Menteri Besar Johor Rasmi Ujian Perintis Bas Rapid Transit Iskandar Malaysia

ISKANDAR PUTERI, 8 APRIL 2021– Menteri Besar Johor, Datuk Ir. Hasni Mohammad merasmikan perlaksanaan sistem Bas Rapid Transit Iskandar Malaysia (IMBRT) yang memulakan projek rintisnya di sini, hari ini.

Sistem itu memulakan projek rintis bagi menguji keupayaan bas berkapasiti tinggi serta menggunakan teknologi hijau seiring dengan pemodenan sistem pengangkutan awam di negeri itu.

Ketibaan Menteri Besar Johor disambut Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Negeri Johor, Mohd Solihan Badri serta Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), Datuk Ismail Ibrahim.

Menteri Besar Johor Rasmi Ujian Perintis Bas Rapid Transit Iskandar Malaysia IMBRT
Momentos to Datuk Haji Hasni Bin Haji Mohammad from bus suppliers

Datuk Ir. Hasni menyempurnakan gimik perasmian pelancaran projek ujian rintis sebelum meluangkan masa meninjau model berskala Stesen IMBRT dan melawat tiga jenis bas untuk laluan perantara, terus dan utama sistem IMBRT daripada sembilan bas berteknologi hijau lain yang akan diuji.

Beliau kemudiannya turut serta menaiki bas berkapisiti tinggi yang melalui Persiaran Puteri Selatan, Jalan Laksamana 1, Jalan Laksamana 2 dan Persiaran Dato’ Seri Amar sebelum berpatah balik ke lokasi permulaan.

Ujian rintis tersebut akan berjalan selama tiga bulan menggunakan bas berteknologi hijau berasaskan elektrik dan biodiesel daripada sembilan buah syarikat pengeluar bas tempatan dan antarabangsa.

IRDA serta agensi-agensi berkaitan akan turut menjalankan membuat penilaian, mengumpul maklum balas mengenai keberkesanan dan keselamatan bas serta mendapatkan kelulusan penggunaan sebenarnya kelak.

Terdahulu, dalam ucapan perasmiannya, Menteri Besar Johor, Datuk Ir. Hasni Mohammad berkata projek IMBRT penting bagi meningkatkan tahap mobiliti rakyat negeri itu.

“Perkhidmatannya akan memastikan sistem pengangkutan awam yang efisien, mudah dan mesra alam, meliputi kawasan yang luas.

“Saya yakin ianya akan menjadi pemangkin pembangunan, tidak hanya bagi kawasan Iskandar Malaysia, tetapi bagi keseluruhan negeri Johor,” katanya lagi.

Ketua Eksekutif IRDA, Datuk Ismail Ibrahim pula menegaskan infrastruktur pengangkutan awam yang efisien dan bersepadu penting bagi menarik pelaburan asing dan domestik, sekaligus meningkatkan daya tarikan ke koridor pembangunan itu.

“Projek IMBRT ini dijangka akan membuka sehingga 35,000 peluang pekerjaan dan meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi Johor,” tambahnya lagi.

Projek tersebut telah mengenal pasti laluan perantara, terus dan utama yang akan menghubungkan kawasan seluas 2,043 kilometer atau kira-kira 90 peratus daripada kawasan berpenduduk di Iskandar Malaysia.

Apabila dilaksanakan sepenuhnya, IMBRT mampu menghubungkan 55 laluan perantara dan 44 laluan terus dengan laluan utama merangkumi 33 stesen. Maklumat lanjut tentang projek boleh didapati menerusi saluran media sosial rasmi Iskandar Malaysia Bus Rapid Transit (IMBRT).

© 2023 BlackButterfly DesignArts