Pos Malaysia Memperkenalkan Bayaran Tanpa Tunai Bagi Perkhidmatan Ubat Melalui Pos (UMP)

Pos Malaysia Memperkenalkan Bayaran Tanpa Tunai Bagi Perkhidmatan Ubat Melalui Pos (UMP)

Kuala Lumpur, 14 Jun 2024 – Pos Malaysia Berhad (“Pos Malaysia”), penyedia perkhidmatan pos dan bungkusan nasional, dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kiplepay, dengan bangganya mengumumkan pelancaran sistem pembayaran dalam talian untuk perkhidmatan Ubat Melalui Pos (UMP). Peningkatan ini mencerminkan komitmen bersama untuk memperbaiki dan meningkatkan kemudahan sistem kesihatan bagi rakyat Malaysia, terutamanya bagi mereka yang mempunyai keupayaan terhad untuk mengunjungi fasiliti kesihatan.

Perkhidmatan UMP yang beroperasi sejak tahun 2011 adalah penting dalam memastikan pesakit menerima ubat yang ditetapkan secara langsung di rumah mereka dan memudahkan pematuhan kepada ubat-ubatan yang ditetapkan. Bagi tempoh Julai-Disember 2023, UMP dan Pos Malaysia telah menghantar lebih daripada 348,501 bungkusan preskripsi, menekankan peranannya yang penting dalam menyokong inisiatif sistem kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia.

Ciri pembayaran dalam talian yang diperkenalkan baru-baru ini, yang diintegrasikan melalui gerbang pembayaran Pos Malaysia ke dalam aplikasi MyUBAT KKM, membolehkan pesakit membuat pembayaran yang selamat dan mudah dari mana-mana sahaja. Sistem ini menyokong pelbagai kaedah pembayaran, termasuk kad kredit dan debit serta perbankan dalam talian, memastikan proses transaksi yang lancar bagi semua pengguna.

Charles Brewer, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia berkata, “Inisiatif ini mempamerkan komitmen kami terhadap inovasi dan kebolehcapaian dalam penjagaan kesihatan. Dengan mengintegrasikan teknologi pembayaran canggih ini ke dalam perkhidmatan UMP dengan lancar, kami sedang menyusun semula operasi dan memastikan akses yang mudah bagi kemudahan semua. Ini menunjukkan dedikasi kami dalam memenuhi pelbagai keperluan rakyat.”

Pn. Norhaliza binti A. Halim, Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia berkata, “Pengenalan pilihan pembayaran dalam talian melalui kerjasama ini bukan sahaja sejajar dengan matlamat transformasi digital kami, tetapi juga meningkatkan pengalaman pengguna dengan ketara. Ia memudahkan proses bagi pesakit kami, yang kebanyakkannya bergantung pada perkhidmatan penting ini untuk keperluan perubatan bulanan mereka.”

Norhizam Kadir, Pengarah Eksekutif syarikat e-dompet dan pembayaran fintech, Kiplepay Sdn. Bhd. amat berbesar hati dengan kerjasama ini dalam usaha memacu inisiatif inovasi dan pendigitalan, dan berkata, “Kami sangat berbangga untuk menjadi sebahagian daripada inisiatif revolusi pembayaran digital melalui keselamatan data transaksi, pengalaman yang memudahkan pengguna, dan fleksibiliti mod pembayaran digital. Kami komited untuk menyampaikan inovasi yang akan menyediakan akses digital sekaligus memenuhi keperluan pelanggan dan pengguna kami.”

“Dengan rangkaian penghantaran destinasi terakhir yang menjangkau lebih daripada 11 juta alamat dan lebih daripada 3,500 titik sentuh di seluruh negara, Pos Malaysia memainkan peranan penting dalam menghubungkan komuniti dan perniagaan. Pengenalan pembayaran dalam talian untuk UMP bukan sahaja mencerminkan komitmen kami untuk berinovasi tetapi juga usaha gigih kami dalam meningkatkan perkhidmatan kami. Pos Malaysia bersemangat dalam membina kepercayaan untuk menghubungkan kehidupan dan perniagaan demi masa hadapan yang cemerlang,” tambah Charles.

Perkhidmatan UMP tersedia di 354 fasiliti kesihatan Kementerian Kesihatan di seluruh negara. Pengguna yang berminat boleh mengakses aplikasi mudah alih MyUBAT melalui Google Play, App Store, atau AppGallery untuk mendaftar dan menggunakan ciri pembayaran dalam talian. Untuk maklumat lanjut, sila layari https://myubat.pharmacy.gov.my.

Kekal berhubung dengan Pos Malaysia melalui www.pos.com.my, atau ikuti kami di Facebook, X, Instagram, Tik Tok, YouTube dan LinkedIn.

© 2023 BlackButterfly DesignArts