Reka bentuk tersembunyi pada setem, lihat di bawah pancaran cahaya UV
14 September 2024 – Sempena Hari Malaysia 2024, Pos Malaysia Berhad (“Pos Malaysia”), penyedia perkhidmatan pos dan bungkusan nasional, telah melancarkan set folder edisi khas dengan tema ‘Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka’. Koleksi ini memperingati pembentukan Malaysia pada 16 September 1963 dan mencerminkan komitmen negara terhadap perpaduan dan kemajuan.
Set folder edisi khas yang berharga RM33.80 ini termasuk:
- 1 Helaian Setem (20 x setem RM1.30)
- 1 Sampul Surat Hari Pertama dengan setem (termasuk risalah percuma)
- 1 Folder
Hari Malaysia, kali ini mengambil tema ‘Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka’. Tema ini menekankan Malaysia MADANI sebagai tunjang kepada kemakmuran dan kemajuan negara melalui dukungan enam nilai teras utama. Jiwa Merdeka adalah penzahiran kepada kebebasan rakyat Malaysia daripada sebarang elemen negatif dalam menginterpretasikan semangat patriotisme dan cinta negara melalui pemikiran, integrasi sosial dan ekonomi seterusnya membentuk satu kesatuan rakyat yang kukuh, harmoni dan progresif, mencerminkan kesepaduan dalam sebuah negara yang maju dan bersatu hati.
Tema ini tercermin dalam koleksi yang direka oleh jenama kreatif tempatan, Loka Made, yang memaparkan identiti pelbagai budaya Malaysia melalui ilustrasi indah pelbagai bangsa, semuanya berlatarbelakangkan mercu tanda ikonik negara. Tema ini turut terserlah dalam penggunaan peribahasa, “Seikat bagai sirih, serumpun bagai serai” pada setem.
Ciri utama koleksi Hari Malaysia 2024 adalah penggunaan dakwat limunan pada setem, yang mendedahkan reka bentuk tersembunyi di bawah cahaya UV. Ciri inovatif ini menambah elemen interaktif kepada setem koleksi.
Dapatkan koleksi unik ini mulai 17 September 2024 di semua 90 Pejabat Filateli di seluruh negara, termasuk 13 Pejabat Pos Am, dan secara dalam talian di https://shop.pos.com.my sementara stok masih ada!
Kekal terhubung dengan Pos Malaysia melalui www.pos.com.my atau ikuti kami di Facebook, X, Instagram, Tik Tok, YouTube, dan LinkedIn.