Kuala Lumpur, 3 April 2024 – Pos Malaysia Berhad (“Pos Malaysia” atau “Syarikat”), penyedia perkhidmatan pos dan bungkusan nasional, dan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Polis Diraja Malaysia (PDRM) Perak, baru-baru ini bergabung untuk melancarkan Program Pencegahan Jenayah Komersial – Penipuan Telefon. Program ini bertujuan untuk memerangi peningkatan jumlah kes penipuan dan telah dilancarkan di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Perak, melambangkan semangat perpaduan menentang ancaman penipuan.
Zaini Yahman, Pengarah Operasi Pos Malaysia, menekankan kepentingan usaha bersama dalam memerangi penipuan. “Kerjasama kami dengan PDRM merupakan langkah strategik untuk meningkatkan pencegahan dan mendidik masyarakat untuk mengelak daripada menjadi mangsa penipuan,” kata Zaini. Beliau mengongsikan beberapa inisiatif termasuk sesi kesedaran anti-penipuan untuk kakitangan barisan hadapan dan pelanggan, serta pengedaran bahan pendidikan melalui pelbagai saluran.
CP Dato’ Sri Mohd Yusri bin Haji Hassan Basri, Ketua Polis Perak menekankan betapa seriusnya masalah penipuan telefon, dengan 2,447 kes penipuan atas talian disiasat di Perak pada 2023, mengakibatkan kerugian kewangan berjumlah hampir RM78 juta. Daripada 2,447 kes penipuan atas talian, 226 adalah penipuan melalui telefon yang mengakibatkan kerugian sebanyak RM3,785,932.05.
“Kerjasama dengan Pos Malaysia ini tepat pada masanya dan kritikal dalam usaha kami menentang jenayah siber,” ujar Dato’ Sri Mohd Yusri. Beliau menekankan kepentingan pendekatan secara langsung dengan masyarakat awam dan keperluan untuk advokasi berterusan melalui kerjasama seperti ini. Program ini melibatkan pengedaran risalah anti-penipuan, memanfaatkan media sosial dan kaedah komunikasi lain untuk menyebarkan kesedaran kepada masyarakat Perak. Pos Malaysia dan PDRM Perak menekankan kepentingan projek perintis ini dengan harapan untuk memperluaskannya ke seluruh negara, mencerminkan komitmen bersama untuk melindungi rakyat Malaysia dari aktiviti penipuan.
Pos Malaysia mempunyai capaian jarak jauh yang paling luas, dengan penghantaran kepada lebih daripada 11 juta alamat di seluruh negara. Pos Malaysia turut menyediakan rangkaian runcit yang paling komprehensif melalui lebih daripada 3,500 titik sentuh di seluruh Malaysia. Infrastruktur ini tidak hanya menonjolkan peranan Pos Malaysia sebagai penghubung utama kehidupan dan perniagaan tetapi juga menegaskan dedikasinya terhadap keperluan rakyat yang pelbagai. Pada tahun 2023, kecemerlangan perkhidmatan Pos Malaysia diperakui oleh data dari Universal Postal Union (UPU), mencatat prestasi mengagumkan dengan skor 94.8% untuk Sistem Pemantauan Global bagi mel masuk, 97.1% untuk Prestasi Penghantaran Servis Mel Ekspres, dan 94.5% untuk Prestasi Penghantaran Bungkusan, melebihi sasaran dalam semua kategori. Kejayaan ini bukan sahaja menunjukkan kecekapan dan kebolehpercayaan Pos Malaysia tetapi juga mengukuhkan kedudukannya sebagai organisasi yang peka terhadap jenayah penipuan, menegaskan komitmen berterusannya untuk melindungi pengguna.
Pos Malaysia dan PDRM menggesa orang ramai untuk sentiasa berwaspada dan cakna tentang taktik penipuan terkini sindiket penipuan. Kempen ini menyampaikan mesej bahawa tindakan kolektif dan kesedaran adalah kunci untuk mencegah penipuan. Orang ramai digalakkan untuk menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan di 997 atau WhatsApp Unit Siasatan Jenayah Komersial di 013-2111222 untuk melaporkan sebarang bahan komunikasi yang meragukan atau mereka boleh menyemak nombor akaun yang mencurigakan di semakmule.rmp.gov.my.
Kekal terhubung dengan Pos Malaysia melalui www.pos.com.my atau ikuti kami di Facebook, X, Instagram, Tik Tok, YouTube, dan LinkedIn.