Kuala Lumpur, 13 September 2024 – Festival Kandungan Digital Malaysia (MYDCF) 2024 dan Karnival Antarabangsa MyDigitalMaker 2024 kembali lagi, buat julung kalinya dianjurkan secara serentak oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) yang dirasmikan oleh Yang Berhormat Tuan Gobind Singh Deo, Menteri Digital di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
Kedua-dua acara ini dijadikan sebagai platform untuk memartabatkan ilmu teknologi digital dan mengetengahkan bakat serta inovasi dikalangan generasi muda. Selain daripada itu, ia sebagai medan pertemuan antara bakat dengan pemain industri dalam bidang animasi, permainan digital dan konvensional, teknologi kreatif, komik, dan e-sukan di bawah satu bumbung.
Tumpuan utama MYDCF tahun ini diberikan kepada konsert dan sesi bertemu peminat oleh artis terkemuka antarabangsa iaitu Nami Tamaki, pelantun suara lagu tema untuk rancangan animasi seperti Mobile Suit Gundam Seed, Gundam Seed Destiny, dan D. Gray-man. Turut sama dalam sesi ini ialah Mayu Maeshima, penyanyi siri anime seperti Re:Zero – Starting Life in naother World, Full Dive, Overlord, dan Uncle from Another World.
MYDCF 2024 juga menampilkan penampilan istimewa dari barisan artis Hololive seperti Kobo Kanaeru, Pavolia Reine, Kureiji Ollie, dan Ayunda Risu. Turut sama dalam sesi tersebut, Ketua Pegawai Eksekutif Cover Corp dan juga pengasas Hololive, Motoaki Tanigo (Yagoo), serta Aina Aiba, penyanyi dan pelakon suara untuk Tokoha Anjō dalam Cardfight!! Vanguard G: NEXT, dan banyak lagi.
Lebih 20 maskot animasi popular seperti Ejen Ali dan Ejen Alicia, serta Papa dan Pipi Zola, dan ramai lagi akan berada di sekitar kawasan acara tersebut.
Tahun lalu, MYDCF berjaya menarik lebih 20,000 pengunjung dan penyertaan lebih 300 organisasi dan jenama dari 10 negara serantau, menjadikan kejayaan acara ini sebagai platform utama dalam memacu ekonomi digital Malaysia.
Bertemakan “Tech Heroes Unleashed”, Karnival Antarabangsa MyDigitalMaker yang dianjurkan dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Synapze Sdn. Bhd. merupakan program dibawah inisitiaf MyDigitalMaker. Inisiatif ini dilaksanakan untuk mentransformasikan pelajar sekolah daripada pengguna kepada pencipta teknologi digital. Sejak tahun 2016, seramai 2.5 juta pelajar sekolah telah mengambil bahagian secara aktif dalam pelbagai program seperti Digital Maker Hub, #CikguJuaraDigital, MetaSkool, Digital Ninja, dan lain-lain.
Pelbagai platform khusus disediakan bagi mengasah bakat dan kemahiran murid sekolah dalam pelbagai bidang teknologi digital merangkumi pengekodan, robotik, pembangunan aplikasi, kecerdasan buatan, analisis data dan percetakan 3D yang akan dapat memupuk minat serta kesedaran murid untuk meneroka dan seterusnya merangsang idea baharu bagi menghasilkan ciptaan inovasi digital.
Karnival MyDigitalMaker pada tahun ini telah dimulakan dengan acara satelit pada bulan Mei hingga September 2024 dengan kerjasama bersama Pusat Sains Negara, Karnival Pendidikan Digital Kelantan, Karnival STEM Peringkat Negeri Sarawak, Karnival STEM Johor, dan Karnival MaiREKA Kedah. Sejak penganjurannya pada tahun 2016, karnival ini telah memberikan manfaat buat 150,000 pelajar sekolah rendah dan menengah seluruh negara.
Antara program lain yang telah dijalankan sepanjang acara ini termasuklah pameran Young STEAMist, Digital Innovator Programme, Felda Robot Challenge, Champion School, MetaSkool, Green Sprout Innovation Challenge, Escape Room: BioDome, Xsolla Curine dan juga pertandingan seperti RacerBot Challenge, MakeX, TODAK Digital Creators Competition, Micro:Bit Innovation and Robotics, Fashion Technology, F1 in Schools, Battle of Digital Ninja, Creativity@Schools and INTEL Geek Kids. Kolaborasi global bersama organisasi UNICEF bagi program Future Skills For All dan Canva Australia memperkasakan peluang pembelajaran bagi pelajar sekolah dan guru.
MYDCF dan Karnival Antarabangsa MyDigitalMaker ini akan diadakan selama tiga hari bermula 13 hingga 15 September 2024. Untuk maklumat lanjut, layari https://mdec.my/mydcf dan https://mdec.my/mydigitalmaker.