- Meningkatkan kesedaran kanser payudara melalui perpaduan: Lebih 2,000 peserta memperakukan kepentingan pengesanan awal dan sokongan
- Formasi reben merah jambu manusia terbesar cipta rekod baharu dengan kehadiran Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof dan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad.
Putrajaya, 17 Oktober, 2024 – Novartis Malaysia, dengan kerjasama Institut Kanser Negara (IKN) melakar sejarah manis yang melayakkan namanya dicatat dalam Buku Rekod Malaysia (Malaysia Book of Records) susulan kejayaannya membentuk Formasi Reben Merah Jambu Manusia Terbesar. Inisiatif ini diadakan untuk merangsang kesedaran kanser payudara dan menawarkan maklumat penting kepada para peserta. Acara cubaan pecah rekod ini menjadi tumpuan utama dalam sambutan Karnival Pink IKN dengan 2,050 penyokong kanser payudara yang mengenakan pakaian merah jambu berkumpul di perkarangan Institut Kanser Negara untuk membentuk simpulan reben merah jambu manusia. Perhimpuan besar-besaran ini yang dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Sei Fadillah Yusof, bertujuan meningkatkan kesedaran kanser payudara di samping meraikan kekuatan dan kecekalan pesakit untuk hidup sejahtera, dan lebih lama.
Kanser payudara masih menjadi kanser paling lazim dalam masyarakat Malaysia, dan kira-kira satu dalam lima pesakit kanser menghidap kanser payudara. Seperti yang dimaklumkan oleh Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, “Kanser payudara adalah penyebab utama kematian dalam kalangan wanita.” Beliau menjelaskan, kenyataannya itu dikukuhkan lagi dengan fakta bahawa jumlah kes kanser yang dikesan pada Tahap 3 dan Tahap 4 meningkat dalam tahun 2017 – 2021, dengan 50.5% kes didiagnosis pada tahap akhir, berdasarkan Laporan Daftar Kanser Kebangsaan 2017 – 2021.
Dr Mohamed Anis Harun, Pengarah Institut Kanser Negara (IKN), berkongsi pandangannya berkenaan acara yang bersejarah itu: “Pencapaian yang memecahkan rekod ini menunjukkan betapa pentingnya perpaduan, pengesanan awal, dan sokongan berterusan untuk pesakit dan pejuang kanser payudara. Amat penting bagi semua pihak dan pemegang berkepentingan, termasuk pesakit, bergabung tenaga untuk meningkatkan kesedaran dan pendidikan mengenai kanser payudara.
Dengan bekerjasama, kita boleh menambah baik hasil rawatan dengan ketara dan menyelamatkan banyak nyawa. Ini adalah penyataan visual yang cukup kuat untuk menginspirasi dan memperkasakan semua pesakit kanser payudara Malaysia, mengingatkan bahawa mereka tidak bersendirian dalam melawan kanser. Matlamat kami adalah untuk menggalakkan pesakit mencabar amalan konvensional, berkomunikasi secara terbuka dengan pakar onkologi, dan meneruskan terapi yang menjadikan hidup pesakit lebih berkualiti.”
Jegatheswaran Panderengen, Ketua Hal Ehwal Awam Negara, Novartis Malaysia, menyuarakan sentimen serupa: “Di Novartis, bekerjasama dengan organisasi utama seperti Institut Kanser Negara adalah sangat penting. Acara mencipta rekod hari ini menekankan komitmen bersama yang berterusan bagi memperkasakan pesakit kanser payudara dan keluarga mereka untuk ‘Hidup Sejahtera, Hidup Bersama’. Sejak tahun 2022, kami telah bekerjasama erat dengan IKN, membantu mempertingkatkan rawatan dan keberhasilan kanser payudara bagi pesakit di Malaysia. Kejayaan ini mengukuhkan kepercayaan kami bahawa institusi awam dan swasta boleh bersama-sama memberi kesan yang ketara kepada perjalanan pesakit. Malah, ia memberi inspirasi kepada kami untuk terus berganding bahu dengan IKN, melangkah lebih jauh demi pesakit melalui inisiatif komuniti, program pendidikan, dan terapi inovatif yang mudah diakses.
Datin Dr Zuhanis binti Abdul Hamid, Pengerusi Persatuan Pendidikan Perubatan Institut Kanser Negara (PPPIKN), mengutarakan aspek peningkatan kes kanser payudara yang membimbangkan di Malaysia dan kepentingan untuk pesakit-pesakit ini mempunyai sistem sokongan yang kukuh.
“Diagnosis kanser boleh menggentarkan seseorang. Di PPPIKN, kami berusaha untuk memberikan sokongan kepada pesakit kanser payudara dan memastikan mereka tidak berasa keseorangan dalam perjalanan mereka melawan penyakit ini. Sangat penting bagi pesakit-pesakit ini mempunyai rangkaian sokongan yang komprehensif yang merangkumi organisasi perubatan, pakar onkologi, dan rakan korporat yang berdedikasi seperti Novartis Malaysia. Kami amat menghargai sokongan berterusan dan tidak berbelah yang Novartis berikan sejak tahun 2022 dalam membantu menambah baik pengalaman pesakit yang berjuang melawan kanser payudara di Malaysia.”
Oleh sebab itu, kami sekali lagi menyeru warganegara Malaysia, rakan korporat dan Pertubuhan-pertubuhan Bukan Kerajaan untuk bersolidariti bersama kami dan Kementerian Kesihatan Malaysia untuk memerangi kanser dan pada masa yang sama, menyokong pesakit-pesakit dalam memerangi penyakit ini.
Dengan memupuk komuniti yang kuat dan menyokong, acara ini merangkumkan semangat “Hidup Sejahtera, Hidup Bersama”, menunjukkan bahawa apa jua cabaran yang ditimbulkan oleh penyakit ini, kesatuan barisan hadapan dapat memberi harapan dan kekuatan kepada pesakit.