Novo Nordisk sumbang RM30,000 dan 66,000 pelitup muka kepada Kechara Soup Kitchen Society

Kuala Lumpur, 19 Ogos 2020 – Pandemik COVID-19 yang melanda telah membawa ketidakpastian dan kesan sosioekonomi ketara kepada orang ramai di seluruh dunia. Di Malaysia, pandemik ini telah menyebabkan banyak keluarga dibebani masalah kewangan dan kesukaran mencari nafkah, dengan kesan lebih perit dialami oleh golongan gelandangan yang menghadapi cabaran besar untuk meneruskan kehidupan.

Sebagai tindak balas kepada krisis ini, Novo Nordisk telah berganding bahu dengan Kechara Soup Kitchen Society (Persatuan Dapur Amal Kechara) menerusi cabang Tanggungjawab Sosial Korporat (TSK) untuk membantu golongan masyarakat yang terjejas akibat pandemik.

“Tiada yang terlepas daripada kesan COVID-19. Walaupun begitu, kita masih mampu menyokong mereka yang memerlukan. Di Novo Nordisk, menerusi program Take Action™, kami berusaha untuk menabur bakti kepada masyarakat dengan harapan untuk membawa kesan positif dalam kehidupan mereka.   

Kami menyedari bahawa Kechara Soup Kitchen ialah sebuah persatuan yang sanggup melakukan lebih lagi. Mereka cekal berdepan dengan pandemik untuk memastikan keluarga-keluarga yang terbabit tidak hidup dalam kelaparan. Kami benar-benar menghargai usaha murni ini dan memuji Kechara Soup Kitchen atas sumbangan berterusan mereka kepada masyarakat, dan kami berbangga untuk menyokong mereka dalam usaha membantu golongan yang memerlukan,” kata Richard Abela, Naib Presiden dan Pengurus Besar Novo Nordisk Malaysia, Singapura, dan Brunei.

Novo Nordisk menyumbang RM30,000 untuk membantu Kechara Soup Kitchen Society membekalkan makanan dan keperluan asas kepada keluarga dan individu yang memerlukan, dan juga 66,000 keping pelitup muka untuk memenuhi keperluan masyarakat dalam pandemik COVID-19.  

“Tiada siapa yang boleh meramalkan senario semasa dunia dan kami ingin membela nasib kumpulan masyarakat yang paling terkesan akibatnya. Di Kechara Soup Kitchen, sekatan dan kawalan pergerakan pada bulan-bulan awal menimbulkan beberapa cabaran bagi kami – bukan sahaja dari segi bekalan dana, tetapi juga keupayaan kami membekalkan makanan kepada mereka yang memerlukannya.

Oleh yang demikian, kami terhutang budi atas sokongan yang telah diberikan oleh Novo Nordisk terhadap kami. Sumbangan ini boleh dimanfaatkan sepenuhnya untuk membantu banyak keluarga mengisi perut, dan juga melindungi mereka daripada jangkitan COVID-19,” kata Henry Ooi, Presiden Kechara Soup Kitchen.

Richard Abela dan wakil-wakil dari Novo Nordisk menyampaikan cek dan pelitup muka kepada Henry Ooi dan Justin Cheah, Pengarah Operasi Kechara Soup Kitchen, di Kechara Food Bank yang terletak di Setapak Jaya, Kuala Lumpur. Selepas majlis, wakil-wakil Novo Nordisk dan Kechara Soup Kitchen telah menyantuni sebuah komuniti berhampiran untuk membekalkan makanan kepada golongan yang memerlukan.

© 2023 BlackButterfly DesignArts