Padini Kerjasama dengan XTS dan Huawei Malaysia dalam Pelaburan Berjumlah RM1 juta untuk Penyelesaian Automasi Gudang

Automasi untuk bantu tingkatkan produktiviti dan kecekapan operasi gudang Padini

Kuala Lumpur, 17 Mac 2022XTS Technologies Sdn. Bhd. (“XTS” atau “Syarikat”), sebuah pakar terkemuka dalam reka bentuk dan pembinaan penyelesaian automasi kilang, dan Huawei Technologies (M) Sdn. Bhd. (“Huawei”), sebuah penyedia infrastruktur teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dan peralatan pintar terkemuka global, telah menandatangani satu Memorandum Persefahaman (“MoU”) dengan Padini Dot Com Sdn. Bhd., sebuah anak syarikat Padini Holdings Berhad (“Padini”, Bursa: Utama, 7052) bagi penyelesaian automasi gudang menggunakan kenderaan terpandu automatik (“AGV”) bernilai RM1 juta yang akan disiapkan dalam masa setahun selepas pengesahan pesanan.

Padini adalah peruncit fesyen yang menawarkan dua label pelbagai jenama – Padini Concept Store dengan lapan jenama termasuklah Padini, Seed, Padini Authentics, PDI, P&Co, Miki, Vincci dan Vincci Accessories, dan Brands Outlet. Padini adalah peruncit fesyen yang mengendalikan gedung jualan di pusat-pusat beli-belah di seluruh Malaysia serta Kemboja, Indonesia, Bahrin, Brunei, Myanmar, Oman, Qatar, Thailand dan Emiriah Arab Bersatu.

Penyelesaian automasi gudang membolehkan Padini menggunakan AGV dari jenis trak jangkauan untuk membantu dalam pengumpulan barangan masuk dan keluar di gudang berbanding dengan sistem manual pada masa ini yang memerlukan pemandu trak jangkauan untuk mencari produk yang diperlukan di palet daripada pelbagai rak di lokasi berbeza dalam gudang.

Dengan trak jangkauan AGV, data yang disimpan di sistem penstoran awan Huawei akan membolehkan trak jangkauan automatik untuk menentukan secara tepat tempat di mana barangan perlu diambil, dan trak jangkauan itu mampu bergerak secara automatik di dalam gudang.

Padini Kerjasama dengan XTS dan Huawei Malaysia dalam Pelaburan Berjumlah RM1 juta untuk Penyelesaian Automasi Gudang
Xteven Teoh, Pengarah Urusan XTS

Pengarah Urusan XTS, Xteven Teoh berkata, “Melalui MoU ini kami mencadangkan untuk mereka bentuk dan membangunkan penyelesaian automasi gudang menggunakan AGV yang akan dapat membantu dan menyelaras operasi gudang Padini. Ini adalah projek penyelesaian automasi gudang pertama kami yang menggunakan AGV.”

“AGV akan menggantikan dua buah trak jangkauan manual Padini dan dua orang pemandu di setiap tingkat operasi gudangnya. AGV akan mengurangkan risiko kesilapan manusia memandangkan waktu yang dijimatkan untuk mencari palet yang diperlukan selain daripada kurangnya risiko kerosakan barangan dan harta benda lain. Ia adalah lebih cekap dengan hasil yang lebih konsisten.”

Pengurus Besar (Operasi) Padini, Andrew Yong, berkata, “Kolaborasi projek ini dengan Huawei dan XTS pastinya akan menjadi dorongan untuk memodenkan operasi gudang berkenaan dengan usaha kami untuk menerima pakai IR 4.0 di Padini. Skop projek ini adalah sebahagian kecil daripada operasi dengan unit minimum untuk dilaksanakan di gudang. Semasa fasa percubaan ini, kami berharap dapat mencapai produktiviti, kecekapan dan keselamatan yang lebih baik. Kami berharap percubaan ini akan dapat membuktikan konsistensi yang lebih baik dalam pemprosesan gudang kami, menjimatkan masa dan mengekalkan atau meningkatkan daya pengeluaran operasi kami dan persekitaran kerja di gudang kami. Kami mengalu-alukan kolaborasi ini.”

Naib Presiden Perniagaan Awan dan Kepintaran Buatan Huawei Malaysia, En. Lim Chee Siong berkata, “Adalah matlamat kami di Huawei Cloud untuk menyertai pendigitalan dan menyediakan Segalanya sebagai Perkhidmatan (XaaS). Kami akan terus berinovasi dengan rakan tempatan untuk menawarkan teknologi terkini untuk menyokong transformasi perjalanan digital pelanggan. Kami bangga dipilih sebagai rakan awan oleh XTS dan memberi perkhidmatan kepada Padini, dan kerjasama ini baru sahaja bermula dan kita akan melihat lebih banyak lagi peluang di masa hadapan.”

© 2023 BlackButterfly DesignArts