Perhatikan Tanda Amaran Denggi, Segera Rujuk Jabatan Kecemasan Sekiranya Bergejala Teruk

Perhatikan Tanda Amaran Denggi, Segera Rujuk Jabatan Kecemasan Sekiranya Bergejala Teruk

Jurucakap: Dr Aaron Lai Kuo Huo, Pakar Perubatan Kecemasan, Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway

Pertambahan kes denggi yang dilaporkan di seluruh negara baru-baru ini meningkatkan kesedaran awam untuk terus berwaspada terhadap tanda-tanda amaran yang berkaitan dengan penyakit itu.

Dr Aaron Lai Kuo Huo, Pakar Perubatan Kecemasan dari Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway menekankan kepentingan pengesanan awal jangkitan denggi bagi memudahkan rawatan segera dan mengurangkan risiko komplikasi yang mungkin berlaku.

Perhatikan Tanda Amaran Denggi, Segera Rujuk Jabatan Kecemasan Sekiranya Bergejala Teruk
Dr Aaron Lai Kuo Huo, Pakar Perubatan Kecemasan, Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway

Tanda amaran dan gejala jangkitan denggi

Menurut Panduan Amalan Klinikal Kementerian Kesihatan (KKM) mengenai pengurusan jangkitan denggi, antara tanda amaran yang perlu diperhatikan dan dipantau rapi adalah sakit perut, muntah berterusan melebihi tiga kali sehari, cirit-birit berterusan melebihi tiga kali sehari, mengantuk, sukar bernafas, gusi atau hidung berdarah, serta najis berwarna hitam.

“Pesakit perlu segera mendapatkan rawatan perubatan di jabatan kecemasan atau klinik pengamal am (GP) bergantung kepada tahap keterukan dan kebolehcapaian.

“Walau bagaimanapun, sekiranya mengalami sebarang gejala atau tanda amaran yang teruk, atau pesakit tergolong dalam kumpulan yang berisiko dijangkiti denggi, mereka harus mengutamakan rawatan perubatan di jabatan kecemasan di hospital,” katanya baru-baru ini.

Gejala utama demam denggi yang lain ialah sakit kepala, sakit badan, ruam dan sakit di belakang mata.

Walaupun simptom ini mungkin menyamai penyakit biasa yang lain seperti selesema, beliau berkata kebiasaannya pesakit demam denggi turut mengalami sakit otot dan sendi yang lebih teruk, serta boleh menyebabkan komplikasi lebih kronik seperti demam denggi berdarah (DHF) atau sindrom kejutan denggi (DSS).

Ciri-ciri DHF dan DSS ialah pendarahan dalaman yang teruk, kiraan platelet yang rendah, kebocoran plasma, dan kerosakan organ.

Proses diagnostik biasa untuk demam denggi melibatkan kombinasi penilaian klinikal dan ujian makmal. Terlebih dahulu, doktor akan menilai simptom pesakit yang biasanya dikaitkan dengan demam denggi dan sama ada pesakit tinggal di kawasan endemik denggi atau pernah mengunjungi kawasan wabak denggi dalam masa terdekat.

Selain itu, doktor akan menilai status hemodinamik pesakit dan memeriksa tanda-tanda komplikasi pendarahan akibat denggi. Oleh kerana diagnosis klinikal denggi tidak spesifik, maka diagnosis definitif denggi memerlukan pengesahan makmal.

Ujian makmal yang tersedia untuk diagnosis denggi termasuk ujian pengesanan pantas denggi (Antigen Denggi NS1, antibodi IgM/IgG Denggi), ujian serologi denggi (digunakan untuk mengenal pasti antibodi melawan denggi) dan pengesanan RNA virus denggi (digunakan untuk mengesan bahan genetik, RNA virus denggi di dalam darah).

Ujian darah lain yang sering dilakukan ialah kiraan darah penuh untuk mengetahui kiraan platelet, sel darah putih, paras hematokrit dan sel darah merah.

Jelas Dr Aaron, kiraan platelet dan bilangan sel darah putih yang rendah adalah sesuatu yang biasa berlaku apabila mengalami denggi. Ujian fungsi buah pinggang atau fungsi hati juga boleh dilakukan untuk memeriksa kerosakan organ terutamanya dalam kes demam denggi yang teruk.

Dalam kes demam denggi yang teruk, imbasan sinar-x pada bahagian dada atau pengimejan ultrabunyi (point-of-care ultrasound) pada anggota badan lain akan dilakukan untuk mengesan sekiranya terdapat pengumpulan cecair akibat saluran darah yang rosak serta menilai tahap kerosakan organ.

“Melalui penilaian klinikal dan ujian makmal, doktor boleh memastikan kebarangkalian jangkitan denggi, fasa jangkitan denggi dan tahap keterukan penyakit itu,” jelasnya.

Tahap jangkitan denggi

Fasa Demam (Febrile Phase) merupakan demam yang berlanjutan selama tiga hingga lima hari. Dalam fasa ini, pesakit akan mengalami demam dan sakit sendi, sakit otot, sakit kepala, serta gejala lain.

Perubahan paling ketara dalam kiraan darah lengkap ialah penurunan mendadak kiraan sel darah putih, diikuti dengan pengurangan paras platelet.

Selepas itu, pesakit mungkin memasuki Fasa Kritikal yang boleh bertahan antara 48 hingga 72 jam.

Pada peringkat ini, pesakit mungkin mengalami gangguan peredaran darah yang berbeza-beza. Dalam kes yang teruk, pesakit akan mengalami komplikasi serius seperti pendarahan dalaman, pembentukan lebihan cecair dalam paru-paru atau perut, tekanan darah rendah, kegagalan buah pinggang dan hati serta koma, sehingga boleh menyebabkan kematian.

Walau bagaimanapun, dalam kes ringan, pesakit selalunya tidak akan mengalami sebarang peredaran darah yang luar biasa dan akan pulih dengan sendirinya.

Selepas Tahap Kritikal, pesakit akan melalui Fasa Pemulihan apabila gejala denggi beransur hilang, manakala kiraan platelet darah dan sel darah putih kembali kepada normal.

“Pesakit yang dijangkiti virus denggi perlu dirujuk kepada fasiliti penjagaan kesihatan bagi mendapatkan diagnosis yang tepat dan memberikan rawatan yang betul.

“Sebagai contoh, pesakit yang mengambil ubat anti-radang bukan steroid (NSAID) seperti aspirin dan masih mengambilnya biarpun setelah dijangkiti denggi, berpotensi meningkatkan risiko pendarahan.

“Segeralah merujuk kepada doktor untuk mengharungi fasa yang mencabar itu,” nasihat Dr Aaron.

Faktor dan langkah mitigasi

Berdasarkan statistik KKM, Malaysia melaporkan peningkatan 86.3 peratus kes denggi pada tahun lepas berbanding pada tahun 2022.

Awal bulan ini, Ketua Pengarah KKM Dr Muhammad Radzi Abu Hassan mendedahkan kes denggi dalam tempoh lima minggu pertama tahun ini ialah 18,247 kes, meningkat 65.6 peratus berbanding 11,127 kes dalam tempoh yang sama pada 2023.

Statistik terkini di Lembah Klang juga menunjukkan lonjakan ketara dalam kes dengan peningkatan 72.8 peratus di Kuala Lumpur dan Selangor dengan peningkatan 69.9 peratus tahun ini, seperti laporan berita.

Dr Aaron menjelaskan bahawa faktor iklim seperti suhu dan taburan hujan memainkan peranan penting dalam pola jangkitan denggi di Malaysia.

Sebagai langkah mitigasi daripada mendapat demam denggi, terutama bagi mereka yang tinggal di kawasan berisiko tinggi, Dr Aaron mengesyorkan penggunaan ubat nyamuk yang mengandungi diethyltoluamide (DEET), dan memasang kelambu atau skrin ketika tidur.

“Menghapusakan sumber air yang bertakung adalah penting kerana kawasan ini boleh menjadi tempat pembiakan nyamuk.

“Selain itu, pakai pakaian berlengan panjang dan jaga kebersihan persekitaran tempat tinggal kita,” saran Dr Aaron.

© 2023 BlackButterfly DesignArts