan Pos Shop Baharu di Brickfields

Pos Shop baharu ini bersepadu dengan Pos Laju Brickfields yang sedia ada, merangkumi lebih 1,100 kaki persegi ruang runcit. Satu tambahan istimewa untuk cawangan Pos Shop Brickfields ini adalah pengenalan Pos Kafe, yang menawarkan pelanggan pelbagai makanan dan minuman sedia dimakan (RTE) di ruang makan selesa yang disediakan atau dibawa pulang. Pelancaran ini menandakan pembukaan Pos Shop kedua pada tahun ini, dengan Pos Shop pertama dilancarkan di Medan Tuanku, Kuala Lumpur pada bulan Mei 2023.

“Kami sangat gembira dengan maklum balas positif yang diterima daripada pembukaan Pos Shop pertama kami di Medan Tuanku. Kami yakin cawangan kedua ini akan mendapat sambutan yang menggalakkan daripada komuniti setempat. Dengan pengenalan Pos Kafe dalam Pos Shop, para pelanggan kini boleh menikmati makanan dan minuman yang disediakan segar setiap hari. Pilihan makanan yang tersedia ada dan mudah dijamu memudahkan pelanggan berikutan jadual harian mereka yang sibuk,” kata Sumesh Rahavendra, Ketua Pegawai Transformasi & Digital Kumpulan Pos Malaysia.

“Dalam perjalanan transformasi Pos Malaysia yang berterusan, kami komited untuk menyampaikan konsep peruncitan inovatif yang memberikan nilai tambah untuk para pelanggan kami. Kami sedang meningkatkan ruang runcit kami yang luas untuk menawarkan lebih banyak perkhidmatan dan kemudahan kepada rakyat,” tambah Sumesh. “Sebagai sebuah organisasi yang bersemangat dalam membina kepercayaan untuk menghubungkan kehidupan dan perniagaan demi masa hadapan yang cemerlang, kami berazam untuk menyampaikan khidmat kepada komuniti setempat melewati batasan transaksi pos tradisional,” beliau menyimpulkan.

Memanfaatkan capaian dan tapak runcit yang luas, Pos Shop menawarkan pelbagai pilihan minuman, pencuci mulut, snek, dan produk penjagaan diri pada harga yang kompetitif. Pos Shop Brickfields dibuka dari jam 6 pagi hingga 12 tengah malam setiap hari dan terletak di Jalan Tun Sambanthan, Brickfields, 50470 Kuala Lumpur. Pos Shop Brickfields kini menjalankan promosi pembukaan Beli 1 percuma 1 untuk aiskrim dan pau sehingga akhir bulan ini.

Pos Malaysia bercadang untuk membuka 9 buah lagi kedai serbaneka Pos Shop di Pahang, Selangor, Johor dan Melaka menjelang akhir tahun ini bagi menawarkan pengalaman dalam kedai dan kemudahan runcit yang menarik sambil berkhidmat kepada komuniti di seluruh Malaysia.

© 2023 BlackButterfly DesignArts