Pine Labs bekerjasama dengan Standard Chartered Malaysia bagi menawarkan pilihan ansuran 0% faedah ke atas kad kredit

Kuala Lumpur, 17 November 2021 – Platform perdagangan peniaga terkemuka, Pine Labs hari ini mengumumkan kerjasamanya dengan Standard Chartered Malaysia. Pelanggan Bank itu di Malaysia kini berpeluang untuk memilih ansuran 0% faedah ke atas kad kredit di mana-mana titik jualan (POS) yang dikuasakan oleh Pine Labs. Lebih 25,000 premis perniagaan di Malaysia yang menggunakan terminal POS Pine Labs akan dilengkapi untuk memproses pembelian secara ansuran ini atau lebih dikenali sebagai penawaran Beli Sekarang Bayar Kemudian (BNPL).

Susulan kejayaannya di India, di mana Pine Labs menjadi salah satu daripada penyedia perkhidmatan BNPL luar talian yang utama, syarikat itu telah melancarkan perkhidmatan BNPL di Malaysia pada Mac 2021. Standard Chartered Malaysia kekal sebagai salah satu penyedia kredit utama yang menyertai Pine Labs dalam jangka masa singkat.

“Kami berasa amat gembira kerana dapat bekerjasama dengan Standard Chartered bagi menyediakan penyelesaian mampu milik yang unik kepada pelanggan mereka. Pada kebiasaannya, untuk BNPL, bank hanya memberi tumpuan kepada barangan elektronik pengguna dan kelengkapan rumah kerana nilai pembelian yang besar dalam kategori tersebut. Kini dengan peralihan trend pengguna ke arah keperluan untuk mendapatkan setiap peluang penjimatan ketika membuat pembayaran, telah merangsang kemunculan pelbagai kategori baru. Kerjasama kami dengan Standard Chartered memberikan peluang kepada pelanggan mereka untuk berbuat demikian. Kami juga merancang untuk melancarkan beberapa perkhidmatan bernilai tambah yang lain dari semasa ke semasa seperti pulangan tunai dan diskaun untuk pelanggan kad kredit Standard Chartered,” kata Ketua Pembayaran Perniagaan Asia Pasifik Pine Labs, Chayan Hazra.


“Pandemik yang melanda telah menjejaskan ramai rakyat Malaysia, dan sedang kita berusaha untuk kembali pulih, kerjasama dengan Pine Labs dalam penyelesaian BNPL ini akan menghubungkan pelanggan kami dengan ekosistem perniagaan yang lebih luas bagi menyediakan cara yang lebih fleksibel dan terurus untuk membuat pembelian atau membayar bil. Ianya selaras dengan komitmen Bank untuk meningkatkan akses kepada produk, keterangkuman kewangan dan perkhidmatan bernilai tambah kepada pelanggan kami,” kata Ketua Perbankan Pengguna, Peribadi dan Perniagaan Standard Chartered Malaysia, Sammeer Sharma.

Perniagaan runcit yang sedang berusaha untuk kembali pulih pasca gangguan COVID-19 boleh menjadikan penggunaan BNPL di titik jualan sebagai satu alat yang berkesan untuk meningkatkan jualan. Penggunaan pembayaran BNPL di Malaysia semakin meningkat dan dijangka akan terus berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) 33.2% sepanjang 2021-2028, menurut laporan  Research and Markets.[1]


[1] https://www.researchandmarkets.com/reports/5305023/malaysia-buy-now-pay-later-business-and

© 2023 BlackButterfly DesignArts