MiCare bekerjasama dengan Farmasi Alpro dalam Program Pengurusan Penyakit Korporat (CDMP)

 Penjimatan RM8 juta kos perubatan pekerja-pekerja korporat Malaysia 

Kuala Lumpur, 13 April 2023 – Farmasi Alpro, rangkaian farmasi preskripsi terbesar di Malaysia kini menjalinkan kerjasama dengan Organisasi Penjagaan Terurus terkemuka dalam Asia Tenggara, MiCare. Dalam tempoh dua tahun yang singkat ini, hasil anjuran bersama Program Pengurusan Penyakit Korporat (CDMP) telah berjaya mencatatkan penjimatan kumulatif sebanyak RM8 juta dalam kos ubat-ubatan bagi ahli korporat MiCare yang juga terdiri daripada beberapa syarikat multinasional terkemuka seluruh Malaysia. 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MiCare, Moses Hee berkata, “MiCare memilih Farmasi Alpro untuk bekerjasama dalam menawarkan perkhidmatan kepada lebih daripada 10 juta ahli MiCare. Hal ini kerana kami yakin bahawa Farmasi Alpro mampu memenuhi visi kami untuk menjadikan penjagaan kesihatan lebih mampu milik dan mudah diakses sekaligus membantu syarikat insurans, korporat, majikan, dan individu dalam pengurusan kos penjagaan kesihatan mereka dengan lebih baik meskipun inflasi perubatan dan kerumitan pentadbiran semakin meningkat. Dengan mengambil perspektif yang holistik, kerjasama MiCare dan Alpro tidak terbatas kepada pembekalan ubat-ubatan sahaja, malah dengan kerjasama ini juga MiCare dan Alpro aktif dalam melaksanakan pelbagai Program Pengurusan Penyakit Korporat (CDMP) untuk membantu ahli korporat kami meningkatkan tahap kesihatan. Bukan itu sahaja, klinik-klinik panel GP kami juga merupakan rakan strategik penting dalam mencapai visi kami dan dengan sokongan mereka, MiCare dapat memberi perkhidmatan penjagaan kesihatan yang optimum.” 

Salah satu aktiviti di bawah Program Pengurusan Penyakit Korporat (CDMP) yang disediakan oleh Alpro kepada ahli korporat MiCare adalah Perkhidmatan Farmasi Panel Korporat , yang menyediakan lapisan tambahan untuk intervensi atau penyemakkan oleh ahli farmasi untuk menilai preskripsi ubat dari klinik sebelum membekalkan ubat kepada pengguna korporat. 

Ph. Low Swee Siong, Ketua Pegawai Eksekutif Farmasi Alpro memberikan komen dan pandangan beliau mengenai impak Perkhidmatan Farmasi Panel Korporat, “Tugas hakiki sebagai ahli farmasi adalah bertanggungjawab dalam penjagaan ubat-ubatan dan memastikan tahap keselamatan ubat-ubatan sentiasa terjamin. Dengan penglibatan ahli farmasi yang didorong oleh inovasi dan teknologi terkini, termasuklah perkhidmatan tele-perubatan dan PILcube bagi tujuan pembungkusan ubat, Alpro telah berjaya menjimatkan kos ubat-ubatan untuk pengguna korporat kami.” 

Selain daripada itu, kos kepada korporat dapat dikurangkan dengan lebih efektif apabila tidak ada sebarang caj transaksi tambahan yang dikenakan sepanjang kolaborasi strategik bersama dengan MiCare. Malah, Alpro menyokong dan bersetuju dengan prinsip MiCare di mana tidak ada sebarang unsur-unsur pembahagian fi yang harus dikenakan pada pembekal perkhidmatan dan ini akan menjadikan kolaborasi ini lebih bermakna dan berkesan dalam pengurangan kos perubatan. 

Dalam tempoh dua tahun yang lepas, Alpro telah menyediakan Program Kesejahteraan Korporat secara percuma sebagai salah satu inisiatif lain yang terdapat dalam Program Pengurusan Penyakit Korporat (CDMP). Program ini telah memberi manfaat kepada lebih 15,000 ahli korporat MiCare melalui ujian kesihatan awal, ceramah kesihatan dan webinar kepada lebih 100,000 pekerja. Hal ini bertujuan mengelakkan produktiviti pekerja menurun disebabkan faktor kesihatan. 

Menurut rekod statistik pengeluaran ubat Farmasi Alpro, tiga diagnosis utama dalam kalangan pekerja korporat adalah Tekanan Darah Tinggi, Dislipidemia (Kadar Kolestrol Tinggi) dan Diabetes. Penyakit tidak berjangkit (NCD) ini serta penyakit-penyakit lain dianggarkan memakan kos sebanyak RM8.91 bilion setiap tahun disebabkan penurunan produktiviti dalam kalangan pekerja yang berpunca daripada ketidakhadiran, kehadiran pekerja ke tempat kerja dalam keadaan tidak sihat, dan kematian awal dalam kalangan pekerja di Malaysia. 

Ph Low menambah, “Melalui pelbagai inisiatif yang ditawarkan dalam Program Kesejahteraan Korporat yang dilaksanakan oleh anggota professional kami, termasuklah Ahli Farmasi, Ahli Audiologi, Pakar Pemakanan, Pakar Dietitik dan Ahli Fisioterapi, penyakit tidak berjangkit (NCD) yang berpotensi memberi peningkatan besar terhadap penurunan produktiviti pekerja dapat dikesan dan dikawal dengan berkesan.” 

© 2023 BlackButterfly DesignArts