Barisan filem animasi pendek oleh bakat tempatan menanti anda, dengan sokongan daripada Exco Negeri Pulau Pinang Pelancongan dan Ekonomi Kreatif.
George Town, 11 Oktober 2023 – Studio Rawr Pictures Sdn Bhd, sebuah studio animasi yang mengkhusus dalam bidang animasi 2D dan 3D, dengan bangganya mempersembahkan filem animasi terbaharunya, ‘The Muralz’, dengan kerjasama Golden Screen Cinemas (GSC) dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC). Sebagai sebahagian daripada usaha memartabatkan filem tempatan, GSC mempertontonkan karya sinematik ini melalui GSC International Screens sempena Festival Filem Animasi Malaysia (MAFF) yang julung kali diadakan pada 5 – 25 Oktober 2023, dengan sokongan daripada Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Negeri Pulau Pinang (PETACE).
Animasi yang luar biasa ini bukan sahaja bertujuan untuk menghiburkan tetapi juga untuk mencetuskan rasa ingin tahu dan menarik minat para penonton untuk menikmati destinasi pelancongan Pulau Mutiara yang mempesonakan.
‘The Muralz’ adalah cetusan idea Jeremy Lee, Pengarah Urusan Studio Rawr Pictures Sdn Bhd, seorang penggiat industri yang berkemahiran dan berwawasan kreatif dengan pengalaman selama 17 tahun dalam bidang animasi 2D dan 3D.
Jeremy menyatakan visinya untuk projek ini adalah untuk mengetengahkan konsep daya ketahanan, empati dan hubungan manusia.
“Selain daripada penghormatan kepada Pulau Pinang, ‘The Muralz’ berperanan sebagai simbol harapan, yang bertujuan untuk memberi inspirasi kepada penonton di seluruh dunia untuk memupuk sifat kasih sayang dan kerjasama dalam kesusahan. Melalui ‘The Muralz’, saya bukan sekadar menyampaikan sebuah cerita, saya turut menghulurkan undangan kepada dunia untuk membentuk masa depan yang berlandaskan kebaikan dan perpaduan.”
Menerusi filem pendek ini, penonton akan dibawa ke jalan-jalan Pulau Pinang yang tenang, sunyi dan hampir lengang, berlatarbelakangkan wabak COVID-19. Apabila mural mula dihidupkan, Azam, seorang penghantar makanan yang berdedikasi, diiringi oleh rakan animasinya, Tiga Mural: “Pahlawan Nasi Lemak”, “Rojak Man”, dan “Kapten Cendol”.
Filem animasi ini membuktikan kuasa perpaduan dan semangat kemanusiaan, ia mengingatkan kita bahawa sifat kasih sayang dan kerjasama yang wujud di kalangan manusia membolehkan kita mengharungi pelbagai cabaran.
Yang Berhormat Wong Hon Wai, EXCO Negeri Pulau Pinang Pelancongan dan Ekonomi Kreatif (PETACE), berkata bahawa Pulau Pinang sememangnya satu destinasi yang amat dihargai, bukan sahaja untuk masyarakat tempatan tetapi juga untuk pelancong antarabangsa yang mendambakan pengalaman budaya asli.
“’The Muralz’ merakamkan intipati Pulau Pinang dengan indah – budaya, sejarah dan isi hati rakyat tempatan. Kami melihat filem ini sebagai pemangkin untuk memberikan nafas baharu kepada sektor pelancongan tempatan dengan mengingatkan kami tentang keindahan Pulau Pinang yang tiada tandingan. Melalui filem ini, kami berhasrat untuk mempersembahkan daya tarikan dan naratif unik Pulau Pinang kepada khalayak global,” kata YB Wong.
Tandakan kalendar anda untuk menikmati tujuh filem animasi pendek yang dihasilkan oleh bakat tempatan. Pada harga RM15 untuk setiap tiket, barisan filem ini akan ditayangkan di outlet GSC terpilih di Lembah Klang, Johor Bahru, Pulau Pinang, Kuching, dan Kota Kinabalu.
Untuk maklumat lanjut tentang ‘The Muralz’, sila layari https://rawr-pictures.com/ dan dan untuk maklumat tentang Festival Filem Animasi Malaysia (MAFF), sila layari https://www.gsc.com.my/international- screen/malaysia-animation-film-festival-2023/.