Open DC dan Campana Group Memeterai MOU bagi Mengukuhkan Keterhubungan Serantau menerusi Infrastruktur Kabel Bawah Laut dan Darat

Inisiatif pemasangan kabel bawah laut di Satun dan menghubungkannya ke pusat data D8-1 di Zon Ekonomi Sempadan Khas (“SBEZ”) Delapan bagi meningkatkan aliran trafik data dan mengoptimumkan prestasi perkhidmatan digital serantau 

Open DC dan Campana Group Memeterai MOU bagi Mengukuhkan Keterhubungan Serantau menerusi Infrastruktur Kabel Bawah Laut dan Darat

Cyberjaya, 21 November 2024Open DC Sdn Bhd dan Campana Group mengumumkan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MOU) bagi mengukuhkan kadar keterhubungan serantau dan pertumbuhan digital di Asia Tenggara. MOU tersebut menggariskan rancangan Campana untuk menempatkan kabel bawah laut di Stesen Pendaratan Kabel Satun (CLS) di Thailand dan menghubungkannya menerusi kabel darat ke pusat data D8-1 yang diurus dan dimiliki oleh Open DC di Zon Ekonomi Sempadan Khas (“SBEZ”) Delapan, Malaysia.

Kerjasama ini menjadi penanda kepada pencapaian penting dalam usaha mengukuhkan infrastruktur telekomunikasi di antara Thailand dan Malaysia. Sambungan berkelajuan tinggi dan boleh dipercayai di antara lokasi strategik ini dijangka akan memacu pertumbuhan digital serantau dan mengukuhkan keutuhan rangkaian bagi sektor perniagaan dan pengguna di kedua-dua negara.

D8-1 yang terletak hanya 2 kilometer dari sempadan Thailand ialah pusat data Tahap Tiga di wilayah utara Malaysia. Lokasi yang strategik dan infrastruktur yang canggih menjadikan D8-1 hab yang penting untuk keterhubungan rentas sempadan dengan menawarkan kadar kelajuan pemindahan data yang lebih unggul dan lebih diyakini. Penyambungan kabel Campana ke pusat data D8-1 akan memainkan peranan penting dalam menguruskan peningkatan trafik data dan mengoptimumkan prestasi perkhidmatan digital di rantau ini.

Pengarah Urusan Open DC, Weng-Yew Wong berkata, “Penempatan sistem kabel darat dan bawah laut ini dijangka akan menghasilkan pelbagai manfaat kepada sektor perniagaan di Asia Tenggara. Keupayaan rangkaian yang lebih unggul, termasuk kadar kelajuan yang lebih tinggi dan pengurangan tempoh gendala, akan menyokong pelbagai aplikasi, daripada pengkomputeran awan sehingga kepada pertukaran data. Infrastruktur yang dipertingkatkan ini bukan sahaja akan mengukuhkan keterhubungan antara Malaysia dan Thailand, tetapi ia juga akan membuka ruang baharu bagi sektor perniagaan serantau untuk mengembangkan jejak digital dan meningkatkan kadar kecekapan operasi mereka.”

Open DC dan Campana Group Memeterai MOU bagi Mengukuhkan Keterhubungan Serantau menerusi Infrastruktur Kabel Bawah Laut dan Darat
Pengarah Urusan Open DC, Weng-Yew Wong

Ketua Pegawai Eksekutif Campana Group, Dr Myo Ohn, berkata: “Kerjasama dengan Open DC ialah langkah penting dalam mengukuhkan asas digital rantau Asia Tenggara. Penempatan kabel bawah laut kami di Satun dan sambungannya ke D8-1 akan memastikan sektor perniagaan dan pengguna mendapat manfaat daripada infrastruktur rangkaian berkelajuan tinggi yang lebih kukuh, di samping memperkasakan peluang inovasi dan pertumbuhan.”

Open DC dan Campana Group Memeterai MOU bagi Mengukuhkan Keterhubungan Serantau menerusi Infrastruktur Kabel Bawah Laut dan Darat
Ketua Pegawai Eksekutif Campana Group, Dr Myo Ohn

Projek ini dijangka akan menghasilkan impak ketara kepada landskap telekomunikasi di Asia Tenggara, mengukuhkan keterhubungan digital rentas sempadan dan meningkatkan akses sektor perniagaan Malaysia ke pasaran antarabangsa. Kerjasama Open DC dan Campana ini pada akhirnya akan memangkin transformasi digital serantau di samping melonjakkan daya saing keseluruhan rantau ini dalam pasaran ekonomi digital global.

© 2024 BlackButterfly DesignArts