
Ramai tidak sedar bahawa bakteria dalam mulut boleh menjejaskan keseimbangan ekosistem usus. Profesor Seow Liang Lin, Dekan Fakulti Pergigian, Universiti IMU, menjelaskan kaitan antara mulut dan sistem penghadaman.
Bagi ramai rakyat Malaysia, kesihatan mulut hanya diberi perhatian apabila mengalami sakit gigi atau gusi. Pemeriksaan gigi secara berkala pula sering dianggap tidak penting. Namun, sikap sambil lewa ini boleh mencetuskan pelbagai masalah, termasuk kerosakan gigi dan penyakit gusi yang semakin teruk, malah meningkatkan risiko masalah penghadaman. [1]
Perkara ini mungkin mengejutkan — apatah lagi mulut dan usus dilihat sebagai dua sistem berasingan. Namun, menurut Profesor Seow Liang Lin, Dekan Fakulti Pergigian di Universiti IMU, “Bakteria dari penyakit gusi boleh menembusi penghalang darah dan bertahan daripada asid perut, lalu menjajah sistem usus dan mengganggu keseimbangan bakteria baik yang membantu penghadaman. Secara perubatan, pesakit dengan penyakit gusi terbukti lebih cenderung mengalami masalah keradangan usus seperti penyakit radang usus (inflammatory bowel disease) dan penyakit Crohn.”
Kesihatan Mulut dan Usus Saling Berkait
Mengulas lanjut, Profesor Seow berkata, “Kawasan mulut dan usus merupakan dua kawasan yang memiliki komuniti mikrob paling padat dan pelbagai. Kedua-duanya mempunyai keseimbangan antara bakteria baik dan jahat. Namun, keseimbangan ini boleh terganggu apabila bakteria dari mulut memasuki usus dan mengeluarkan toksin yang mencetuskan keradangan, serta menekan bakteria baik yang sepatutnya melawan keradangan itu,” jelas beliau.
Begitu juga sebaliknya, di mana masalah penghadaman boleh memberi kesan kepada kesihatan mulut. Sebagai contoh, masalah aliran balik asid dari perut (gastroesophageal reflux disease, GERD) boleh menyebabkan hakisan enamel gigi, yang akhirnya menipiskan struktur gigi, merosakkannya secara kekal, dan menyebabkan sensitiviti. 2
Malah, kehilangan gigi juga dikaitkan dengan penurunan bakteria Faecalibacterium dalam usus, iaitu bakteria yang menghasilkan asid lemak rantaian pendek yang dipercayai mempunyai kesan anti-radang sistemik.
“Hubung kait antara kesihatan mulut dan usus sebenarnya jauh lebih rapat daripada yang disangka. Malah, kesihatan mulut sebenarnya memainkan peranan penting terhadap kesejahteraan keseluruhan seseorang, walaupun sering dipandang ringan. Rongga mulut bertindak sebagai pintu masuk kepada penjajahan mikrob, yang membentuk komposisi mikrobiota di sepanjang saluran pernafasan dan penghadaman,” ujar Prof Seow.
“Masalah pergigian seperti kerosakan gigi atau penyakit gusi yang tidak disedari boleh menyebabkan kehilangan gigi dan menjejaskan keupayaan mengunyah. Ini seterusnya mempengaruhi pilihan makanan. Contohnya, seseorang mungkin mengelak makan daging atau sayur kerana susah dikunyah, lalu beralih kepada makanan proses yang lebih lembut, yang akhirnya membawa kepada masalah pemakanan atau sembelit.”
Satu lagi faktor umum yang menjejaskan kesihatan mulut ialah tabiat merokok, yang boleh merosakkan kesihatan gusi, mencetuskan tindak balas keradangan dalam mulut dan mengurangkan aliran darah ke gusi. Kesannya sekali gus mengakibatkan keradangan gusi yang berpanjangan.
Beri keutamaan kepada kesihatan mulut
Dengan bertambahnya kajian yang dijalankan, semakin banyak kaitan antara kesihatan mulut dan pelbagai penyakit lain dijangka akan ditemui. Namun, data sedia ada yang mengaitkan kesihatan mulut dengan kesihatan usus sudah cukup kukuh untuk membuktikan bahawa penjagaan mulut harus diberikan keutamaan setara dengan aspek kesihatan yang lain.
Ini termasuklah melakukan pemeriksaan berkala untuk mengesan masalah pada peringkat awal, iaitu ketika rawatan masih boleh dilakukan. Contohnya, kerosakan gigi boleh menyebabkan sensitiviti atau kesakitan, lalu mendorong seseorang berjumpa doktor gigi. Namun, penyakit gusi sering berlaku tanpa rasa sakit, manakala tanda-tanda seperti pendarahan sering diabaikan. Lama-kelamaan, struktur tulang yang menyokong gigi akan terjejas dan menyebabkan gigi menjadi longgar dan apabila sampai ke tahap itu, kerosakannya tidak boleh dipulihkan, jelas Profesor Seow.
“Lazimnya, nasihat umum ialah berjumpalah doktor gigi sekurang-kurangnya sekali setahun. Namun, pendekatan yang lebih tepat adalah dengan menilai berdasarkan faktor risiko individu. Jika seseorang mengamalkan penjagaan mulut yang baik dan tidak mempunyai sebarang isu, pemeriksaan tahunan mungkin sudah mencukupi. Akan tetapi, jika terdapat masalah seperti gigi berlubang, penyakit gusi, atau penggunaan pendakap gigi atau prostesis yang mudah memerangkap plak, lawatan lebih kerap (dua kali setahun atau setiap suku tahun) mungkin diperlukan, bergantung kepada nasihat doktor gigi,” tambah beliau.
Akhir kata, Profesor Seow menyarankan supaya setiap individu menjadikan doktor gigi sebagai sekutu kesihatan yang dipercayai. “Mempunyai doktor gigi tetap yang mengenali latar belakang anda akan memudahkan perbincangan terbuka dan pendidikan penjagaan mulut yang bersesuaian serta berkesan.”
[1] Olsen I, Yamazaki K. Can oral bacteria affect the microbiome of the gut?. J Oral Microbiol. 2019;11(1):1586422. Published 2019 Mar 18. doi:10.1080/20002297.2019.1586422
2 Xu, A. A., Hoffman, K., Gurwara, S., White, D. L., Kanwal, F., El-Serag, H. B., … & Jiao, L. (2021). Oral health and the altered colonic mucosa-associated gut microbiota. Digestive diseases and sciences, 66, 2981-2991.