Mengukuhkan Ekosistem Impak di Malaysia dan Lebih Jauh Demi Mencapai Matlamat Pembangunan Mampan

UNDP Malaysia berganding bahu dengan MaGIC dalam penganjuran sesi dialog dasar peringkat tinggi mengenai isu-isu berkaitan pembangunan Ekosistem Impak sempena acara kemuncak Fasa 2 dalam kerjasama SICA

Putrajaya, 10 December 2021 – Dalam situasi semasa pandemik COVID-19 dan krisis perubahan iklim yang sedang melanda, jelas bahawa terdapat keperluan segera untuk mempercepatkan usaha untuk mencapai Matlamat Pembangunan Mampan atau Sustainable Development Goals (SDG). Malah, cabaran untuk mencapai SDG bukan sahaja melibatkan peruntukan sumber kewangan, tetapi lebih kepada usaha memanfaatkan sumber yang lebih komprehensif – termasuk bakat, ilmu pengetahuan, kemahiran keusahawanan dan tenaga insan, demi mencapai Agenda 2030.

Hakikatnya ialah amalan perniagaan biasa kini tidak boleh diterima pakai lagi. Tetapi kita tidak perlu bimbang kerana kini terdapat pilihan pembangunan alternatif. Sebagai contoh, pelaburan untuk membina ekonomi lestari dengan pengeluaran karbon bersih sifar yang mampu menangani perubahan iklim akan mewujudkan kitaran positif yang menjana pertumbuhan mampan, di samping meningkatkan peluang pekerjaan dan kejayaan. Berasaskan pengalaman selama bertahun-tahun, Program Pembangunan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) telah memahami peranan penting yang dimainkan oleh perusahaan sosial dan perniagaan berlandaskan impak sosial untuk menangani pelbagai cabaran sosial, ekonomi dan alam sekitar menerusi penyelesaian teknologi dan model perniagaan yang mampan. Namun begitu, perubahan kepada kaedah pembangunan baharu memerlukan transformasi yang lebih sistematik dan mendalam, yang bukan sahaja tertumpu kepada usaha dalam merapatkan jurang kewangan.

Inisiatif inovasi sosial seperti program Pemangkin Cabaran Impak Sosial atau Social Impact Challenge Accelerator (SICA) yang baru sahaja tamat ini memainkan peranan penting dalam usaha mengimbangi manfaat yang diperolehi oleh pelopor inovasi, masyarakat dan alam sekitar. Untuk memupuk dan meluaskan penyelesaian yang mampu menyumbang ke arah masyarakat yang lestari, firma modal teroka dan institusi kewangan perlu memainkan peranan penting untuk mengukuhkan keupayaan mereka mencari, melabur dan meningkatkan keupayaan perniagaan berprestasi tinggi dengan menawarkan penyelesaian yang mencetus transformasi dan menghasilkan impak kepada pasaran, sejajar dengan matlamat SDG.

“Para pelabur kini semakin komited untuk memainkan peranan membina dunia yang lebih berdaya tahan dan lestari. Momentum bagi pelaburan yang memenuhi matlamat SDG semakin kukuh dan mencetus perubahan besar dalam suasana pelaburan di peringkat global dan juga Asia Pasifik,” kata Christophe Bahuet, Timbalan Pengarah Serantau UNDP bagi Asia dan Pasifik. “Dalam tempoh lima tahun lepas, pasaran pelaburan impak, yang kini dianggarkan bernilai USD 715 bilion, telah mencatatkan pertumbuhan ketara. UNDP mengalu-alukan perkembangan positif ini dan akan terus berganding bahu dengan para pelabur impak, komuniti perniagaan dan kerajaan untuk memanfaatkan konsep pembiayaan tersebut untuk Mencapai Matlamat Pembangunan Mampan.”

Menyedari hakikat bahawa perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) adalah pemacu penting ekonomi Malaysia, iaitu mewakili 97.2% daripada semua perniagaan dan menyumbang 38.2% daripada KDNK pada 2020 – inisiatif bersama seperti program Pemangkin Impak Perniagaan yang dilaksanakan pada Fasa 2 kerjasama SICA dengan firma modal teroka terkemuka, 500 Global, boleh menyumbang kepada usaha negara kita memcepatkan pencapaian SDG dengan meluaskan perniagaan yang mencetus transformasi dan berimpak tinggi, di samping memperkenalkan syarikat-syarikat pemula Malaysia yang membawa kesan positif kepada firma-firma modal impak global.

Di bawah usaha sama antara UNDP-MaGIC, program SICA telah berganding bahu dengan 500 Global bagi memecut pertumbuhan perniagaan impak dengan menyasarkan lima bidang utama; (i) menambah baik perkhidmatan untuk warga Malaysia yang lanjut usia; (ii) mengubah sisa sungai menjadi sumber hasil; (iii) mendidik demi masa depan; (iv) mempelopori inovasi bagi kanak-kanak; (v) menerajui impak sosial – menerusi syarikat pemula.

Pada 23 November 2021, sejumlah dua puluh lima syarikat pemula yang dipilih untuk fasa kedua program SICA telah menamatkan latihan persediaan intensif pantas selama 10 minggu yang menggabungkan program pemangkin perniagaan dengan usaha yang ditumpukan untuk menjajarkan perniagaan mereka kepada impak SDG, termasuk pengukuran impak dan amalan pengurusan. Sebagai kemuncak fasa ini, Hari Pembentangan Perniagaan dianjurkan untuk membolehkan pasukan-pasukan syarikat pemula membentangkan cadangan perniagaan masing-masing kepada sekumpulan pelabur modal impak, wakil institusi kewangan dan firma peluasan perniagaan, di peringkat tempatan dan global, sebelum melayakkan diri bagi fasa ketiga SICA.

Niloy Banerjee, Wakil UNDP Malaysia, Singapura dan Brunei Darussalam berkata, “UNDP telah melaksanakan program-program pemangkin impak perniagaan (IVA) di peringkat global sejak tempoh 3-4 tahun lepas, yang terbukti merupakan pendekatan praktikal dan berkesan untuk membantu perusahaan untuk meluaskan perniagaan berasaskan penggunaan penyelesaian teknologi bagi menangani isu-isu pembangunan. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada kesemua 25 perniagaan yang mengambil bahagian dalam Program Pemangkin Impak. Perkara yang paling diutamakan oleh program ini ialah impak jalan penyelesaian mereka terhadap masyarakat dan dunia, terutamanya pada masa-masa sukar ini.

Untuk terus mengukuhkan pembangunan ekosistem impak di Malaysia, sebuah perbincangan dasar peringkat tinggi telah diadakan sempena Hari Pembentangan Perniagaan SICA bagi mengenal pasti jurang dan mendapatkan penyelesaian demi mengetengahkan isu-isu dan peluang bagi membina ekosistem impak yang lebih matang dan teratur. Dialog ini dihadiri oleh wakil-wakil penting daripada Malaysian Research Accelerator for Technology and Innovation (MRANTI), Program Pembangunan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP), Khazanah Nasional Berhad dan 500 Global. MRANTI ialah sebuah agensi yang ditubuhkan baru-baru ini hasil penggabungan antara MaGIC dan Technology Park Malaysia (TPM).

Kesimpulan penting daripada perbincangan ahli-ahli panel termasuk:

  1. Istilah Pelaburan Impak sering ditakrifkan sebagai tujuan untuk menghasilkan keputusan sosial positif, terutamanya apabila diguna pakai dalam skala lebih besar. Penyelesaian teknologi dan inovasi telah menjadi peneraju bagi melaksanakan penyelesaian untuk menangani isu-isu sosial dan alam sekitar.
  2. Terdapat keperluan bagi cara yang boleh dipercayai untuk mentakrifkan, mengukur dan menjadikan impak lebih mudah dilaksanakan. Apabila impak diukur dengan sewajarnya dan diketengahkan, lebih banyak pihak berkepentingan akan memandang serius impak tersebut.
  3. Pembina ekosistem impak memerlukan pendekatan jangka pertengahan hingga panjang. Kesedaran dan penerimaan terhadap pelaburan impak perlu dipertingkatkan bagi pelaburan berskala besar untuk mencetus kesan positif.

Acara ini mendapat sambutan menggalakkan daripada komuniti pelabur. Dzuleira Abu Bakar, Ketua Pegawai Eksekutif TPM mengulas, “MRANTI berhasrat membina sebuah komuniti global yang berkembang pesat dengan menggiatkan pengkomersialan idea inovatif bagi menghasilkan impak yang dikehendaki. Untuk tempoh mendatang, kami berharap untuk mengukuhkan kerjasama ini bagi mencapai kesan positif, mewujudkan kesinambungan dan mencuba model-model baharu untuk menyokong syarikat-syarikat pemula bagi membolehkan mereka mencetus perubahan sosial berskala besar dalam jangka panjang. Kami percaya dengan berbuat demikian, kita akan meningkatkan pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan sosial sambil membawakan produk dan penyelesaian yang lebih termampu, disediakan secara meluas dan mudah didapati untuk meningkatkan kualiti kehidupan semua.”

Nik Marien Kamal, Naib Presiden Kanan (Pelaburan), Khazanah Nasional Berhad, menambah, “Konsep impak akan diterima pakai dalam arus perdana pada masa depan dan tidak lagi menjadi kelas aset yang khusus. Hakikatnya semua pelaburan akan menjadi pelaburan impak. Tetapi sebelum kita sampai ke peringkat ini, kita perlu mentakrifkan impak dengan lebih teliti dan menentukan siapa yang bakal menerima manfaatnya. Pelaburan impak kini menjadi tanggungjawab bersama: pelabur tidak boleh memaksimumkan pulangan kewangan dengan mengabaikan faktor sosial dan alam sekitar.”

Khailee Ng, Pengarah Urusan, 500 Global, berkata, “Ekosistem impak telah berkembang pantas dalam tempoh 10 tahun lepas, kini terdapat pelbagai aktiviti (hari pembentangan perniagaan, perubahan tingkah laku pengguna, usaha di peringkat akar umbi) yang bertujuan mencapai kesan positif. Orang ramai seharusnya mengenal pasti SDG atau sektor impak yang khusus dan mula mengambil langkah untuk mencapai impak yang besar dan bermakna pada masa depan.”

Di bawah fasa ketiga program SICA, para peserta yang mencatatkan prestasi yang baik pada Hari Pembentangan Perniagaan berpeluang untuk menerima sokongan pasca program pemangkin perniagaan, seperti bantuan kewangan daripada rakan-rakan niaga yang turut serta, capaian kepada bimbingan dan jaringan tempatan dan antarabangsa, peluang untuk mengakses program perolehan kerajaan (Program Perolehan Impak Sosial Kerajaan) dan peluang menarik pelaburan antarabangsa.

Untuk maklumat lanjut, sila layari www.my.undp.org atau https://www.mymagic.my/sica/en.

© 2023 BlackButterfly DesignArts