Syarikat akan lupuskan perniagaan ayam itik bernilai RM158.83 juta, dan perolehan akan diagihkan kepada pemegang saham sebagai dividen khas dan pembayaran semula modal
Klang, 8 April 2022 – LTKM BERHAD (“LTKM” atau “Syarikat”, Bloomberg: LTKM:MK, Reuters: LTKM.KL), sebuah syarikat pengeluar utama telur ayam, hari ini mengumumkan cadangan komposit, terutamanya untuk melucut hak perniagaan sedia ada Syarikat itu dan menerokai perkhidmatan pembuatan elektronik (“EMS”) serta pada masa yang sama, memperbetulkan ketidakpatuhan kepada syarat pemberitahuan awam mengenai sahamnya di bawah syarat penyenaraian Bursa Securities Malaysia Berhad.
Pengerusi Eksekutif LTKM, Datuk Tan Kok berkata, “Pada asasnya, cadangan itu bagi memberi ganjaran kepada pemegang saham daripada perolehan berikutan pelupusan perniagaan ayam itik sedia ada Syarikat dan pada masa sama, membolehkan mereka terus mengambil bahagian dalam perniagaan baru EMS yang dicadangkan itu.”
“Cadangan pelupusan itu dibuat berikutan cabaran beroperasi dalam landskap industri ayam itik yang disebabkan oleh kapasiti berlebihan, purata harga jualan telur yang rendah, harga bahan mentah yang tinggi, kesukaran mengawal wabak penyakit di ladang dan kekurangan tenaga kerja. Berikutan cabaran-cabaran ini, kami juga mengalami kerugian dalam tahun kewangan terkini berakhir 31 Mac 2020 hingga 2021 dan bagi tempoh sembilan bulan berakhir 31 Disember 2021. Ini turut menjejaskan keupayaan kami untuk membayar dividen.”
“Selaras dengan cadangan pelupusan ini, kami yakin bahawa cadangan perolehan perniagaan EMS adalah satu peluang untuk mewujudkan nilai kepada pemegang saham kami melalui perniagaan yang lebih berdaya saing dan menguntungkan.”
Secara ringkasnya, cadangan itu meliputi langkah-langkah syarat berikut:
Cadangan perolehan ini akan mengakibatkan perubahan signifikan kepada hala tuju perniagaan LTKM daripada pengeluar telur ayam kepada penyedia EMS. Local Assembly, penyedia EMS, akan menjadi anak syarikat milik penuh LTKM manakala vendor Local Assembly akan menjadi pemegang saham berkepentingan LTKM dengan pegangan ekuiti 56.6% dalam Syarikat berikutan cadangan perolehan dan cadangan terbitan terhad. Dengan pegangan saham dalam Divine Inventions, Datuk Seri Chiau Beng Teik, Pengerusi Eksekutif Chin Hin Group Berhad, akan menjadi pemegang saham utama LTKM.
Mengikut cadangan perolehan ini, vendor telah memberi jaminan keuntungan kepada Local Assembly dengan minimum keuntungan selepas cukai (“PAT”) sebanyak RM28.00 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 atau tidak kurang daripada agregat RM50.00 juta PAT bagi kedua-dua tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 dan 2023. Berdasarkan kepada jaminan PAT sebanyak RM28.00 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022, pertimbangan pembelian ini mewakili harga perolehan sehingga 12 kali ganda.
Bagi Chai Voon Sun, pemilik bersama dan Pengarah Urusan Local Assembly, penyenaraian Local Assembly melalui LTKM merealisasikan kerja keras beliau dan pemilik bersamanya selama dua dekad dan merupakan selangkah ke hadapan dalam perjalanan syarikat itu untuk berkembang dan membangun. “Transaksi ini merupakan kejayaan besar kepada Local Assembly. Kami menanti-nantikan fasa seterusnya dalam perjalanan korporat kami sebagai sebuah entiti yang disenaraikan, yang akan terus mempercepatkan pertumbuhan kami sebagai penyedia EMS, dan membolehkan kami mengembangkan asas pelanggan dan tawaran produk serta mencari lebih banyak peluang,” tambahnya.
Local Assembly, yang mula beroperasi pada tahun 2000, adalah pengeluar elektronik, elektrikal dan komponen acuan suntikan plastik, dan pemasang subkontrak bagi barangan dan peralatan elektrikal. Pasaran utamanya adalah Malaysia dan Singapura. Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022, Local Assembly mencapai PAT sebanyak RM20.06 juta dengan pendapatan RM116.35 juta.
Permohonan bagi cadangan itu dijangka dihantar kepada pihak berkuasa berkenaan pada suku kedua 2022. Tertakluk kepada kelulusan pihak berkenaan termasuk Suruhanjaya Sekuriti, Bursa Securities Malaysia Berhad dan juga pemegang saham LTKM, cadangan itu dijangka selesai pada separuh pertama 2023. M & A Securities Sdn Bhd adalah Penasihat bagi cadangan LTKM ini.