Bersempena dengan Bulan Kesedaran Kesihatan Lelaki atau Movember, Pusat Perubatan Sunway Velocity memperkasakan lelaki untuk lebih mengambil berat mengenai kesihatan mereka dan memupuk keyakinan di setiap peringkat kehidupan.
Kuala Lumpur, 11 November 2024 – Bagaimana jika lelaki diberikan kelebihan untuk menjadi lebih sihat dan hidup lebih lama? Umum mengetahui bahawa isu kesihatan lelaki sering menjadi perhatian semasa Movember, yang memberi tumpuan kepada penyakit lelaki seperti kanser prostat dan kesihatan mental. Tetapi terdapat keperluan sepanjang tahun untuk menangani penyakit lain seperti seperti sindrom metabolik (MetS) yang boleh mempengaruhi kualiti hidup dan kecergasan golongan lelaki.
Menjelang 2040, demografi Malaysia akan merangkumi pembahagian populasi yang hampir sama di antara populasi muda (18.6%) dan populasi warga tua (14.5%), dengan populasi warga tua melebihi enam juta rakyat. Ini merupakan satu peristiwa penting dalam peralihan Malaysia menjadi negara menua ataupun disebut sebagai ageing nation. Apabila peralihan demografi ini berlaku, pengurusan MetS di kalangan lelaki menjadi lebih penting untuk mendorong penuaan yang sihat dan menyokong lelaki di sepanjang peringkat kehidupan.
Memahami Sindrom Metabolik (MetS)
Apakah itu MetS? Seperti yang dikongsikan oleh Dr Radzi Rodzlan, Pakar Perunding Nefrologi dan Perubatan Dalaman daripada Pusat Perubatan Sunway Velocity (SMCV), ia dicirikan oleh sekurang-kurangnya tiga daripada lima faktor risiko berikut: obesity perut (central obesity), serum trigliserida yang tinggi (mempunyai terlalu banyak lemak dalam darah), low high-density lipoprotein cholesterol (HDL-C) atau apabila seseorang tidak cukup “kolesterol baik” dalam darah mereka, tekanan darah tinggi serta dan paras gula darah semasa berpuasa yang tinggi.
“MetS boleh memberi kesan kepada lelaki dan wanita. Kajian menunjukkan bahawa prevalens keseluruhan MetS di kalangan orang dewasa di Malaysia terletak antara 25-40%. Faktor risiko yang paling berkait rapat dengan MetS termasuk umur, di mana anda lebih berkemungkinan untuk memilikinya apabila anda semakin tua.
“Sejarah diabetes peribadi atau keluarga di mana wanita yang menghidap diabetes semasa mengandung (GDM) atau mereka yang mempunyai ahli keluarga dengan diabetes jenis 2 lebih berisiko tinggi untuk mendapat MetS. Faktor risiko lain termasuk tabiat pemakanan yang tidak sihat, merokok, sejarah pengambilan alcohol yang berlebihan, tekanan, menopaus, mengamalkan diet tinggi lemak dan gaya hidup yang tidak aktif,” kongsi Dr Radzi.
Beliau menambah bahawa mempunyai MetS boleh meningkatkan risiko seseorang untuk menghidap diabetes jenis 2, dan boleh menyebabkan penyakit jantung dan saluran darah yang akhirnya boleh membawa kepada serangan jantung atau strok.
Masalah Urinari
MetS juga dikaitkan dengan boleh menyebabkan beberapa penyakit urologi terjadi seperti batu karang, benign prostatic hyperplasia (BPH) atau pembesaran prostat, gejala yang berkaitan dengan masalah saluran kencing, pundi kencing, prostat dan uretra (LUTS), mati pucuk, masalah ketidaksuburan lelaki dan kanser prostat[1]. “Terdapat semakin banyak bukti saintifik yang menunjukkan bahawa lelaki yang menghidap MetS berisiko tinggi untuk mengalami masalah urinari yang sederhana hingga teruk apabila usia mereka meningkat,” jelas Dato’ Dr Selvalingam Sothilingam, Pakar Perunding Urologi dan Pakar Bedah Robotik daripada SMCV.
“Gejala yang berkaitan dengan masalah urinari atau umumnya dirujuk sebagai LUTS selalunya disebabkan oleh BPH. Gejala-gejala tersebut termasuk kelewatan untuk memulakan buang air kecil (teragak-agak untuk membuang air kecil), aliran air kencing yang lemah, pengosongan pundi kencing yang tidak lengkap, tidak boleh menahan kencing atau kerap kencing serta tidur yang terganggu akibat sering kencing pada waktu malam (nocturia), jelas Dato’ Dr Selvalingam”
Pesakit yang mengalami gejala seperti di atas digesa untuk mendapatkan rawatan perubatan secepat mungkin, terutamanya jika mereka mempunyai tahap bacaan ujian Antigen Spesifik Prostat (PSA) yang tinggi. Jika tidak dirawat, BPH dikaitkan dengan pelbagai komplikasi seperti jangkitan saluran kencing, darah dalam air kencing, masalah kencing terhalang yang teruk, inkontinensia kencing atau sering terkucil, kerosakan buah pinggang dan kencing pada waktu malam di atas katil. BPH juga boleh menyebabkan masalah pada buah pinggang yang membawa kepada pembengkakan buah pinggang (hydronephrosis) dan dalam kes yang serius, ia boleh mengakibatkan kegagalan buah pinggang. Keadaan ini sering dirujuk sebagai masalah buah pinggang yang kronik dan lelaki akan mengalami tekanan darah tinggi, kedua-dua kaki bengkak, dan sering mengalami kencing malam (nocturnal enuresis),” tambahnya.
Dato’ Dr Selvalingam menekankan kepentingan untuk menjalani pemeriksaan kesihatan, kerana pengesanan awal adalah kunci dalam mencegah komplikasi lanjut yang disebabkan oleh MetS dan masalah urinari.
“80% lelaki dengan BPH boleh berjaya dirawat dengan ubat. Walau bagaimanapun, ubat-ubatan ini perlu diambil untuk jangka masa panjang. Lelaki yang mengalami komplikasi daripada BPH mungkin memerlukan pembedahan seperti TURP (Transurethral Resection of Prostate) yang merupakan sejenis prosedur urologi yang dilakukan untuk membuang tisu prostat untuk merawat uretra yang tersumbat, atau rawatan invasif minimal seperti REZUM (Water Vapor Therapy of Prostate) yang merupakan sejenis prosedur tanpa pembedahan yang menggunakan wap untuk mengecutkan prostat yang membesar,” jelas Dato Dr Selvalingam.
Kesan Terhadap Kesihatan Buah Pinggang
MetS boleh mengakibatkan perubahan ketara pada struktur dan fungsi buah pinggang. Dr Radzi berkongsi, “Perubahan ini termasuk penurunan kadar penapisan glomerular (GFR) yang merupakan pengiraan untuk mengukur sejauh mana buah pinggang seseorang berfungsi dalam menapis sisa dan cecair tambahan daripada darah mereka dan peningkatan mikroalbumin kencing yang menunjukkan terdapat kebocoran protein dari buah pinggang.” Perubahan dalam fungsi buah pinggang sebegini boleh menyebabkan penyakit buah pinggang kronik (CKD) yang boleh membawa kepada masalah kesihatan yang teruk, termasuk penyakit buah pinggang peringkat akhir yang memerlukan dialisis atau pemindahan buah pinggang.
Dr Radzi seterusnya menekankan bahawa gejala awal dan tanda-tanda masalah buah pinggang yang dikaitkan dengan MetS termasuk bengkak kaki, air kencing berbuih, dan bacaan ujian yang tidak normal untuk ujian darah dan air kencing. Untuk mengelakkan perkembangan CKD, beliau menekankan kepentingan untuk menjalani pemeriksaan kesihatan dengan kerap kerana pengesanan awal adalah penting untuk mengelakkan komplikasi lanjut yang berkaitan dengan MetS. Selain itu, kedua-dua doktor pakar daripada SMCV ini menggalakkan orang ramai untuk melakukan perubahan gaya hidup seperti bersenam dengan kerap untuk memerangi masalah rintangan insulin dan mengamalkan diet yang dapat menyihatkan jantung dengan mengelakkan pengambilan jumlah karbohidrat yang berlebihan kerana ia boleh merangsang pengeluaran insulin yang berlebihan. Langkah-langkah proaktif seperti ini boleh meningkatkan tahap kesihatan keseluruhan dengan ketara dan mengurangkan risiko untuk mendapat masalah berkaitan buah pinggang.
Mencegah Lebih Baik Dari Mengubati
Apabila Malaysia beralih kepada negara menua, memahami dan menangani masalah kesihatan lelaki, khususnya seperti MetS dan masalah urinary adalah sangat penting. Dengan sebahagian besar daripada penduduk Malaysia menghadapi cabaran kesihatan yang berkaitan dengan MetS, termasuk risiko masalah urinari dan masalah buah pinggang kronik, pengurusan kesihatan secara proaktif adalah penting untuk diketengahkan sekarang. Dengan memupuk kesedaran dan menggalakkan pemeriksaan kesihatan yang berkala, seperti yang direkomendasikan oleh kedua-dua Dato’ Dr Selvalingam dan Dr Radzi, golongan lelaki boleh menjaga kesihatan mereka, memudahkan untuk mendapat pengesanan awal serta mendapat rawatan yang lebih baik untuk meningkatkan tahap kesihatan mereka. Ini bukan sahaja akan meningkatkan kualiti hidup golongan lelaki tetapi ia juga akan menyumbang kepada kesejahteraan keseluruhan penduduk Malaysia yang semakin menua.
Pusat Perubatan Sunway Velocity terletak di Lingkaran SV, Sunway Velocity. Untuk maklumat lebih lanjut berkenaan dengan Sunway Medical Centre Velocity, sila layari www.sunwaymedicalvelocity.com.my/ (Facebook: Sunway Medical Centre Velocity).
[1]https://pmc.ncbi.nlm.nih.gov/articles/PMC3020279/#:~:text=MetS%20has%20been%20linked%20to,female%20incontinence%2C%20and%20prostate%20cancer.