Kuala Lumpur, 18 Disember 2024 – Perkampungan Ormana, terletak di kaki Pergunungan Taurus di Antalya yang menjadi nadi Riviera Turki, telah dinamakan antara senarai “Perkampungan Pelancongan Terbaik Dunia 2024” oleh Pertubuhan Pelancongan Dunia (Pelancongan PBB). Menerusi pengiktirafan ini, tekstur sejarah, keindahan semula jadi yang unik serta sumbangan kepada pembangunan pelancongan dan luar bandar perkampungan berkenaan kini mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa. Ormana menjadi perkampungan kelima di Türkiye selepas Mustafapaşa dan Taraklı (2021), Birgi (2022) serta Şirince (2023).
Terbina antara aliran yang membentuk Sungai Manavgat, Ormana merupakan perkampungan lama Yörük (nomad lama) di daerah İbradı, hanya 2 setengah jam pemanduan dari pusat bandar Antalya. Bandar yang indah ini sudah sekian lama menjadi permata tersembunyi yang menjanjikan percutian yang tenang di tengah-tengah alam semula jadi. Memandangkan ia sudah menjadi satu penempatan sejak zaman Helenistik, perkampungan tersebut juga menyerlah dengan keajaiban budaya dan sejarahnya. Kini, Ormana yang mempunyai penduduk seramai 600 orang, menarik kunjungan pelancong yang inginkan pengalaman asli terutamanya dengan seni bina vernakular yang terpelihara dengan baik dan pesta anggur yang diraikan selama 57 tahun.
Keajaiban Seni Bina Berusia 350 Tahun: Rumah Berbutang
Ormana menggabungkan sejarah, budaya dan alam semula jadi berkurun lamanya. Rumah berbutang bandar berkenaan yang dibina tanpa mortar batu dan hanya menggunakan batu-batuan dan kayu cedar, adalah antara contoh kelestarian seni bina tempatan di Türkiye. Di rumah tersebut, kayu daripada pokok cedar dan tar di rantau ini membentuk bingkai kayu, manakala kayu berkenaan turut mengekalkan batu-batuan pada kedudukannya. Struktur tersebut dipanggil “rumah berbutang“ memandangkan bahagian bingkai kayu yang kelihatan berbentuk seperti butang.
Meskipun kaedah pembinaan tersebut sangat unik, apa yang lebih menarik mengenainya adalah dari segi ketahanannya. Batu-batuannya boleh bergerak secara fleksibel ketika berlaku sebarang pergerakan pada tanah, manakala dindingnya yang tebal memastikan bahagian dalaman kekal hangat semasa musim sejuk dan sejuk pada musim panas. Dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini, pemulihan rumah yang serba unik ini membolehkan Ormana mendapat perhatian sebagai laluan perjalanan lestari di Pergunungan Taurus. Malah beberapa rumah berbutang yang dibaik pulih turut dijadikan hotel butik dengan menawarkan penginapan tulen buat pengunjung bagi menghayati semangat rantau ini dan menikmati gaya hidup tempatan yang unik.
Pengembaraan Lestari
Selain daripada seni binanya yang serba unik, Ormana memiliki banyak khazanah bersejarah dan alam semula jadi serta menawarkan pelbagai aktiviti, daripada melihat hidupan liar dan safari bergambar kepada aktiviti meneroka gua dan trekking. Segala pengalaman ini menjadikan perkampungan berkenaan sebagai destinasi utama buat mereka yang berminat untuk meneroka landskap luar bandar dan cara hidup tradisional Türkiye. Tatkala pengunjung tiba, mereka disambut dengan landskap perkampungan yang mempesona, memaparkan keindahan hamparan rona biru dan hijau. Selepas membuat tempahan hotel rumah berbutang, mereka boleh mendengar perbualan harian penduduk kampung di kedai kopi atau menghayati kedamaian dan ketenangan dengan bersiar-siar di jalanan.
Antara tempat yang mesti dikunjungi di dalam dan sekitar Ormana ialah Gua Altınbeşik dan Eynif Plain. Temui keajaiban Gua Altınbeşik yang menempatkan tasik bawah tanah terbesar di Türkiye dan ketiga terbesar di Eropah. Menghayati bentuk travertine, stalaktit dan stalagmit yang mengagumkan sekali gus mencipta landskap bawah tanah yang menakjubkan.
Bersebelahan dengan Taman Negara Gua Altınbeşik, iaitu taman negara gua yang pertama dan satu-satunya di Türkiye, merupakan dataran tinggi Eynif Plain yang berkeluasan 90,000 ekar. Terletak di Laluan Sutera yang bersejarah, ia kini menempatkan ratusan kuda yılkı liar dengan menawarkan pemandangan yang mempesona. Di dataran tinggi tersebut, Tol Inn (Tol Han) dari zaman Seljuk dan Kota Purba Erymna dari zaman Rom menanti kehadiran pengunjung.
Apatah lagi, Ormana juga paling terkenal dengan ladang anggurnya. Pengunjung boleh melawat ladang anggur dan temui gabungan luar biasa keju kambing dan anggur tempatan. Pada bulan September, perkampungan berkenaan turut menganjurkan pesta anggur tahunan untuk meraikan anggur “çavuş” perkampungan tersebut. Mereka yang mengunjungi Ormana pada bulan September boleh menghadiri pesta ini, merasa anggurnya yang terkenal dan mempelajari tentang penanaman anggur di rantau ini.