KUALA LUMPUR, Ogos 19: Embrace Autism, sebuah acara yang dianjurkan bertujuan untuk merapatkan jurang antara individu yang menghidap Autisme dengan masyarakat umum melalui kesedaran, pendidikan dan pemerkasaan, kembali untuk tahun yang ketiga dalam bentuk pameran. Dilancarkan secara rasmi hari ini oleh Senator Dewan Negara, YB Ras Adiba Radzi di Intermark Mall, acara ini selari dengan tema Hari Malaysia pada tahun ini iaitu, ‘Malaysia Prihatin’, dengan mengajak rakyat Malaysia untuk memberi sokongan dan membantu mewujudkan peluang pekerjaan bagi golongan muda Autisme.
Dibuka kepada umum secara percuma daripada 17 hingga 23 Ogos 2020, pameran ini menceritakan tentang kisah hidup enam individu dengan cabaran Autistik. Dengan sokongan padu daripada ibu bapa, mereka berjaya menemukan kekuatan, mengatasi kesukaran yang dihadapi dan mengembangkan bakat mereka sejak daripada usia yang muda untuk berjaya.
Berucap di majlis pelancaran, Senator Ras Adiba menekankan bahawa Autisme merupakan cabaran sepanjang hayat dan penekanan haruslah diberikan untuk mengenal pasti penyelesaian untuk jangka masa panjang.
“Dengan jumlah kanak-kanak yang menghidap penyakit Spektrum Autisme (ASD) kian meningkat, kita juga berhadapan dengan situasi di mana golongan ini akan menginjak ke alam dewasa. Mereka seringkali menghadapi kesukaran dan terpaksa bergelut dalam membiasakan diri beralih ke arah fasa hidup yang baru, mencari perkhidmatan sokongan yang sesuai, mendapatkan peluang kerja yang baik dan membina kehidupan dan berusaha untuk menjadi sebahagian daripada masyarakat biasa.”
“Beberapa tahun kebelakangan ini, pelbagai usaha telah diambil oleh organisasi bukan bermotifkan keuntungan seperti mengadakan penyaringan percuma bagi keluarga yang tidak berkemampuan, bengkel latihan bagi mempersiapkan guru-guru dengan pengetahuan dan kemahiran praktikal yang lebih baik dan biasiswa program terapi untuk kanak-kanak Autisme. Di harap inisiatif ini akan terus meningkat di mana lebih ramai masyarakat serta badan-badan korporat akan menghulurkan bantuan dan sokongan yang berpanjangan kepada golongan ini,” tambah beliau.
Dengan sistem sokongan yang kian berkembang, diharapkan lebih ramai individu spektrum akan diterima bekerja berdasarkan kemampuan mereka untuk menambah nilai dan menyumbang kemahiran-kemahiran tertentu kepada syarikat-syarikat, di masa hadapan.
Pada acara tersebut, Senator Ras Adiba turut melancarkan The Embrace Autism Marketplace melalui Facebook di mana ianya berfungsi sebagai platform untuk menghubungkan individu Autistik dalam memasarkan produk atau perkhidmatan mereka kepada syarikat, organisasi atau orang ramai. Platform ini diharap dapat membantu penghidap spektrum autisme untuk membina masa depan yang mampan dan lebih berdikari. Ianya akan turut menjadi saluran kepada organisasi untuk berhubung dan mendapatkan perkhidmatan yang ditawarkan.
Pengasas Curate yang juga merupakan penganjur Embrace Autism, Noraza Yusof berkata dalam memastikan pameran ini berjalan dengan lancar, mereka telah menjalinkan usahasama bersama rakan-rakan penaja seperti Intermark Mall sebagai penaja rasmi lokasi serta DOME Cafe, sejak tiga tahun, Headstart Academy sebagai sumber rujukan, Casio Electronic Musical Instruments yang telah menaja model piano CELVIANO GRAND HYBRID GP-500BP untuk persembahan Clarence Kang semasa majlis pelancaran, dan juga Ablemen.
Noraza berkata pameran ini diadakan bertujuan untuk memberi inspirasi dan menggalakkan ibu bapa mencungkil bakat anak autistik mereka. “Setiap kisah yang dipaparkan boleh dijadikan inspirasi kepada ibu bapa yang menghadapi cabaran untuk menyediakan masa depan yang mampan untuk anak-anak mereka dengan memahami dan mengurus keadaan anak-anak serta mengasah kemahiran dan bakat mereka yang unik dari usia muda.”
Tambah beliau: “ Melalui pameran ini, kita berharap agar lebih ramai orang akan faham dan menerima individu-individu spektrum autisme di dalam komuniti mereka termasuklah menyediakan pasaran pekerjaan, justeru membolehkan mereka menyumbang sebagai salah seorang anggota masyarakat.”
Acara ini juga turut meraikan ibu bapa di atas kesungguhan dan dedikasi meraka dalam membantu anak-anak mereka membina masa depan yang mampan dan mengatasi stigma terhadap individu autisme.
Enam individu cemerlang pada pameran ini adalah:
Wan Jamila Wan Shaiful Bahri, 18, yang turut dikenali secara profesional sebagai Artjamila adalah artis autisme yang telah merangkul anugerah dan dikenali di seluruh dunia. Beliau menjadikan lukisan sebagai alat komunikasi seawall usia empat tahun dan dengan bimbingan yang baik, beliau Berjaya menjadi artis terkenal. Pencapaian tertinggi Artjamila adalah apabila beliau dilantik oleh sebuah yayasan dari Switzerland yang memfokuskan “Impact investments and sustainability” dan menjadikan beliau sebagai ikon Artis Impak 2020-2022 mereka.
Clarence Kang, 22, merupakan seorang pemuda yang sangat berbakat yang dilahirkan dengan autisme. Seorang pemain piano dan artis autistik, beliau merupakan pemain piano Asia autistik pertama yang mengadakan konsert nyanyian tersendiri. Pada zaman kanak-kanaknya, beliau mampu menghafal nota muzik dengan mudah, dapat mengatur dan mentranskripsikan muzik serta menganalisis kord yang rumit tanpa menjalani pendidikan dan latihan formal.
Muhammad Luqman Shariff, 21, Memiliki seorang ayah yang sentiasa menyokong dan mementingkan kemampuan kemahiran hidup anaknya, lantas mengajar anaknya tentang perniagaan keluarga dan kini Luqman telah berjaya menjadi seorang pengendali kafe kerana dia telah membuktikan penambahbaikan dirinya yang pantas dan meningkatkan kemahiran mengatur di mana beliau belajar untuk merancang, menyediakan dan membungkus makanan di kafe milik keluarga.
Kejayaan memperolehi 9A dalam Sijil Pelajaran Malaysia dianggap satu pencapaian yang amat bagi remaja autisme M. Kisshen Raj, 18. Menghidap autisme, tidak pernah menghalang beliau untuk cemerlang di dalam peperiksaan untuk mencapai cita-cita menjadi seorang Jurutera Kimia. Beliau kini sedang mengikuti kursus matrikulasi di Kolej Matrikulasi Kejuruteraan Pahang.
Nur Dhia Izz Ashfadina Muhammad Asrie, tidak membiarkan autisme menghalang beliau daripada mengekspresi rasa cintanya terhadap Malaysia di mana beliau Berjaya berenang sejauh 10 km merentasi Selat Dinding bersempena Hari Kebangsaan. Dhia sedar akan kemampuannya untuk berenang apabila beliau memulakan sesi terapi aqua yang pertama untuk mengawal ketidakstabilan emosi. Semenjak itu, beliau terdedah dengan renang terbuka dan renang jarak jauh, serta telah menunjukkan prestasi luar biasa. Dengan latihan yang betul dan peluang untuk menyertai lebih banyak pertandingan, beliau kini bersedia untuk menjadi atlit bertaraf dunia.
Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini mengenai Embrace Austism dan aktiviti-aktiviti, sila layari:
Facebook: Embrace Autism 2020
Instagram: @embraceautismbycurate