Percutian terbaik daripada pertemuan Aegean dan Mediterania di Bodrum

Kuala Lumpur, 27 Jun 2023 – Tahukah anda Muğla, yang terletak di pertemuan laut Mediterranean dan Aegean, memiliki beberapa tarikan pelancong yang paling terkenal di Türkiye, termasuk Bodrum, Fethiye, Marmaris, Datça, Göcek, Ölüdeniz dan Köyceğiz? Menerusi dua lapangan terbang antarabangsanya yang terletak di Bodrum-Milas dan Dalaman, ternyata rantau berkenaan menggamit kehadiran pengunjung dengan landskapnya yang serba biru dan menghijau, bandar antik, artifak menarik, udara segar, lautan pirus, juga teluk yang bersih.  Ayuh kita terokai pusat peranginan Muğla, wilayah  yang memiliki pantai terpanjang di Türkiye dan destinasi percutian musim panas yang popular dalam kalangan pengembara…

Percutian terbaik daripada pertemuan Aegean dan Mediterania di Bodrum

Bodrum: Kegemaran Turkaegean

Bodrum, tidak dinafikan antara destinasi percutian sepanjang pantai paling popular di Türkiye. Terletak di persisiran pantai indah dengan air berkilauan, pasir keemasan dan pantai Blue Flag sememangnya menyediakan pengalaman percutian menarik buat penggemar sinaran mentari dan lautan serta pada masa sama, turut menyediakan lokasi yang sesuai untuk pelbagai aktiviti di air khususnya selam skuba.  Peminat sejarah pula harus mengunjungi Istana Bodrum Castle yang dibina oleh Knights of Rhodes pada abad ke-15 dan Muzium Bawah Laut Bodrum di dalam istana berkenaan, manakala tinggalan Mausoleum of Halicarnassus, satu daripada Tujuh Keajaiban Dunia Purba, memberikan sentuhan keanggunan zaman purba ke bandar tersebut. Pengunjung juga boleh menikmati pemandangan mengagumkan di persekitaran dok yang dihiasi dengan pohon eucalyptus dan marina dengan deretan “gulets” (sejenis bot biasa di Bodrum) berlabuh di Pelabuhan Bodrum yang menjadi medan kapal bertandang sejak lebih 3,000 tahun. Pelabuhan itu juga adalah titik permulaan pengalaman meneroka lautan menaiki bot, daripada lawatan bot sepanjang hari sehinggalah percutian di atas kapal Blue Cruises selama beberapa hari. Tidak ketinggalan, destinasi kulinari menyajikan makan malam enak di Bodrum. Lebih mengasyikkan dengan menyaksikan pemandangan indah tatkala matahari tenggelam terutama dari pelabuhan, marina dan kawasan tepian pantai yang menempatkan aneka restoran yang menyediakan pilihan tersendiri daripada sajian makanan Turki dan antarabangsa.

Percutian terbaik daripada pertemuan Aegean dan Mediterania di Bodrum

Fethiye: Destinasi Tarikan Alam Semula Jadi

Dengan keindahan alam semula jadinya, deretan pantai yang meraih pelbagai pengiktirafan, teluk yang tenang dan pemandangan menakjubkan, Fethiye, satu lagi pusat peranginan terkenal di Muğla, merupakan destinasi percutian musim panas yang cukup popular.  Ölüdeniz dikenali kerana pantainya yang cantik, dan Lembah Rama-rama (Kelebekler Vadisi) pula yang mempunyai lebih daripada 80 spesis rama-rama dan kawasan yang dilindungi secara semula jadi sejak 1995, merupakan dua daripada tarikan pelancong paling popular di Fethiye.  Teluk Kabak yang indah, terletak kira-kira satu jam perjalanan dari Fethiye, memang digemari kalangan pengembara yang suka berkhemah. Lycian Way, satu daripada laluan denai jarak jauh terkenal di dunia, juga terletak di Fethiye, begitu juga dengan keajaiban semula jadi, Saklıkent Canyon, berserta tebing dan sungai Eşen yang mengalir di bahagian dasar juga letaknya beberapa gua bawah tanah.  Apatah lagi, bandar yang terkenal dengan tarikan tempat menyelam itu mempunyai perairan pantai yang boleh ditemui pelbagai jenis ikan dan tumbuhan laut. Manakala Babadağ, salah satu pusat paragliding utama di Türkiye dan di dunia, juga terletak di Fethiye.

Percutian terbaik daripada pertemuan Aegean dan Mediterania di Bodrum

Marmaris: Destinasi Kegemaran Pelancong

Menawarkan keindahan alam semula jadi, sejarah purba, laut yang membiru serta pasir keemasan,  Marmaris menyediakan segala yang diingini pengembara untuk menikmati percutian musim panas yang menenangkan. Ramai pelancong mengunjungi pusat peranginan ini saban tahun, yang terkenal dengan pantainya yang cantik misalnya Turunç dan İçmeler. Penggemar sejarah pula pasti teruja menyaksikan bandar purba Physkos, salah satu daripada bandar pelabuhan Carian; Istana Marmaris yang kini menempatkan Muzium Arkeologi Marmaris; dan Bedesten (Bazar Bertutup), yang menyimpan pelbagai khazanah kehidupan dari masa lalu hingga kini. Pulau Cleopatra yang juga dikenali sebagai Pulau Sedir, menarik perhatian pengunjung yang ingin berenang di air yang tenang dan menyegarkan serta mendekati struktur bersejarah. Terkenal dengan pasirnya yang berwarna keemasan dan dilindungi sejarah, Pulau Cleopatra juga mempunyai tapak purba seperti Temple of Apollo, yang mana di situlah letaknya panggung dan tinggalan sejarah. Selimiye dan Bozburun, dua penempatan pantai di Marmaris ini pula mempunyai terminal pelayaran, sekali gus menjanjikan percutian yang menenangkan dan jauh daripada kesibukan.

Köyceğiz: Kota yang Aman

Köyceğiz, yang terletak pada laluan di antara Marmaris dan Fethiye, ialah salah sebuah Bandar CittaSlow di Türkiye. Pengunjung yang menyertai lawatan bot di Tasik Köyceğiz boleh menikmati haruman bunga-bunga oren dan pohon sweetgum  –  dan mungkin juga berpeluang untuk melihat penyu laut Caretta caretta  yang mendiami Kawasan Perlindungan Alam Sekitar Khas  Köyceğiz-Dalyan. Bandar purba Kaunos pula, iaitu salah satu daripada penempatan tertua di rantau berkenaan dan antara bandar paling menakjubkan dalam tamadun Carian, menarik perhatian pengunjung terutamanya dengan makam batu-batuan sejak abad keempat Sebelum Masihi.

Gunung Sandras, lanjutan daripada Gunung Taurus yang terletak di persekitaran landskap tersendiri Köyceğiz, juga menyediakan aktiviti pendakian, perkhemahan dan lasak. Tidak ketinggalan, ia juga mempunyai laluan untuk berbasikal di kawasan  pergunungan berkenaan. Menawarkan persekitaran yang aman dan udara bersih, Köyceğiz melengkapi pengembaraan pengunjungnya dengan pengalaman percutian yang menenangkan sambil mengekalkan cara kehidupan tradisional.

Datça: Destinasi yang serba Menenangkan

Datça merupakan tanah semenanjung yang tenang dan indah di Muğla. New Datça (Yeni Datça), iaitu penempatan utama bandar berkenaan, mempunyai pelbagai restoran, kafe, pub dan Tasik Ilıca yang dipenuhi ikan dan itik. Lorong berbatu bundar, kedai bersaiz sederhana dan penghuni yang ramah, Old Datça (Eski Datça) ternyata tarikan indah yang harus dikunjungi. Bandar Purba Knidos, yang terletak berhampiran penghujung barat Semenanjung Datça, merupakan syurga berbeza yang membawa pengunjung kembali ke masa silam. Sajian masakan tempatan yang diadun dengan herba dan tumbuh-tumbuhan, makanan laut, madu thyme dan badam hasil keluaran Datça, juga menyediakan  keistimewaan tersendiri.

© 2023 BlackButterfly DesignArts