Migrain dan Sakit Kepala Kronik: Apa yang anda perlu lakukan dan bila anda perlu risau ianya boleh menjadi petanda penyakit yang lebih serius?

SMCV berkongsi petanda utama yang perlu diawasi dan bila seseorang itu perlu mendapatkan rawatan untuk mengelakkan masalah kesihatan yang lebih berbahaya

Kuala Lumpur, 8 Jun 2022 – Sakit kepala boleh berlaku disebabkan pelbagai faktor namun sesetengah individu mungkin akan mengalami kesukaran untuk melakukan aktiviti harian apabila sakit kepala yang dialami mereka menjadi semakin serius, atau apabila mereka mula mengalami migrain.

Tension headache merupakan jenis sakit kepala yang paling kerap dialami rakyat Malaysia (26.5%), diikuti dengan migrain (9.0%) serta pelbagai jenis sakit kepala lain (28.2%)[1]. Dr Kok Chin Yong, Pakar Perunding Perubatan dan Neurologi dari Pusat Perubatan Sunway Velocity (SMCV) berkongsi bahawa tension headache dan migrain boleh bertukar menjadi sakit kepala kronik dengan kajian menunjukkan bahawa 2% daripada pesakit migrain bertukar menjadi pesakit migrain kronik setiap tahun.

“Sakit kepala kronik boleh diklasifikasikan sebagai sakit kepala yang berlaku selama 15 hari atau lebih dalam tempoh sebulan, selama tiga bulan atau lebih. Walaupun ia tidak semestinya menjadi petanda kepada satu penyakit yang lebih serius, sakit kepala kronik tidak boleh dipandang ringan. Anda perlu dapatkan rawatan perubatan jika sakit kepala yang dialami disertai dengan simptom lain seperti rasa kebas, lemah badan, sukar bercakap dan berjalan, gangguan penglihatan, demam dan penurunan berat badan,” terang Dr Kok.

Punca sakit kepala dan cara merawat

Dr Kok berkongsi bahawa kebanyakan pesakit mengalami sakit kepala berepisod yang datang dan pergi, di mana sesetengah daripada mereka memerlukan sedikit atau tidak memerlukan sebarang ubat. Sesetengah daripada pesakit yang mengalami sakit kepala kronik juga menderita daripada medication overuse headache (MOH) yang sebahagian besarnya kurang didiagnos namun masih boleh dirawat dengan menggunakan ubat tahan sakit secara terkawal untuk mengurangkan tahap keterukannya.

“Migrain boleh mengehadkan serta mempengaruhi kualiti kehidupan dan kerja seseorang. Ia boleh menjadi semakin teruk selepas melakukan aktiviti fizikal lalu mempengaruhi konsentrasi dan fokus yang seterusnya mengurangkan tahap kecekapan mereka di tempat kerja. Sakit kepala berepisod pula boleh dihindarkan dari menjadi migrain kronik melalui pengambilan ubat pencegahan dan membuat perubahan gaya hidup,” katanya.

Perubahan gaya hidup ini termasuk melakukan senaman dengan kerap, menguruskan tekanan dengan baik dan mendapatkan tidur yang mencukupi.

“Plan rawatan alternatif yang tidak menggunakan ubat adalah penting kerana ia boleh mencetus atau menambahkan lagi sakit migrain. Anda perlu mendapatkan sekurang-kurangnya tujuh jam tidur yang berkualiti – jangan ambil minuman beralkohol untuk tidur serta jangan ambil kafein melebihi jam 3 petang kerana ia boleh menganggu kualiti tidur anda. Masa yang lama di hadapan skrin juga boleh mencetus migrain terutamanya di kalangan orang muda kerana pesakit di golongan umur ini lebih sensitif terhadap cahaya dan bunyi yang boleh membuatkan migrain mereka menjadi semakin teruk.

“Kunci utama untuk mengelak migrain adalah keteraturan. Pesakit yang menghidapi migrain perlu mempunyai jadual makan dan tidur yang teratur. Jika seseorang itu kerap mendapat serangan migrain, beliau harus tahu bahawa terdapat ubat-ubatan pencegah yang sememangnya baik dan berkesan untuk mengurangkan beban sakit yang dialami mereka. Sesentengah daripada ubat-ubatan pencegah ini hadir dalam bentuk pil dan sesetengahnya pula dalam bentuk suntikan. Ubat pencegah dalam bentuk suntikan lebih mudah untuk diawasi dan boleh mengurangkan kekerapan dan keseriusan serangan migrain.”

Petanda masalah kesihatan yang lebih serius

Dr Gerard Arvind Martin, Pakar Bedah Neuro dari SMCV menambah bahawa pesakit dengan sakit kepala yang berlarutan atau semakin teruk kadangkala boleh membawa kepada penyakit saraf yang mengancam nyawa dan, jika tidak dirawat, boleh membawa maut.

Beliau berkongsi bahawa sesetengah sakit kepala boleh menjadi petanda tumor yang mengakibatkan sakit kepala di seluruh bahagian atau di sesetengah bahagian kepala.

“Kami telah melihat perkara ini menjadi realiti kepada pesakit yang mengalami sakit kepala yang disebakan oleh tumor atau keadaan vaskular seperti aneurysm. Tumor boleh menjejaskan kawasan tertentu dengan cara menekan atau berkembang di dalam otak, seterusnya menyebabkan simptom terasa di bahagian kepala yang terjejas.  Tumor boleh membesar secara perlahan atau cepat lalu menekan otak dan menyebabkan otak memberi reaksi kepada tisu tumor tersebut, lalu pembengkakan otak dan sakit kepala pun berlaku,” tambah Dr Gerard.

Selain daripada sakit kepala, pesakit juga boleh memerhati sama ada fungsi neurologi lain terjejas atau tidak seperti kemerosotan dalam membuat keputusan, pemikiran dan daya ingatan. Sawan yang berlaku sebelum, semasa atau selepas sakit kepala juga boleh dijadikan petanda kepada tumor otak.

“Apabila pesakit datang ke hospital dengan beberapa atau kesemua simptom ini, ujian imbasan CT akan dilakukan sebagai ujian saringan awal dan ujian MRI akan dilakukan bergantung kepada hasil ujian imbasan CT serta plan rawatan yang disyorkan kepada pesakit.

Namun begitu, Dr Gerard menekankan bahawa bukan semua sakit kepala boleh menjadi petanda kepada penyakit saraf yang merbahaya. Pesakit harus mengambil kira faktor-faktor yang lain terdahulu.

“Walaupun perkara ini membimbangkan, sakit kepala sebenarnya boleh berlaku disebabkan oleh anggota kepala yang lain seperti mata, telinga, leher, sinus atau gigi. Oleh itu, pesakit perlu mengambil kira keadaan di bahagian tersebut dahulu dan beritahu doktor semasa menjalani konsultasi pertama.”

“Mereka yang mengambil tindakan awal terhadap simptom yang dialami serta mendapatkan rawatan yang tepat boleh memperbaiki keadaan mereka dan bergantung pada diagnosis, dapat terus menjalani kehidupan yang lebih bermakna,” hurai Dr Gerard.

Pusat Perubatan Sunway Velocity terletak di Lingkaran SV, Sunway Velocity. Sebarang maklumat, sila hubungi +603 9772 9191 atau email kami di [email protected]. Untuk maklumat lebih lanjut berkenaan dengan Sunway Medical Centre Velocity, sila layari www.sunmedvelocity.com.my (Facebook: Sunway Medical Velocity).


[1] http://mymedr.afpm.org.my/publications/34405

© 2023 BlackButterfly DesignArts