Memupuk Juara Muda di Rumah dalam Norma Baharu

PETALING JAYA, 13 November 2020 – Dalam norma baharu ini, ibu bapa sering berhadapan dengan cabaran untuk menerapkan sukan dalam kehidupan anak-anak mereka, terutamanya buat mereka yang percaya sukan dapat memberikan pengajaran yang berharga. Seiring dengan situasi terkini yang mewajibkan penjarakan sosial dan penutupan sekolah di beberapa kawasan, ibu bapa kini bergantung kepada MILO Champions Clinic: E-Coaching untuk terus menyemarakkan semangat bersukan dalam kalangan anak-anak mereka ketika berada di rumah.

MILO Champions Clinic: E-Coaching membawakan latihan sukan peringkat permulaan untuk kanak-kanak berusia 7 hingga 12 tahun yang lazimnya dikendalikan di lapangan, kini secara dalam talian bagi menjamin keselamatan semua peserta. Sejak dilancarkan pada awal September lalu, program ini telah menyaksikan ratusan ibu bapa mendaftarkan anak-anak mereka untuk salah satu daripada tiga pakej latihan sukan yang ditawarkan, iaitu futsal, bola keranjang dan badminton.

MILO Champions Clinic: E-Coaching
Raja Mohd Azman shows his son Raja Iman the MILO Champions Clinic: E-Coaching futsal video before starting their training together. / Raja Mohd Azman menunjukkan video MILO Champions Clinic: E-Coaching sebelum memulakan latihan futsal bersama.

Antaranya ialah Raja Mohd Azman Raja Zulkhalnain (43), di Shah Alam, Selangor yang mendaftarkan anak lelakinya, Raja Iman Zahrin, 8 tahun, untuk latihan futsal setelah mendapat tahu tentang program ini di media sosial. “Dengan semua kelab sukan dan padang ditutup, saya mahu anak saya kekal aktif di rumah. Apa yang menarik perhatian saya tentang MILO Champions Clinic: E-Coaching ialah latihan bertaraf dunia yang dipimpin oleh jurulatih-jurulatih kebangsaan,” katanya.

Jurulatih-jurulatih kebangsaan Chiew Chun Yong (futsal), Yoong Sze Yuin (bola keranjang) dan Daphne Ng (badminton) bukan sahaja mengetuai bimbingan dalam talian tetapi juga menghasilkan modul-modul untuk MILO Champions Clinic: E-Coaching.

Bermula Oktober lalu, kanak-kanak berpeluang mempelajari kemahiran asas sukan menerusi modul-modul yang disampaikan melalui video setiap minggu selama 5 minggu. Ini kemudian diikuti dengan sesi e-bimbingan mingguan menerusi panggilan video dengan jurulatih-jurulatih kebangsaan yang akan menjejak kemajuan kanak-kanak yang mengambil bahagian. Malahan, beberapa peserta bertuah juga berpeluang menjalani latihan dengan tokoh badminton tanah air Rashid Sidek serta bintang bola sepak yang sedang melonjak naik, Nik Akif Syahiran Nik Mat.

Sesi e-bimbingan ini menjadi tumpuan utama Raja Iman yang memandang serius latihan futsalnya kerana memendam impian untuk menjadi seorang pemain bola sepak profesional. Dia berkongsi dengan bapanya, walaupun hampa sesi latihan ini tidak diadakan secara bersemuka dia tetap bersyukur kerana masih dapat bermain futsal dan berlatih bersama Coach Yong secara maya di rumah sepanjang tempoh yang mencabar ini.

MILO Champions Clinic: E-Coaching
Kenny Tham helps his daughter Ashley with their basketball training at home guided by the MILO Champions Clinic: E-Coaching modules. / Kenny Tham meneruskan latihan bola keranjang anaknya Ashley dengan panduan MILO Champions Clinic: E-Coaching.

Seorang lagi peserta yang tidak sabar menantikan sesi e-bimbingan setiap minggu ialah Ashley, 7 tahun, yang telah didaftarkan untuk latihan bola keranjang oleh bapanya, Kenny Tham Yew Ching (39) yang juga bergelar jurulatih bola keranjang.

“Ashley sangat teruja setiap kali panggilan video bermula. Dia berlatih dengan bersungguh-sungguh dan memberikan yang terbaik. Dia bertanya banyak soalan dan tekun mendengar komen Coach Yoong,” kata Tham mengenai anak perempuannya yang meminati bola keranjang sejak kecil.

Biarpun latihan bola keranjang anak perempuannya telah terjejas pada tahap awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ia diteruskan dengan bimbingan Tham sendiri di rumah mereka di Kuantan, Pahang. Apabila PKP diteruskan, Tham berusaha mencari alternatif lain sebagai pelengkap kepada bimbingan peribadinya sehinggalah menemui MILO Champions Clinic: E-Coaching.

“Semasa sesi latihan, saya akan berada di sisi Ashley dan membimbingnya pada setiap langkah. Ini telah membantu mengeratkan hubungan kami ketika sama-sama menyertai program ini dan belajar daripada video yang disiarkan setiap minggu. Adalah amat penting untuk ibu bapa terlibat sebanyak mungkin dalam latihan. Dengan ini, ibu bapa dapat mengalami sendiri apa yang anak-anak mereka tempuhi supaya dapat memberikan sokongan kepada anak-anak untuk meningkatkan prestasi dan melangkah lebih jauh,” kata Tham.

Menurut Tham, penyertaan dalam latihan ini juga dapat membantu ibu bapa memupuk nilai-nilai murni yang boleh disampaikan menerusi sukan dalam diri anak-anak. “Saya berharap Ashley akan dapat mempelajari erti bertanggungjawab dan memberikan komitmen sepenuhnya bukan sahaja terhadap program ini malah apa jua bidang yang dipilihnya kelak.”

Latihan mengeratkan hubungan kekeluargaan

Di Teluk Intan, Perak, Kumalini Devi Subrahmaniam (35) berterima kasih kepada MILO Champions Clinic: E-Coaching ketika anak lelakinya, Thassvhen Vel, 9 tahun, berminat untuk mencuba sukan lain selain bola sepak yang digemarinya. “Menyedari pelbagai batasan yang wujud dengan latihan di rumah, saya berasa badminton ialah sukan yang paling sesuai untuknya kerana ia tidak memerlukan ruang yang besar, selain merupakan satu aktiviti yang boleh kami lakukan sekeluarga,” ulasnya.

Sejak penguatkuasaan PKP, tidak dinafikan hubungan kekeluargaan menjadi semakin rapat, namun menurut Kumalini, MILO Champions Clinic: E-Coaching telah menjadikan pengalaman itu lebih bermakna.

“Selain dapat mencuba sukan yang baharu, anak saya juga dapat mempelajari kepentingan disiplin dan komitmen terhadap matlamat jangka panjang. Dia perlu melengkapkan 5 modul, dan saya sering mengingatkan dan menggalakkannya supaya jangan mudah putus asa sekiranya menghadapi sebarang cabaran yang merupakan perkara biasa apabila mempelajari sesuatu sukan baru.”

Berbekalkan format digital, peserta seperti Thassvhen dapat mengatasi cabaran yang dihadapi dengan menonton semula video sehingga berjaya menguasai perkara-perkara asas sebelum mara ke langkah seterusnya. Kumalini mengulas lagi, “Menurut anak saya, itulah antara ciri MILO Champions Clinic: E-Coaching yang sangat berguna. Katanya, setiap kali menonton semula video, dia akan menemui sesuatu perkara baharu yang mungkin terlepas sebelum ini.”

Sementara ibu bapa terus mencari ikhtiar untuk memastikan anak-anak mereka kekal aktif dalam norma baharu ini, Kumalini menyarankan MILO Champions Clinic: E-Coaching. “Dalam keadaan tidak menentu ini, berkat usaha MILO, sukan dapat diteruskan dengan selamat di mana-mana jua, pada bila-bila masa.”

MILO Champions Clinic: E-Coaching di bawah gerakan MILO Aktif Negaraku merupakan salah satu cara yang membolehkan kanak-kanak terus kekal aktif dan maju dengan sukan secara selamat. Pendaftaran masih lagi terbuka. Layari www.milo.com.my untuk maklumat lanjut.

© 2023 BlackButterfly DesignArts