Oleh Dr Ong Siew Siew, Pensyarah Kanan, Pusat Pengubatan Komplimentari & Alternatif di IMU University
Pernahkah anda terfikir kenapa mood dan tenaga kita berubah-ubah, ada turun naiknya? Kebanyakan hari, kita rasa tenang dan ceria, tetapi ada kalanya mood kita merudum dan rasa tidak bertenaga, yang membuatkan kita tertanya-tanya apakah sebabnya.
Apa kaitan emosi dengan TCM?
Dalam amalan Perubatan Tradisional Cina (TCM), matlamat kami adalah untuk mencapai keharmonian antara struktur tubuh (形), tenaga utama atau daya hidup (气) dan teras rohani atau minda (神), yang secara kolektifnya dikenali sebagai “Xing Qi Shen” (形气神). Tubuh kita melakukan penyesuaian yang sebaiknya untuk menghadapi cabaran hidup, dan berfungsi secara optimum apabila semua tenaga ini seimbang. Bagaimanapun, ketidakseimbangan dalam tenaga yang berlawanan boleh memberi isyarat kepada potensi penyakit. Walaupun keseimbangan sempurna tidak boleh dicapai atau tidak diingini kerana ia akan menyekat sifat dinamik tubuh kita, namun amat penting untuk kita mengenalpasti tanda-tanda awal masalah kesihatan dan segera menanganinya bagi mengekalkan kesejahteraan diri.
Kesihatan emosi dalam TCM berkait rapat dengan organ-organ tertentu, yang sesuai dengan pelbagai tindak balas emosi yang dikenali sebagai “tujuh emosi”. Emosi ini, iaitu gembira, marah, bimbang, murung, sedih, takut dan terkejut (喜、怒、忧、思、悲、恐、惊), turut mempunyai kaitan yang rapat dengan lima visera, mewujudkan interaksi yang kompleks antara pengalaman emosi dan fungsi organ dalaman. Menurut TCM, setiap emosi berinteraksi dengan organ tertentu dan emosi yang keterlaluan atau berpanjangan boleh menjejaskan kelancaran aliran qi dan darah, berpotensi menyebabkan ketidakseimbangan dan mengundang penyakit.
Berdasarkan kepada pemahaman ini, ia jelas menekankan kepentingan untuk melihat setiap organ sebagai entiti yang berfungsi, mengiktiraf kepentingan peranannya dalam mengekalkan keseimbangan emosi. Meskipun penilaian emosi tidak semestinya menjadi petunjuk kepada penyakit, namun ia merupakan aspek yang penting dalam diagnosis TCM, yang menjelaskan bagaimana fungsi organ boleh mempengaruhi kesejahteraan emosi.
Melalui penerokaan ke atas keterhubungan antara fizikal tubuh, tenaga utama atau daya hidup dan daya tahan emosi, TCM berusaha untuk meningkatkan keharmonian yang berterusan antara tubuh-minda-rohani secara menyeluruh.
Tambahan pula, setiap organ sepadan dengan salah satu daripada lima unsur iaitu Api, Tanah, Kayu, Air dan Logam, di mana tenaga kehidupan atau qi mengalir di antaranya. Contohnya, peranan hati dalam TCM berkait rapat dengan emosi seperti kemarahan, kekecewaan dan kebencian. Dirujuk sebagai “jeneral kepada pegawai” (“将军之官”), hati mengawal emosi, menyimpan darah dan mempunyai fungsi mengatur peredaran qi, yang meningkatkan kestabilan emosi. Menurut teori Lima Unsur, hati tergolong dalam unsur Kayu yang memainkan peranan penting dalam pengawalan emosi dan penyimpanan darah. Kemarahan yang keterlaluan boleh menyebabkan peningkatan qi dan darah (“怒则气上”), yang mengakibatkan gejala seperti sakit kepala, pening, muka menjadi merah, tinitus (bunyi bising dalam telinga) dan pitam. Tekanan emosi yang menyebabkan hati gagal memainkan fungsinya sebagai penyebar, boleh mengakibatkan qi bergenang dan mencetuskan ketidakseimbangan emosi seperti rasa marah, rengsa, dan benci, selain gejala fizikal contohnya masalah pencernaan.
Begitu juga, konsep TCM lain turut meneroka bagaimana kegembiraan yang keterlaluan (“喜则气缓”), terlalu banyak berfikir (“思则气结”), kesedihan berpanjangan (“悲则气消”) dan ketakutan yang berlanjutan (“恐则气下”) mempengaruhi aliran qi dan fungsi organ. Hubungan antara kesihatan emosi dan ketidakseimbangan organ adalah salah satu daripada pengaruh dan interaksi yang saling berkait, yang menonjolkan pendekatan TCM dalam menangani kesejahteraan fizikal dan emosi.
Bukti Di Sebalik TCM
TCM mempunyai sejarah yang panjang dan terbilang, namun ia masih sukar untuk disatukan. Bagaimanapun, banyak usaha sedang dilakukan untuk mendokumentasikan keberkesanannya. Hasilnya, sebuah badan penyelidikan yang semakin meningkat tampil memberi penerangan bagaimana TCM boleh meredakan gejala yang biasanya dikaitkan dengan keresahan dan kemurungan, termasuklah insomnia, kelesuan dan masalah pencernaan. Dalam keadaan tertentu, TCM boleh melengkapkan pendekatan rawatan konvensional, yang biasanya membabitkan kaunseling dan ubat farmakologi standard.
Kemurungan, keresahan dan kecelaruan panik merupakan cabaran kesihatan emosi yang lazim. Kemurungan biasanya muncul sebagai perasaan sedih yang berterusan, tiada mood dan kurang minat atau tenaga. Gangguan keresahan pula boleh menyebabkan seseorang itu mengalami kebimbangan, kegelisahan dan rasa gementar yang melampau, selalunya disertai oleh ketidakselesaan fizikal. Kecelaruan panik pula boleh mencetuskan ketakutan dan keresahan secara tiba-tiba dan keterlaluan, selain gejala fizikal seperti jantung berdebar-debar, sesak dada dan berpeluh-peluh.
TCM menawarkan pendekatan holistik yang memupuk kesihatan dan kecergasan yang berpanjangan, bukan sekadar melegakan simptom yang terbit daripada gangguan ini. Ia menggunakan kaedah rawatan seperti perubatan herba, akupunktur dan terapi urutan untuk mengimbangkan semula aliran qi dan darah dalam tubuh serta mengharmonikan fungsi organ-organ dalaman. Dengan cara ini, TCM tampil dengan matlamat menangani punca- punca tekanan emosi, memudahkan proses untuk kembali kepada keadaan kesihatan fizikal dan mental yang seimbang. Sebagai contoh, biji jujube yang masam menenangkan minda dan menyuburkan jantung, yang berguna untuk masalah insomnia, keresahan dan ketidakstabilan emosi, manakala licorice, sejenis herba adaptogenik, membantu mengatur tindak balas tubuh terhadap tekanan dan meningkatkan ketenangan dalaman.
Setakat ini penemuan penyelidikan adalah sangat menggalakkan. Dalam beberapa kajian semula yang telah diterbitkan, penyelidik mendapati bahawa akupunktur mempunyai impak positif terhadap pesakit yang mengalami kemurungan, melegakan simptomnya di samping terapi farmaseutikal seperti ubat antidepresan. Kajian lain pula mendapati akupunktur membantu mengurangkan keresahan dan meningkatkan kualiti hidup dalam kalangan wanita yang mengalami masalah gangguan makan seperti anoreksia dan bulimia. Contoh-contoh ini membuka jalan untuk sinergi yang lebih mendalam antara TCM dan perubatan konvensional (Barat). Dari segi sejarah, TCM menyimpang daripada memasukkan kaunseling ke dalam kaedah rawatannya. Bagaimanapun, penyelidikan yang sedang dilakukan kini berusaha untuk mengintegrasikan TCM ke dalam konteks terapeutik yang lebih luas, dan memupuk kolaborasi dengan kaedah rawatan lain.
Namun, jika anda sedang menjalani rawatan untuk masalah yang berkaitan dengan kesejahteraan emosi, anda dinasihatkan supaya meneruskan regimen yang telah diatur khusus buat anda sehinggalah anda dapat berunding lebih lanjut dengan doktor yang merawat. Sebarang keputusan untuk menggabungkan TCM ke dalam pelan rawatan anda seharusnya diambil selepas berunding dengan doktor dan pengamal TCM. Anda perlu tahu, kefahaman mengenai potensi manfaat dan risiko amat penting dalam membuat pilihan.
Jika anda berminat untuk mengetahui lebih lanjut, silalah berjumpa dengan pengamal TCM yang berdaftar.