Pandangan Pelukis Untuk Kekal Setia Pada Diri Sendiri Sambil Bertanggungjawab Secara Sosial Memenangi Anugerah 2020 UOB Painting of the Year (Malaysia)

Kuala Lumpur, Malaysia, 20 November 2020 – UOB Malaysia hari ini menyampaikan anugerah 2020 UOB Painting of the Year (Malaysia) kepada Encik Sabri Idrus, 49 tahun, untuk karya seni beliau yang berjudul, ‘Silent Fortress’.

Melalui karya akrilik pada kanvas beliau, tema ‘Perpaduan’ (‘Solidarity’) pertandingan ini ditafsirkan oleh Encik Sabri sebagai harapan beliau untuk merapatkan jurang antara dunia sebenar dan dunia ideal yang dibayangkan. Sama ada berhadapan dengan impak negatif akibat situasi pandemik, kemerosotan ekonomi, perbezaan politik ataupun pemanasan global, pelukis menyampaikan mesej untuk berdiri teguh dalam solidariti ke arah mencapai keamanan.

Menjelaskan karya seni dan mengulas tentang kemenangan beliau, Encik Sabri berkata, “’Silent Fortress’ adalah suatu tempat yang tenang di mana kita dapat merenung tentang diri sebenar kita sambil berusaha mengamalkan sikap bertanggungjawab antara satu sama lain, justeru mengukuhkan ikatan bersama kita sebagai rakyat Malaysia. Saya berbesar hati untuk memenangi anugerah 2020 UOB Painting of the Year (Malaysia) dan sungguh gembira bahawa karya seni saya akan mewakili Malaysia di pertandingan UOB Painting of the Year Asia Tenggara.”

Sebagai pemenang 2020 UOB Painting of the Year (Malaysia), Encik Sabri akan menerima hadiah wang tunai RM100,000. Karya seni beliau juga akan bersaing dengan penyertaan pemenang lain dari Indonesia, Singapura dan Thailand untuk anugerah 2020 UOB Painting of the Year Asia Tenggara yang akan diumumkan di majlis penyampaian anugerah secara maya pada 3 Disember 2020. Encik Sabri juga layak bertanding untuk program residensi selama satu bulan di Muzium Seni Asia Fukuoka yang terkemuka di Jepun.

Cik Bibi Chew, Ketua Hakim pertandingan 2020 UOB Painting of the Year (Malaysia), berkata, “Langkah-langkah yang diambil untuk membendung penyebaran COVID-19 dalam masyarakat telah menjejaskan dunia seni Malaysia di mana kebanyakan pameran berskala besar telah ditangguhkan atau dibatalkan. Saya memuji UOB Malaysia atas usaha untuk meneruskan pertandingan seni tahunannya walaupun berhadapan dengan cabaran ini. Pertandingan ini membolehkan para pelukis tempatan berkongsi suara mereka dan berdiri dalam solidariti menghadapi waktu yang mencabar ini. Kami bangga untuk menamakan Encik Sabri sebagai pemenang 2020 UOB Painting of the Year (Malaysia) dan tidak sabar melihat beliau bersaing dengan pemenang negara lain dalam pertandingan 2020 UOB Painting of the Year Asia Tenggara.”

Kemenangan ini bermakna Encik Sabri kini menyertai barisan pemenang UOB Painting of the Year (Malaysia) sebelum ini yang termasuk Cik Cheng Yen Pheng, Cik Cheong Kiet Cheng, Encik Chok Yue Zan, Cik Minstrel Kuik dan Encik Gan Tee Sheng yang telah menerima pujian di peringkat kebangsaan dan antarabangsa bagi karya seni mereka.

Dalam kategori Pelukis Baru, Encik Khabir Ali Bin Roslan, 25 tahun, telah memenangi Anugerah Pelukis Harapan untuk karya seni beliau yang dinamakan ‘Solidariti Tanah Air’. Konsep fizik dan kosmologi Nusantara (Kepulauan Melayu) menjadi ilham bagi Encik Khabir Ali, di mana beliau menggambarkan perpaduan secara metafora melalui proses dan kaedah yang menggunakan tanah dan pembalut untuk menghasilkan karya seni beliau.

Merujuk kepada struktur molekulnya di mana air mengambil bentuk heksagon, Encik Khabir Ali juga menafsirkan konsep Zikir sebagai corak geometrik. Beliau memberi penekanan pada hubungan antara air dan tanah sebagai unsur penting yang membentuk ikatan bersama dari segi metafora dan konsep. Berdasarkan ini, pelukis melihat perpaduan dalam ikatan sesebuah negara, melalui fabrik sosial yang menjalinkan kita bersama.

Pertandingan UOB Painting of the Year (Malaysia) yang kini memasuki tahun ke-10 telah menerima penyertaan secara digital buat kali pertama pada tahun ini berikutan sekatan yang dilaksanakan bagi membendung penularan wabak COVID-19.

Encik Wong Kim Choong, Ketua Pegawai Eksekutif, UOB Malaysia, berkata pertandingan UOB Painting of the Year (Malaysia) menunjukkan komitmen Bank untuk menggalakkan seni di negara ini, berdasarkan kepercayaan bahawa seni berupaya untuk menyatukan, mengilhamkan dan menyembuhkan jiwa.      

“Dalam meraikan usaha kami untuk mengiktiraf pelukis Malaysia, pertandingan UOB Painting of the Year (Malaysia) terus berkembang dengan lebih mantap. Tema tahun ini, ‘Perpaduan’, merupakan usaha untuk menekankan betapa pentingnya perpaduan apabila menghadapi kesukaran. Melalui pandangan para pelukis dan hasil karya mereka, kami berharap untuk menyatukan orang ramai untuk kebaikan bersama, terutamanya dalam tempoh yang mencabar ini.

“Kami gembira untuk menerima penyertaan paling tinggi sekali lagi daripada pelukis baru dan mapan dari seluruh negara walaupun berada dalam tempoh yang sukar ini. Penyertaan tertinggi ini adalah bukti kejayaan dan reputasi pertandingan sebagai salah satu pertandingan seni yang paling diiktiraf di rantau ini. Melalui pertandingan UOB Painting of the Year tahunan ini, kami akan terus memperkenalkan karya seni Malaysia dan juga pelukis Malaysia ke pentas dunia,” kata Encik Wong.

Orang ramai boleh melihat semua lukisan yang memenangi anugerah dalam kategori Pelukis Mapan dan Pelukis Baru 2020 UOB Painting of the Year (Malaysia) di Galeri Seni UOB maya.

© 2023 BlackButterfly DesignArts