Pengambilalihan Songsang (Reverse Take-Over) LTKM Berhad Menerusi Pemerolehan Perniagaan EMS Berharga RM336 Juta

Syarikat akan lupuskan perniagaan ayam itik bernilai RM158.83 juta, dan perolehan akan diagihkan kepada pemegang saham sebagai dividen khas dan pembayaran semula modal

Klang, 8 April 2022LTKM BERHAD (“LTKM” atau “Syarikat”, Bloomberg: LTKM:MK, Reuters: LTKM.KL), sebuah syarikat pengeluar utama telur ayam, hari ini mengumumkan cadangan komposit, terutamanya untuk melucut hak perniagaan sedia ada Syarikat itu dan menerokai perkhidmatan pembuatan elektronik (“EMS”) serta pada masa yang sama, memperbetulkan ketidakpatuhan kepada syarat pemberitahuan awam mengenai sahamnya di bawah syarat penyenaraian Bursa Securities Malaysia Berhad.

Pengerusi Eksekutif LTKM, Datuk Tan Kok berkata, “Pada asasnya, cadangan itu bagi memberi ganjaran kepada pemegang saham daripada perolehan berikutan pelupusan perniagaan ayam itik sedia ada Syarikat dan pada masa sama, membolehkan mereka terus mengambil bahagian dalam perniagaan baru EMS yang dicadangkan itu.”

“Cadangan pelupusan itu dibuat berikutan cabaran beroperasi dalam landskap industri ayam itik yang disebabkan oleh kapasiti berlebihan, purata harga jualan telur yang rendah, harga bahan mentah yang tinggi, kesukaran mengawal wabak penyakit di ladang dan kekurangan tenaga kerja. Berikutan cabaran-cabaran ini, kami juga mengalami kerugian dalam tahun kewangan terkini berakhir 31 Mac 2020 hingga 2021 dan bagi tempoh sembilan bulan berakhir 31 Disember 2021. Ini turut menjejaskan keupayaan kami untuk membayar dividen.”

“Selaras dengan cadangan pelupusan ini, kami yakin bahawa cadangan perolehan perniagaan EMS adalah satu peluang untuk mewujudkan nilai kepada pemegang saham kami melalui perniagaan yang lebih berdaya saing dan menguntungkan.”

Secara ringkasnya, cadangan itu meliputi langkah-langkah syarat berikut:

  1. Cadangan pelupusan perniagaan sedia ada LTKM kepada Ladang Ternakan Kelang Sdn Bhd (“LTKSB”) bagi jumlah pelupusan tunai sebanyak RM158.83 juta. LTKSB, yang memegang 71.6% ekuiti dalam LTKM, juga adalah syarikat pegangan LTKM;
  2. Cadangan dividen khas dan pembayaran semula modal sebanyak RM1.1098 setiap saham LTKM berjumlah RM158.83 juta pada tarikh layak yang akan ditentukan;
  3. Cadangan penggabungan kedua-dua saham sedia ada LTKM kepada satu saham LTKM mengikut cadangan dividen khas dan pembayaran semula modal;
  4. Cadangan perolehan oleh LTKM, sebanyak 100.0% pegangan ekuiti dalam Local Assembly Sdn Bhd (“Local Assembly”) daripada Chai Voon Sun, Gurmakh Singh a/l Ajmer Singh, Wee Thian Song, Divine Inventions Sdn Bhd dan Proven Venture Sdn Bhd (“Vendor”) sebanyak RM336.00 juta yang akan dipenuhi melalui tunai sebanyak RM100.00 juta dan terbitan 393,333,333 saham baru LTKM pada harga terbitan RM0.60 setiap satu;
  5. Cadangan terbitan terhad sebanyak 230.00 juta saham baru LTKM pada harga terbitan indikatif sebanyak RM0.60 setiap satu, mewakili 33.1% saham modal LTKM yang diperbesarkan selepas cadangan kepada pelabur yang dikenal pasti;
  6. Cadangan pengecualian kepada vendor dan orang yang bertindak sehaluan dengan tanggungjawab untuk melaksanakan tawaran ambil alih mandatori untuk perolehan baki saham LTKM yang belum dimiliki apabila selesai cadangan perolehan; dan
  7. Cadangan pertukaran nama kepada “LA Technology Berhad” daripada “LTKM Berhad”.

Cadangan perolehan ini akan mengakibatkan perubahan signifikan kepada hala tuju perniagaan LTKM daripada pengeluar telur ayam kepada penyedia EMS. Local Assembly, penyedia EMS, akan menjadi anak syarikat milik penuh LTKM manakala vendor Local Assembly akan menjadi pemegang saham berkepentingan LTKM dengan pegangan ekuiti 56.6% dalam Syarikat berikutan cadangan perolehan dan cadangan terbitan terhad. Dengan pegangan saham dalam Divine Inventions, Datuk Seri Chiau Beng Teik, Pengerusi Eksekutif Chin Hin Group Berhad, akan menjadi pemegang saham utama LTKM.

Mengikut cadangan perolehan ini, vendor telah memberi jaminan keuntungan kepada Local Assembly dengan minimum keuntungan selepas cukai (“PAT”) sebanyak RM28.00 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 atau tidak kurang daripada agregat RM50.00 juta PAT bagi kedua-dua tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 dan 2023. Berdasarkan kepada jaminan PAT sebanyak RM28.00 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022, pertimbangan pembelian ini mewakili harga perolehan sehingga 12 kali ganda.

Bagi Chai Voon Sun, pemilik bersama dan Pengarah Urusan Local Assembly, penyenaraian Local Assembly melalui LTKM merealisasikan kerja keras beliau dan pemilik bersamanya selama dua dekad dan merupakan selangkah ke hadapan dalam perjalanan syarikat itu untuk berkembang dan membangun. “Transaksi ini merupakan kejayaan besar kepada Local Assembly. Kami menanti-nantikan fasa seterusnya dalam perjalanan korporat kami sebagai sebuah entiti yang disenaraikan, yang akan terus mempercepatkan pertumbuhan kami sebagai penyedia EMS, dan membolehkan kami mengembangkan asas pelanggan dan tawaran produk serta mencari lebih banyak peluang,” tambahnya.

Local Assembly, yang mula beroperasi pada tahun 2000, adalah pengeluar elektronik, elektrikal dan komponen acuan suntikan plastik, dan pemasang subkontrak bagi barangan dan peralatan elektrikal. Pasaran utamanya adalah Malaysia dan Singapura. Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022, Local Assembly mencapai PAT sebanyak RM20.06 juta dengan pendapatan RM116.35 juta.

Permohonan bagi cadangan itu dijangka dihantar kepada pihak berkuasa berkenaan pada suku kedua 2022. Tertakluk kepada kelulusan pihak berkenaan termasuk Suruhanjaya Sekuriti, Bursa Securities Malaysia Berhad dan juga pemegang saham LTKM, cadangan itu dijangka selesai pada separuh pertama 2023. M & A Securities Sdn Bhd adalah Penasihat bagi cadangan LTKM ini.

© 2023 BlackButterfly DesignArts