Pensijilan Halal Membuktikan Komitmen Jenama Coway

Mengubah kehidupan seluruh rakyat Malaysia, termasuk 65% pengguna Muslimnya – misi utama Coway bagi menyediakan penyelesaian kehidupan yang terbaik untuk semua

Kuala Lumpur, 14 Jun 2022 – Sejajar dengan misinya untuk menjadi Syarikat Best Life Solution, Coway Malaysia berusaha sedaya upaya untuk meningkatkan pengalaman yang bermakna dan bermanfaat melalui semua produk Coway – termasuk memenuhi keperluan 65% pengguna Muslim mereka. Coway Malaysia telah menjadikan keutamaan dan misi utama mereka untuk memenuhi keperluan pengguna Muslim mereka dengan menyediakan produk yang disahkan Halal.

Sehubungan itu, Coway memulakan proses memohon Pensijilan Halal pada tahun 2010 daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan tidak lama kemudian menjadi jenama penulen air antarabangsa pertama menerima Pensijilan Halal. Komitment Coway Malaysia ini, membukitkan Coway akan terus berkhidmat kepada para pelanggan setia dengan menawarkan hanya produk berkualiti tinggi yang boleh dipercayai. Coway juga berharap Pensijilan Halal bagi semua bahagian produk termasuk penapisnya dapat memastikan pelanggan Muslimnya mendapat ketenangan fikiran dan meyakini produk Coway.

“Pensijilan Halal JAKIM memberikan jaminan tambahan kepada semua pengguna Muslim kami bahawa Coway menghasilkan hanya produk berkualiti tinggi dan boleh dipercayai. Pensijilan ini juga menunjukkan keikhlasan kami dalam usaha memenuhi keperluan mereka dan merupakan tanda penghargaan kami kepada pelanggan setia kami. Kami berharap pencapaian ini akan memberikan lebih ramai orang keyakinan dan kepercayaan terhadap Coway Malaysia, yang sentiasa berusaha menyediakan peralatan rumah terbaik bagi seisi keluarga,” kata Kyle Choi, Pengarah Urusan Coway Malaysia.

Beliau menambah bahawa perjalanan Coway Malaysia untuk mendapatkan Pensijilan Halal bukanlah mudah tetapi ia berbaloi. Ternyata proses mendapatkan kelulusan JAKIM begitu panjang dan mencabar, kerana setiap bahagian rangkaian produk Coway seharusnya memenuhi piawaian dan mematuhi peraturan ketat JAKIM. JAKIM turut mengunjungi ibu pejabat Coway di Korea Selatan untuk memastikan segala operasi mematuhi piawaian.

Untuk mengurus dan menyelia proses permohonan yang rumit ini, Coway Malaysia telah menubuhkan sebuah Jawatankuasa Halal dalaman yang terdiri daripada pakar-pakar yang ditugaskan untuk menangani semua perkara yang berkaitan Halal. Jawatankuasa tersebut ditugaskan untuk mengendalikan segala aspek yang berkaitan dengan pemilihan bahan, pembelian alat ganti, pembuatan, penyimpanan dan sebagainya. Susulan itu, sebuah Sistem Pengurusan Jaminan Halal (HAS) turut diperkenalkan untuk memastikan piawaian Halal JAKIM.

“Kami amat berbangga dengan pencapaian ini dan telah membuat keputusan untuk mendapatkan Pensijilan Halal bagi produk-produk kami yang hakikatnya bukan sahaja menunjukkan komitmen kami kepada pengguna Muslim tetapi juga memberi jaminan kepada pengguna masa depan tentang kredibiliti produk kami. Sebagai Syarikat Best Life Solution, kami akan terus berusaha untuk berkhidmat kepada pelanggan setia kami dengan menyediakan produk berkualiti yang mematuhi keperluan halal JAKIM,” katanya.

Choi menambah bahawa mendapatkan Pensijilan Halal ternyata satu pencapaian yang bermakna bagi Coway kerana Coway juga telah dianugerahkan Sistem Penapisan Air Terbaik oleh Anugerah Jenama Halal Asia secara konsisten sejak 2017. Kini dengan Pensijilan Halal, ia akan membantu mengukuhkan jenama Coway di dalam negara dan di pentas antarabangsa. Tambahan lagi, sejak 2015, penulen air Coway yang canggih juga telah memenangi pelbagai Anugerah Jenama Dipercayai di Malaysia dan diiktiraf oleh Persatuan Kualiti Air (WQA).

Sehingga kini, Jawatankuasa Halal Coway masih menjalankan tugasnya untuk menilai dan menguruskan operasi bagi memastikan piawaian Halal JAKIM dipenuhi dan dipatuhi. Coway Malaysia juga telah mengenal pasti Titik Kawalan Halal (HCP) untuk menjamin tiada potensi pencemaran silang dengan sebarang unsur tidak halal sepanjang aliran proses pembuatan. Langkah-langkah kawalan telah dilaksanakan di titik-titik HCP yang dikenal pasti dalam usaha untuk menepikan sebarang ketidakpatuhan terhadap keperluan Syariah dan pelaksanaan HAS.

HCP telah dikenal pasti sepanjang keseluruhan proses, bermula daripada peringkat perolehan sehingga penghantaran produk. Di peringkat perolehan, Coway Malaysia mengenalpasti senarai bahan mentah dan pembekal sah Halal yang diluluskan. Semasa pemprosesan, syarikat mematuhi sepenuhnya langkah-langkah kawalan Halal semasa pengeluaran penapis air, penulen air dan aksesori lain.

Semua peralatan yang digunakan semasa proses pengeluaran akan dipantau rapi untuk menjamin  ia bebas daripada unsur-unsur yang tidak menepati piawaian JAKIM. Para pekerja juga telah dilatih dalam semua aspek berkaitan Halal termasuk pelaksanaan HAS. Selepas proses pengeluaran selesai, Pengurus Kawalan Logistik Coway Malaysia akan memastikan semua penulen air dengan Pensijilan Halal disimpan di gudang yang diluluskan untuk menjalani proses Jaminan Kualiti Produk dan Kawalan Kualiti. Langkah ini merupakan semakan terakhir untuk memastikan semua syarat-syarat halal dipenuhi dan dipatuhi sebelum penghantaran keluar produk ke gudang-gudang di Malaysia.

Untuk maklumat lanjut mengenai Pensijilan Halal Coway, sila layari www.coway.com.my

© 2023 BlackButterfly DesignArts