Mengapa diet berasaskan tumbuhan bermanfaat untuk anda

Oleh Goo Chui Hoong

Kebelakangan ini, diet berasaskan tumbuhan semakin popular. Namun, ia bukan sekadar gaya dan ikutan semata-mata. Berita baiknya, kajian sains turut menyokong kebaikan diet ini. Diet berasaskan tumbuhan terdiri daripada makanan yang diperoleh daripada sumber buah-buahan, sayur-sayuran, bijirin penuh, kekacang, biji-bijian, dengan sedikit atau beberapa produk berasaskan haiwan tertentu. Anda mungkin pernah mendengar istilah-istilah seperti ‘flexitarian’, vegetarian (lakto-, ovo-, lakto-ovo-) dan vegan yang mana kesemuanya merupakan variasi diet berasaskan tumbuhan.

  • Flexitarianism: Diet berasaskan tumbuhan yang paling fleksibel. Pengamal ‘flexitarianism’ pada asasnya mengamalkan diet berasaskan tumbuhan, namun kadangkala membenarkan pengambilan daging secara sederhana.
  • Lakto-vegetarian: Diet berasaskan tumbuhan namun membenarkan pengambilan produk tenusu.
  • Ovo-vegetarian: Diet berasaskan memakan tumbuhan dan telur
  • Lakto-ovo-vegetarian: Diet berasaskan tumbuhan namun membenarkan pengambilan telur dan produk tenusu.
  • Vegan: Diet berasaskan tumbuhan yang paling tegas kerana mereka hanya mengambil makanan berasaskan tumbuhan sahaja. Pengamal vegan juga berisiko paling tinggi menghadapi kekurangan nutrien sekiranya diet mereka tidak seimbang.

Diet berasaskan tumbuhan bermanfaat untuk kesihatan kerana tinggi serat, vitamin dan mineral serta kurang lemak tepu. Ini dapat membantu penurunan berat badan serta mengurangkan risiko diabetes jenis 2, penyakit kardiovaskular dan beberapa jenis kanser . Sesetengah makanan yang tinggi serat juga mempunyai indeks glisemik (GI) lebih rendah. Selepas dimakan, makanan yang rendah GI meningkatkan paras gula dalam darah secara perlahan dan ini dapat membantu menguruskan diabetes jenis 2 dengan baik. Hasil gabungan serat yang tinggi dan GI yang rendah membolehkan anda berasa kenyang lebih lama, dan secara tidak langsung membantu anda mengurangkan pengambilan snek serta memilih makanan berkalori rendah bagi mengawal berat badan.

Makanan berasaskan tumbuhan biasanya lebih rendah lemak dan lemak tepu. Mengurangkan pengambilan lemak tepu (digantikan dengan lemak politaktepu atau karbohidrat kompleks) dapat mengurangkan risiko penyakit jantung dan strok.

Di samping itu, diet berasaskan tumbuhan juga bermanfaat dari segi pencegahan kanser khususnya kanser usus. Serat daripada makanan berasaskan tumbuhan dapat mencegah sembelit serta membekalkan tenaga kepada bakteria baik dalam usus .

Namun, diet berasaskan tumbuhan yang kurang terancang sering dipertikaikan dari segi kandungan tenaga dan protein. Berikut merupakan beberapa nutrien yang harus diberi perhatian ketika mempertimbangkan amalan diet berasaskan tumbuhan.

Protein

Protein sangat penting untuk membina tisu otot dan memperbaiki sel-sel badan. Protein berasaskan tumbuhan tidak membekalkan komponen asid amino essential yang lengkap seperti protein berasaskan daging. Bagi mendapatkan kesemua komponen asid amino essential, adalah penting untuk mengambil pelbagai sumber protein berasaskan tumbuhan termasuk:

  • Lentil
  • Kekacang
  • Kacang kuda
  • Biji-bijian
  • Mentega kacang (seperti mentega kacang tanah)
  • Tauhu.

Terdapat banyak alternatif berasaskan tumbuhan untuk menggantikan daging yang dapat membantu anda membiasakan diri dengan diet tanpa daging seperti:

  • Protein berasaskan kulat (fungus) (contohnya cendawan)
  • Gluten gandum
  • Kacang soya
  • Kacang hijau/pea

Kalsium

Kalsium penting untuk kesihatan tulang. Seorang dewasa memerlukan 1,000 mg kalsium/hari. Ini mudah dicapai dengan mengambil produk tenusu (2-3 cawan susu/hari). Namun, sekiranya anda tidak mengambil produk tenusu, anda harus menggantikannya dengan makanan seperti:

  • Tauhu yang diperkaya dengan kalsium
  • Sayur-sayuran hijau (contohnya brokoli, kubis, bendi)
  • Buah-buahan kering (contohnya kismis, prun, aprikot kering)
  • Alternatif susu berasaskan tumbuhan yang diperkaya dengan kalsium. Susu berasaskan tumbuhan turut digunakan untuk membuat keju dan yogurt vegan serta minuman tanpa tenusu.

Memadankan hidangan anda dengan minuman tanpa tenusu merupakan cara yang mudah namun berkesan untuk memulakan diet berasaskan tumbuhan. Beberapa jenama minuman popular telah pun mula memperkenalkan alternatif tanpa tenusu dalam rangkaian sedia diminum. Cuba semak sewaktu membeli-belah di pasar raya.

Zat Besi

Kekurangan zat besi boleh mengakibatkan anemia. Sumber zat besi berasaskan tumbuhan tergolong dalam jenis bukan hem. Ini bermaksud zat besi daripada makanan berasaskan tumbuhan (contohnya lentil, kekacang, sayur-sayuran berdaun) lebih sukar diserap berbanding dengan zat besi jenis hem yang terdapat dalam makanan berasaskan haiwan. Justeru, bagi mengatasi kekurangan ini, sangat disarankan untuk mengambil sumber zat besi berasaskan tumbuhan daripada makanan yang kaya Vitamin C bagi menyokong penyerapan zat besi. Contoh yang paling mudah untuk diamalkan adalah dengan memadankan segelas jus oren segar dengan makanan berikut:

  • Lentil
  • Tauhu
  • Kekacang
  • Biji-bijian.

Vitamin B12

Kekurangan vitamin B12 dapat menyebabkan anemia, keletihan serta kebas kaki dan tangan. Vitamin B12 ini biasanya diperoleh daripada sumber haiwan. Sekiranya anda mengamalkan diet berasaskan tumbuhan yang ketat, maka anda perlu mengambil makanan yang boleh membantu mencegah kekurangan nutrien ini seperti:

  • Bijirin yang diperkaya
  • Tempe
  • Yis berkhasiat
  • Susu berasaskan tumbuhan yang diperkaya
  • Cendawan
  • Suplemen Vitamin B12

Asid Lemak Omega-3

Asid lemak omega-3 bermanfaat untuk kesihatan jantung. Sumber asid lemak omega-3 berasaskan tumbuhan termasuk:

  • Biji rami (flaxseed)
  • Kacang walnut
  • Biji sesawi (rapeseed).

Pilih minyak masak yang diperbuat daripada bahan-bahan ini dan tambahkan sedikit kekacang atau biji-bijian kepada sajian bijirin/smoothie sarapan anda.

Amalan diet berasaskan tumbuhan sebenarnya tidak susah kerana kini terdapat pilihan vegan untuk segalanya, daripada mayones sehingga bak kwa (daging kering) vegan! Berikut beberapa  menu saranan untuk sajian makanan berasaskan tumbuhan.

Sarapan pagi:

Tosai dengan kari dhal

Atau roti bijirin penuh dengan mentega kacang atau kepingan avokado

Atau minuman/smoothie dengan alternatif susu berasaskan tumbuhan

Makan tengah hari:

Salad gado-gado dengan tempe

Atau mi sup dengan pak choy, rumput laut, cendawan dan kulit fuchok goreng

Atau nasi goreng kunyit dengan tauhu, kekacang, lobak merah

Makanan ringan tengah hari:

Smoothie pisang yang diperbuat daripada alternatif susu berasaskan tumbuhan

Atau segenggam kekacang campuran dan buah-buahan kering

Makan malam:

Chapati dengan kari kacang kuda, bendi goreng

Atau nasi multibijirin dengan tauhu kukus serta kacang Perancis cincang, sayur campuran goreng dengan kacang macadamia

Atau nasi multibijirin dengan kari bendi, terung & kacang panjang, kubis goreng

Tentang Pengarang:

Goo Chui Hoong hidup untuk makan. Minat yang mendalam terhadap makanan telah mendorong beliau ke arah kerjaya dalam bidang pemakanan dan nutrisi. Antara jawatan yang pernah disandang termasuk pakar dietetik, pensyarah, jurulatih kulinari dan pengarang. Beliau juga telah menerbitkan 3 naskhah buku termasuk “Food for Your Eyes” dan “Lite Malaysian Favourites” yang memenangi anugerah. Kenali beliau dengan lebih lanjut di www.eatwell.my.

© 2023 BlackButterfly DesignArts