Narımor dan Casa Lavanda dianugerahkan Satu Bintang MICHELIN; 9 restoran baharu menerima Bib Gourmand
KUALA LUMPUR, 28 Januari 2025 – Michelin dengan sukacitanya mengumumkan pilihan restoran 2025 untuk Panduan MICHELIN Istanbul, Izmir dan Muğla pada satu majlis yang berlangsung di Hotel Four Seasons Bosphorus, Istanbul. Edisi 2025 berkenaan menambah 32 restoran baharu, dengan jumlah keseluruhan restoran yang disyorkan di Türkiye kepada 132 dengan 77 di Istanbul, 24 di Izmir dan 31 di Muğla.
Dalam kalangan restoran ini yang baru ditemui oleh Pemeriksa Panduan MICHELIN, dua daripadanya telah dianugerahkan Satu Bintang MICHELIN dan 9 yang lain pula menerima Bib Gourmand.
Gwendal Poullennec, pengarah Antarabangsa Panduan MICHELIN, mengulas, “Semasa kami mula meneroka wilayah baharu di Muğla dan Istanbul, pasukan pemeriksa kami secara berperingkat menemui khazanah tersembunyi dan restoran unik yang bakal menggembirakan penggemar gastronomi tempatan dan pelancong antarabangsa. Pilihan 2025 ini merupakan pujian sebenar terhadap dinamisme dan kepelbagaian kulinari yang mana setiap rantau menyerlah dengan keperibadian dan identitinya sendiri.”
Casa Lavanda dan Narımor dianugerahkan Satu Bintang MICHELIN
Terletak 40 kilometer dari pusat bandar Istanbul, Casa Lavanda merupakan syurga kedamaian hotel dan restoran yang terletak di antara taman dan petak sayur-sayuran berkeluasan 21,000 m². Mengetuai bahagian dapur dalam perniagaan keluarga ini, cef Emre Şen menggabungkan citarasa klasik sajian Turki dengan sentuhan inspirasi Mediterranean terutamanya Itali dengan begitu cemerlang. Sama ada agnolotti al dente berisi burrata dan mascarpone atau ikan siakap enak dari Laut Hitam yang disajikan bersama sayur-sayuran dari taman, hidangan masakan cef ini menceritakan tentang keaslian dan keikhlasan. Komited khususnya untuk mempromosikan persekitaran tempatan dengan mengetengahkan hasil tanamam bermusim – 80% daripada buah-buahan san sayur-sayuran diperoleh dari kebun dapur dan simpanan benih mereka sendiri – dan mengekalkan hubungan erat dengan masyarakat sekeliling, restoran berkenaan mempunyai gerai di pasar Terre de Sile yang dianjurkan oleh pergerakan Slow Food bagi menjual lebihan daripada kebun dapur.
Mengendalikan dapur Narımor di Izmir, cef Atilla Heilbronn menggabungkan asal usul Jermannya bersama kekayaan kulinari Türkiye dengan begitu harmoni dalam satu tafsiran halus tradisi kulinari tempatan. Dengan hanya lima meja yang menempatkan sedozen pengunjung, Narımor menyediakan pengalaman intim dan elegan yang mengambil kira setiap butiran terperinci. Menunya mengetengahkan hasil tempatan yang digabungkan dengan teknik masakan serba mahir misalnya seperti yang terlihat pada hidangan utamanya, Sea Bream Aprikot, Kacang Laut dan Kefir. Rasa aprikot meningkatkan masakan ikan yang menarik ini manakala serbuk samphire mengimbangi keseluruhan hidangan dengan sentuhan kemasinan yang tidak begitu ketara. Hidangan yang mesti dicuba, menurut Pemeriksa Panduan berkenaan.
Sembilan restoran baharu menerima anugerah Bib Gourmand
Dihargai khususnya oleh pengemar gourmet tempatan dan pelancong antarabangsa, Bib Gourmand menandakan restoran dalam pilihan berkenaan dengan julat harga tertentu, menawarkan pengalaman kulinari yang sememangnya luar biasa. Pemeriksa Panduan MICHELIN menganugerahkan Bib Gourmand kepada 9 restoran baharu: 4 di Istanbul, 2 di wilayah Izmir dan 3 di wilayah Muğla.
Dengan pengecualian Arka Ristorante Pizzeria yang terletak di Bodrum dan menyediakan hidangan istimewa Itali yang lazat, restoran berkenaan kebanyakannya memberi tumpuan kepada rasa dan resipi Turki yang diterjemahkan menerusi cara tradisional atau dengan variasi yang lebih kontemporari.
Peminat sajian masakan asli tidak akan melepaskan peluang untuk menikmati makan tengah hari atau makan malam di Ali Ocakbaşı (Istanbul) atau Aslında Meyhane (Urla, Izmir). Di Aslında Meyhane, pasukannya menyediakan resipi serantau khusus dari Izmir yang dihidangkan dengan banyak berserta suasana mesra.
Lebih mudah diakses, Tatbak (Istanbul) yang dipilih oleh pemeriksa dan dinaikkan ke tahap Bib Gourmand, merupakan sebuah institusi yang terkenal dengan pide, kebab dan lahmacun. Tempat makan ini tidak begitu mahal dan sangat baik untuk menikmati beberapa hidangan istimewa masakan Turki yang paling popular.
Penggemar hidangan gourmet boleh duduk di kanuter Araf İstanbul iaitu restoran bersaiz kecil untuk menikmati sajian masakan Turki kontemporari dan hidangan hebat yang dimasak menggunakan arang.
Berkongsi dan suasana penuh kemesraan merupakan intipati di Nazende Cadde (Istanbul) dan Beynel (Bodrum). Di sini, Pemeriksa menyarankan kunjungan bersama keluarga atau rakan dengan memesan beberapa pinggan untuk berkongsi. Mereka begitu menghargai persekitaran terbuka Beynel yang tidak formal yang mana meja luar hanya dipayungi oleh pepohon oren dan lemon disulami bauan haruman tatkala tiba musimnya.
Yang terakhir tetapi tiada kurangnya, para Pemeriksa juga tertarik dengan pesona bohemian dan romantik Asma Yaprağı yang terletak di Alaçatı (Izmir). Terletak dalam persekitaran yang indah, restoran ini mengajak tetamu untuk memilih daripada pilihan hidangan yang disediakan setiap hari menggunakan produk tempatan dan artisan. Dipacu oleh visi cef Ayşe Nur Mıhcı, restoran ini meraikan perkongsian dan kemurahan hati bersama hidangan masakan yang kaya dengan keasliannya.
Untuk sentuhan yang lebih kedesaan, Agora Pansiyon merupakan restoran tersembunyi di perkampungan Kapıkırı yang juga terpencil di utara Bodrum. Rumah penginapan yang dikendalikan keluarga ini menyediakan menu yang sangat ringkas terutamanya berdasarkan pengeluaran buah-buahan, sayur-sayuran dan minyak zaitunnya sendiri, serta daging dan ikan terbaik dari sumber tempatan.
Dengan restoran baharu ini serta restoran yang mengekalkan kecemerlangan masing-masing untuk tempoh setahun lagi, jumlah bilangan restoran Bib Gourmand yang disyorkan dalam pilihan 2025 meningkat kepada 27 dengan 14 di Istanbul, 8 di Izmir dan 5 di Muğla.