PointStar dan MPC Memperkenalkan DALIA 2.0 pada Sidang Kemuncak Go Digital 2024: Gemini for Google Cloud, Memacu Produktiviti melalui AI

PointStar dan MPC Memperkenalkan DALIA 2.0 pada Sidang Kemuncak Go Digital 2024 Gemini for Google Cloud, Memacu Produktiviti melalui AI

Kuala Lumpur, 26 September – Sidang Kemuncak Go Digital: Gemini for Google Cloud Day 2024 yang dinanti-nantikan, anjuran PointStar, peneraju transformasi AI awan dan penyelesaian digital, telah berlangsung minggu lepas di Le Meridien Hotel, Kuala Lumpur. Acara tahun ini yang tertumpu kepada penerokaan komprehensif Gemini, penyelesaian berbilang mod janaan AI termaju Google, menunjukkan potensinya dalam mentransformasikan pelbagai industri dan fungsi perniagaan.  

Acara yang dijayakan dengan kerjasama Google Cloud ini menampilkan  beberapa program komprehensif termasuk ucaptama, forum perbincangan, pameran oleh pelbagai syarikat, dan peluang untuk membina rangkaian perhubungan. Acara kali ini memberi fokus kepada peranan Gemini dalam merevolusikan proses kerja, meningkatkan kerjasama, dan memacu inovasi. Agenda utama pada acara itu ialah pengenalan program Pecutan Digital untuk Pembelajaran dan Penerimagunaan Industri (DALIA) 2.0, kesinambungan daripada kejayaan program DALIA yang dilancarkan semasa Google Cloud Day 2023, dengan kerjasama Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), sebuah agensi kerajaan di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan, dan Industri (MITI).

Program DALIA, yang merupakan salah satu Program Peningkatan Produktiviti MPC, telah bekerjasama dengan PointStar dalam membimbing hampir 100 organisasi di Malaysia pada tahun 2023 untuk memulakan perjalanan digitalisasi mereka menerusi penyelesaian AppSheet Google Cloud, platform pembangunan tanpa kod. Susulan kejayaannya, program DALIA 2.0 menyasarkan untuk membantu lebih banyak lagi syarikat pada tahun 2024. DALIA 2.0 juga bakal melancarkan program peningkatan baharu iaitu Program Penerapan Transformasi AI. Program ini akan membantu setiap syarikat yang mengambil bahagian untuk melaksanakan penyelesaian AI dan Awan yang boleh mencapai sekurang-kurangnya RM1 juta penciptaan nilai dalam tempoh 3 tahun. 

“Kami teruja kerana dapat meraikan Sidang Kemuncak Go Digital: Gemini for Google Cloud Day bersama dengan pelancaran program DALIA yang telah berlangsung selama dua tahun dan selanjutnya,” ujar Ketua Pegawai Eksekutif PointStar, Justin Lee. “Kami berharap acara hari ini akan memberi inspirasi kepada lebih banyak organisasi untuk menerima pakai AI dan memulakan perjalanan transformasi mereka sendiri, memacu pertumbuhan yang luar biasa dan bersedia untuk menghadapi masa depan.”

Dihadiri lebih 300 peserta, sidang kemuncak ini menekankan bagaimana pengintegrasian AI seperti Gemini berupaya menangani pelbagai cabaran perniagaan yang besar. Acara ini menampilkan ucaptama dan sesi perbincangan sampingan mengenai strategi untuk mengoptimumkan penggunaan AI daripada pakar industri di Logitech, Yubico, Wood Wing, PIKOM, QSR Brands, dan banyak lagi. Selain itu, para hadirin juga berpeluang untuk menerokai pameran penyelesaian transformasi yang dipersembahkan oleh vendor terpilih, membolehkan mereka berinteraksi sendiri dengan inovasi tercanggih.

PointStar dan MPC Memperkenalkan DALIA 2.0 pada Sidang Kemuncak Go Digital 2024 Gemini for Google Cloud, Memacu Produktiviti melalui AI

Ketua Kejuruteraan Pelanggan Google Cloud Malaysia, Michael Hoo berkata, “Sidang Kemuncak Go Digital mempamerkan potensi-potensi apabila semua perniagaan tanpa mengira saiz menggunakan model janaan AI dan Gemini Google pada Vertex AI untuk meningkatkan produktiviti mereka dan menambah baik proses membuat keputusan. Kami berbesar hati kerana dapat mengembangkan kerjasama kami dengan PointStar dan MPC bagi melengkapkan organisasi Malaysia dengan teknologi AI dan Awan yang termaju, dan memperkasakan mereka dengan kepakaran yang diperlukan untuk berjaya dalam era AI baharu ini.”

Timbalan Ketua Pengarah MPC, Dr Mohamad Norjayadi Tamam turut berkongsi keterujaan beliau, “Kami gembira dengan kejayaan program DALIA yang terdahulu dan yakin bahawa DALIA 2.0 akan membawa hasil yang lebih baik. Program yang dipertingkatkan ini akan menerapkan penyelesaian AI terkini daripada Google Cloud sebagai pemacu berkuasa, yang berupaya memperkasakan lebih banyak perniagaan dalam melicinkan proses dan mempercepatkan lagi perjalanan transformasi digital mereka. Kerjasama erat daripada PointStar adalah penting dalam usaha meningkatkan produktiviti. Menerusi program ini, kami menyasarkan untuk membantu setiap syarikat yang mengambil bahagian dalam program ini mencipta nilai sebanyak RM1 juta dalam tempoh 3 tahun. MPC berhasrat untuk membangunkan syarikat model produktiviti yang dilengkapi dengan teknologi terkini, khususnya, memupuk minda pertumbuhan menerusi penggunaan mekanisme yang cekap untuk meningkatkan produktiviti. Kerjasama dengan Google Cloud Malaysia dan PointStar ini bakal membantu kami mencapai aspirasi tersebut, serta meningkatkan prestasi daya saing Malaysia dalam penarafan global.”

PointStar dan Google Cloud kekal komited dalam usaha untuk memperkasakan perniagaan bagi memastikan mereka dapat berkembang pesat dalam era digital masa kini. Dengan menggabungkan kepakaran dan sumber, kedua-dua entiti itu akan terus melabur dalam teknologi canggih seperti AI bagi mencipta penyelesaian berinovatif yang berupaya memacu pertumbuhan dan kejayaan demi masa depan perniagaan dan industri di Malaysia.

Untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai Sidang Kemuncak Go Digital: Gemini for Google Cloud Day 2024, sila kunjungi laman sesawang: https://www.pointstar.com.my/go-digital-summit-gemini-google-cloud-2024/. Ketahui lebih lanjut mengenai program DALIA di laman sesawang ini: https://www.pointstar.com.my/mpc-business-go-digital-programs/

© 2024 BlackButterfly DesignArts