Kuala Lumpur, 4 September 2024 – Yayasan Khazanah (YK) telah menganugerahkan 115 biasiswa berprestij kepada rakyat Malaysia yang berbakat dan berpencapaian tinggi, memperkukuhkan dedikasinya untuk memupuk pemimpin masa depan negara. Majlis tahunan Hari Anugerah YK meraikan pencapaian para penerima Khazanah semasa dan memberi penghormatan kepada penerima baharu.
Sejak 2006, Yayasan Khazanah telah menganugerahkan biasiswa kepada 1,610 individu cemerlang dalam perjalanan pendidikan mereka merentasi pelbagai bidang. Biasiswa Global, Watan, dan Lestari menawarkan sokongan menyeluruh, termasuk bantuan kewangan, bimbingan akademik, dan peluang pembangunan kepimpinan. Penerima akan mendapat keistimewaan unik untuk belajar di universiti terkenal di dalam dan di luar negara, melanjutkan pengajian di dalam pelbagai bidang.
Di sebalik kecemerlangan akademik, program biasiswa Khazanah memberi tumpuan kepada pemupukan individu yang serba lengkap. Para penerima biasiswa akan mengambil bahagian dalam program latihan khusus, inisiatif bimbingan, dan latihan amali untuk membangunkan kemahiran kepimpinan yang penting dan menimba pengalaman praktikal.
Program biasiswa Khazanah memperlihat komitmen untuk memupuk generasi pemimpin akan datang. Dengan melabur dalam individu-individu muda yang berpotensi, program ini menyediakan laluan yang terbukti untuk berjaya dan memupuk perubahan positif di Malaysia dan seterusnya. Rekod prestasi program melahirkan alumni yang berjaya dalam pelbagai bidang menekankan keberkesanannya dalam membangunkan pemimpin masa hadapan yang akan memberikan sumbangan yang besar kepada kemajuan negara.