Pembangunan 139 Syarikat Teknologi Dipesatkan dalam Tahun Pertama NTIS

Kuala Lumpur, 22 Oktober 2021 – Sandbox Teknologi dan Inovasi Nasional (NTIS) merupakan suatu inisiatif Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA). Menteri MOSTI, YB Dato’ Sri Dr. Adham Baba telah melancarkan Laporan Satu Tahun 2020 – 2021 serta laman sesawang NTIS.

Objektif utama NTIS adalah untuk memangkin pembangunan syarikat pemula teknologi (tech startup) melalui pembangunan produk serta penyelesaian yang inovatif, penerapan teknologi tinggi, sokongan pengkomersialan dan bantuan dana pertumbuhan (seeding fund) sebagai persediaan memasuki pasaran yang lebih besar dan berdaya saing.

NTIS telah menerima sebanyak lebih 500 permohonan lengkap daripada pelbagai jenis syarikat Malaysia yang berhasrat untuk mendapatkan pembiayaan, sokongan teknikal serta pengkomersialan. Menerusi jumlah tersebut, sebanyak 139 syarikat berjaya diserap ke dalam program NTIS antara Ogos 2020 dan Julai 2021.

Untuk makluman, sehingga kini, sebanyak RM52.78 juta telah diluluskan oleh NTIS untuk membiayai 70 syarikat bagi mengembangkan inovasi melalui rakan pembiayaan utama iaitu Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC). Sementara, 69 syarikat yang lain juga turut mendapat sokongan teknikal, pengawal seliaan, sokongan tapak pengujian atau dirujuk kepada organisasi pemberian dana yang mempunyai kerjasama strategik dengan NTIS.

Dato’ Sri Dr. Adham berkata, “NTIS adalah antara instrumen utama yang dikenal pasti MOSTI untuk merealisasikan matlamat Pemecutan Penerapan Teknologi dan Inovasi yang digariskan dalam Rancangan Malaysia ke-12. Enam sasaran telah ditetapkan termasuk pengkomersialan 500 produk dan penyelesaian melalui NTIS dan Tahun Pengkomersialan Malaysia (MCY) menjelang 2025.”

Tambah Dato’ Sri Dr. Adham, “Adalah penting untuk produk dan penyelesaian inovasi yang membawa impak serta menepati permintaan pengguna dibawa keluar dari makmal dan diperkenalkan melalui pemecutan kemasukan ke pasaran. Syarikat Malaysia yang diterima NTIS akan dibantu untuk dimajukan inovasi mereka dari satu tahap kesediaan teknologi (TRL) ke tahap berikutnya, iaitu dari peringkat prototaip dan pengujian hinggalah ke peringkat penggunaan dan pengkomersialan.”

Sebanyak 50 peratus daripada projek NTIS yang mendapat kelulusan merangkumi sektor perubatan dan kesihatan, pertanian dan perhutanan serta kejuruteraan pintar dan pembuatan. Manakala, 50 peratus lagi adalah berkaitan sistem lanjutan pintar. NTIS turut mendapat sokongan 26 kementerian, 2 agensi kerajaan dan 26 rakan Innovation Acceleration Network (IAN).

Antara syarikat teknologi Malaysia yang mendapat perhatian antarabangsa adalah Aerodyne Group, yang menerajui perkhidmatan dron dan pengurusan data di dalam bidang DT3 (Drone Technology, Data Technology and Digital Transformation). Selain itu, Biogenes Technologies yang merupakan salah satu syarikat pemula pertama di dunia yang berjaya menghasilkan alat ujian pantas digital COVID-19 dengan menggunakan teknologi aptamer.

Pembangunan 139 Syarikat Teknologi Dipesatkan dalam Tahun Pertama NTIS

Terdapat empat Sandbox Inovasi NTIS iaitu di Sandbox Pertanian di FELDA Mempaga, Pahang; Sandbox Robotik dan Automasi di Zon Dron dan Robotik Iskandar; Sandbox Logistik untuk dron penghantaran urban di Cyberjaya dan Area 57 iaitu pusat sehenti yang pertama untuk inovasi Sistem Pesawat Udara Tanpa Pemandu (UAV dan UAS) di Technology Park Malaysia, Bukit Jalil.

MOSTI yakin dengan pembangunan pelbagai penyelesaian berimpak tinggi dan usaha meningkatkan skala nilai komersial, peluang menjana pendapatan melalui penciptaan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi serta berpendapatan tinggi dapat meningkatkan taraf hidup Keluarga Malaysia.

© 2023 BlackButterfly DesignArts