Menempa Laluan Sendiri

Menempa Laluan Sendiri
Pengenalan barisan komitee ACCA YMN kepada Lucia Real Martin, Executive Pengarah ACCA (Mar 2023)

Anda fikir anda tidak layak untuk memiliki karier dalam bidang perakaunan? Megat Solleh, Timbalan Pengerusi Young Members Network ACCA, berkongsi bagaimana subjek yang memeningkannya satu ketika dulu kini melakar laluan kejayaannya dalam dunia perakaunan.

Dalam debaran meniti hari-hari terakhir sebelum menjelangnya SPM, ramai pelajar tertanya-tanya apakah mereka berpeluang untuk memiliki kerjaya idaman jika keputusan peperiksaan yang penting ini  nanti tidak seperti yang diharapkan.

Menempa Laluan Sendiri
Megat Solleh

“Pada waktu ini, satu-satunya perkara yang ada dalam minda pelajar SPM adalah peperiksaan SPM itu sendiri,” kata Megat Solleh, 33, Timbalan Pengerusi Young Member Network, ACCA. “Saya masih ingat lagi perasaan dan suasana sebelum menduduki peperiksaan. Walaupun dulu saya belajar di sekolah berasrama penuh, tetapi saya bukanlah pelajar yang bagus. Saya sebenarnya tidak suka apabila pihak sekolah mengenakan peraturan yang ketat tetapi kini saya bersyukur, kerana situasi itulah yang memaksa saya belajar memperbaiki diri tanpa banyak gangguan.”

Megat pasrah apabila namanya terpilih untuk kelas aliran Perakaunan walaupun dia tidak berminat langsung untuk bekerja dalam bidang yang berkaitan dengan sains atau sastera. Ketika itu, yang dia mahukan hanyalah bermain sukan.  

“Cukup sukar untuk saya memahami subjek Perakaunan dan semua jargon debit-kredit, meskipun saya mahir dengan nombor. Akibatnya, saya gagal semua ujian perakaunan sepanjang Tingkatan 4. Saya bagitahu ibu, saya sudah berputus asa dengan aliran Perakaunan tetapi ibu meminta saya supaya terus bertahan. Malah, saya juga gagal kertas Perakaunan dalam peperiksaan percubaan SPM. “Saya tidak tahu apa yang akan terjadi jika guru perakaunan saya tidak menarik saya ke tepi untuk berbincang dan memberikan nasihat,” katanya.

“Dia bertanya, ‘Kamu mahu buat atau tidak? Kalau mahu, saya akan ajar, kerana saya nampak kamu berpotensi, walaupun kamu tidak sedar potensi diri sendiri’. Kata-kata itu menyedarkan saya bahawa saya perlu ada kemahuan dan percaya yang saya boleh melakukannya. Selepas kejadian itu, saya berusaha sebaik mungkin dan membuat semua orang terkejut apabila saya mendapat A1 untuk subjek Perakaunan!”

Pencapaian seterusnya datang dalam bentuk nota tahniah dari ACCA (the Association of Chartered Certified Accountants; Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun).

“Saya tidak tahupun apa itu ACCA; dan terpaksa mencari maklumat untuk mengetahuinya. Jika difikirkan balik, siapa sangka tindakan yang begitu ringkas ini memberi impak besar pada saya. Saya tidak mempunyai banyak pilihan lain, dan semua detik ‘aha’ kecil seperti nasihat guru saya dan menerima nota dari ACCA membuat saya sedar bahawa saya boleh mempunyai masa depan yang cerah dalam bidang perakaunan,” katanya.

Bukan Sekadar Nombor: 1,001 Aspek Perakaunan

“Dulu saya fikir perakaunan hanya menawarkan kerja di pejabat, namun hakikatnya ia cuma 20% daripada kerjaya dalam bidang ini. Perakaunan melibatkan banyak pemikiran dan kemahiran insaniah. Dalam kerja seharian, saya banyak berurusan dengan klien dan sentuhan kemanusiaan itu sangat penting bagi membolehkan saya bekerja dengan mereka, selain membantu mereka memahami apa yang saya perlukan untuk melaksanakan tugas saya. Kita bukan kalkulator mahupun robot – kita sudah ada alat-alat ini untuk digunakan. Apa yang kita perlukan adalah insan yang mempunyai integriti, yang boleh menyelesaikan masalah dan membawa kebaikan kepada klien dan syarikat. Secara keseluruhannya, saya tidak menyangka bidang perakaunan ini rupanya mendatangkan kepuasan, dan antara kepuasan itu ialah menjadi antara anggota asal Young Members Network ACCA,” kata Megat.

Mengimbas kembali zaman sebagai seorang pelajar, Megat sudah lama menyedari wujudnya jurang besar antara pelajar universiti dan dunia pekerjaan.

“Saya pernah dengar perkongsian siswazah yang datang ke universiti dan bercerita tentang pengalaman kerja mereka, dan saya rasa ia sangat membantu. Bagi saya, apabila sampai masanya dan berjaya dalam kerjaya, saya akan berkongsi pengalaman saya pula dengan pelajar. Saya rasa saya mempunyai peranan untuk dimainkan, bagi mengisi jurang dan membantu pelajar mencari laluan mereka sendiri,” jelasnya.

“Langkah inilah yang menjadi permulaan kepada penubuhan Young Members Network pada 2018. Jaringan ini direka sebagai platform untuk profesional perakaunan berusia di bawah 40 tahun supaya kami boleh berhubung dengan ahli ACCA muda dan pelajar tanpa ada jurang pengetahuan dan pengalaman yang besar. Apatah lagi, ceramah yang disampaikan oleh ahli lembaga eksekutif dan Ketua Pegawai Kewangan yang berpengalaman sebenarnya sangat menarik, tetapi kadang kala banyak mesejnya tidak sampai kerana wujudnya jurang ini. Mungkin ada had bagi ahli-ahli muda dan pelajar untuk membayangkan dan mengaitkannya dengan diri mereka, jadi kita perlu berhubung dengan mereka dengan cara yang lebih  relevan dan mudah diterima.”

Dalam catatan ini, beliau memberikan beberapa nasihat berharga untuk memberi keyakinan dan inspirasi kepada pelajar SPM.

#1. Jika mahukan sesuatu, anda mesti berusaha mendapatkannya.

Semuanya akan berubah apabila anda percaya pada diri sendiri dan berusaha sebaik mungkin. Disiplin diri dan kesungguhan amat membantu.

#2. Ketahui apa yang anda ingin capai.

Jika anda sedang belajar, tetapkan matlamat anda – contohnya, untuk menghabiskan satu bab dalam satu jam. Pastikan anda fokus dan berada di landasan yang betul, ketepikan seketika telefon dan perkara-perkara lain yang boleh mengganggu tumpuan anda.

#3. Manfaatkan kaedah yang sesuai untuk anda.

Ketahui gaya belajar anda – adakah anda dapat belajar dengan lebih baik apabila bersendirian atau berkumpulan, pada waktu pagi atau lewat malam? Jika ada yang anda tidak faham, carilah seseorang yang dapat membantu, seperti pelajar yang pandai dalam subjek berkenaan. Jangan keluar kelas dengan tangan kosong, tanpa belajar sesuatu.

#4. Jangan putus asa.

Anda boleh mempunyai masa depan dalam bidang perakaunan walaupun keputusan untuk subjek Perakaunan anda tidaklah begitu cemerlang. Ada banyak pilihan pembiayaan dan biasiswa untuk anda melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah. Apa yang penting berusahalah bersungguh-sungguh, dan ingatlah bahawa kesilapan dan ketidakcemerlangan lalu bukan penamat dunia anda. Jika ada yang membetulkan kesilapan anda itu, bersyukurlah dan belajarlah supaya tidak mengulanginya – inilah sikap yang membezakan antara orang yang berjaya dengan tidak berjaya, dan orang akan melihat serta menghargai usaha anda itu.

#5. Bijak merancang masa hadapan.

Carilah kerjaya yang mempunyai masa hadapan yang luas supaya anda tidak melabur masa dan usaha dalam bidang pendidikan yang bakal luput. Perakaunan adalah salah satu daripadanya, kerana setiap perniagaan memerlukan akauntan, dan belajar perakaunan mempersiapkan anda untuk pilihan kerjaya yang cukup luas. Tidak kira apa jua yang anda pilih, sama ada perakaunan, sukan atau kerjaya sebagai pempengaruh media sosial, pastikan anda menjadi akauntan, atlet dan pempengaruh media sosial yang bijak supaya anda boleh menguruskan kerjaya dan kehidupan anda sebaik-baiknya.

Bagi mendapatkan maklumat lanjut untuk belajar perakaunan selepas SPM, sila log masuk ke: www.accaglobal.com/gb/en/qualifications.html

© 2023 BlackButterfly DesignArts