Cyberjaya, 30 September 2021 – Seiring usaha menuju status negara maju dan peralihan landskap perniagaan global ke arah ekonomi digital, MYNIC Berhad (MYNIC) terus merancang pelbagai program dan inisiatif untuk memperkasakan para usahawan agar terus kompetitif dan relevan terhadap persekitaran perniagaan serba moden.
MYNIC kekal membantu dan menyediakan peluang latihan digital khususnya kepada usahawan tempatan sejajar dengan misi utama agensi ini bagi meneruskan agenda pendigitalan negara.
Dalam merealisasikan usaha tersebut, MYNIC Berhad hari ini menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) bersama UTMSPACE yang disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif MYNIC Berhad, YBhg. Datuk Ts Hasnul Fadhly Hasan dan Pengarah Urusan & Ketua Pegawai Eksekutif UTMSPACE, YBrs. Prof. Dr. Azlan Ab. Rahman.
Ketua Pegawai Eksekutif MYNIC Berhad, Datuk Ts Hasnul Fadhly Hasan berkata, program ini adalah inisiatif MYNIC dalam membantu dan membawa perniagaan secara tradisional untuk melibatkan diri dalam dunia perniagaan dalam talian (online) dan seterusnya bersedia menghadapi pasaran global ekonomi digital.
“MYNIC amat berbesar hati kerana dapat bekerjasama dengan UTMSPACE bagi menjayakan program seumpama ini, yang secara tidak langsung dapat berkongsi ilmu keusahawanan digital dan meningkatkan penglibatan usahawan tempatan di dalam sektor e-Dagang.
Selain itu, program ini dapat membuka ruang dan peluang pendapatan, di samping mendukung usaha kerajaan memperluas aktiviti ekonomi digital,” katanya.
Kolaborasi MYNIC bersama UTMSpace sebagai rakan strategik ini menawarkan sijil profesional dalam Keusahawanan Digital yang diakreditasikan oleh London Examination Board (LEB).
Tambah Datuk Ts Hasnul Fadhly Hasan lagi, MYNIC memainkan peranan penting dalam memacu ekonomi digital sebagai pendaftar dan pentadbir nama domain. MY.
Antara modul latihan yang ditawarkan adalah teknik efektif penggunaan SEO, pemasaran digital melalui media sosial dan laman sesawang serta penambahbaikan kandungan digital bagi membantu perniagaan kekal berdaya saing selari dengan era digitalisasi. Sesi pemantauan berkala turut dijalankan bagi memantau perkembangan dan kefahaman para peserta terutamanya perkara berkaitan laman sesawang, keberkesanan pemasaran digital dan pelaksanaan strategi media sosial.
Kerjasama strategik bersama UTMSPACE ini adalah usaha untuk mengembangkan potensi para pelajar sebagai persediaan mereka menjadi usahawan tempatan yang mampu menembusi pasaran eDagang antarabangsa. Sementara itu, MYNIC turut bertanggungjawab sebagai platform untuk menyediakan latihan keusahawanan digital dan pembangunan laman sesawang eDagang yang mampan kepada para usahawan tempatan
“Kami akan teruskan usaha untuk melahirkan lebih ramai usahawan melalui latihan-latihan pendigitalan. Malah MYNIC ingin memastikan lebih banyak peluang melalui inovasi digital supaya para usahawan ini lebih bersedia untuk berdepan dengan cabaran digitalisasi”, kata Datuk Ts Hasnul Fadhly Hasan .
MYNIC akan meneruskan usaha untuk memperkasa perniagaan dan industri tempatan untuk menjadi penyumbang kepada ekonomi digital. Dengan pembangunan industri ICT yang berkembang pesat dan penggunaan nama domain .MY yang meluas, ianya akan dapat membantu untuk menyokong serta menjayakan inisiatif pendigitalan negara.