McDonald’s Malaysia dan pelanggan menyumbang 35,000 Happy Meal kepada kanak-kanak di rumah anak yatim di seluruh negara

Rangkaian restoran sepadankan jumlah Happy Meal sumbangan pelanggan dalam program sumbangan Happy Meal yang berlangsung dari 1 Oktober hingga 18 November tahun ini

KUALA LUMPUR, 29 Disember 2020 – McDonald’s Malaysia dan pelanggan-pelanggannya sedang menyebarkan kegembiraan kepada kanak-kanak di lebih 1,000 rumah anak yatim di seluruh negara sehingga pertengahan bulan Januari 2021. 35,000 hidangan Happy Meal akan disampaikan kepada kanak-kanak di rumah-rumah anak yatim ini yang terkesan wabak pandemik tahun ini.

“Kami menganjurkan program sumbangan Happy Meal di restoran-restoran McDonald’s di seluruh negara selama lebih sebulan, dari Oktober hingga pertengahan November. Pelanggan-pelanggan kami telah menderma sejumlah 17,891 hidangan Happy Meal, dan kami di McDonald’s Malaysia menyepadankan jumlah itu. Kini, 35,000 hidangan Happy Meal akan diedarkan kepada kanak-kanak di lebih 1,000 rumah-rumah anak yatim di seluruh negara,” kata Azmir Jaafar, Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada semua pelanggan yang menyertai program sumbangan Happy Meal bagi menyebarkan ‘kegembiraan‘ kepada kanak-kanak di seluruh negara. Kami berharap hidangan Happy Meal ini akan membawa kegembiraan dan keceriaan kepada kanak-kanak semasa tempoh ini,” tambah Azmir.

Menurut Azmir, hidangan Happy Meal akan diedarkan ke rumah-rumah anak yatim terpilih di seluruh negara, dari 16 Disember hingga 10 Januari.

Inisiatif terbaru oleh McDonald’s Malaysia merupakan sebahagian daripada aktiviti kemasyarakatan syarikat yang diusahakan sepanjang tahun. Bertujuan mewujudkan impak positif dalam komuniti-komuniti ia beroperasi, McDonald’s Malaysia menggalakkan kru restoran di lebih 300 restoran di seluruh negara untuk menjalankan sekurang-kurangnya dua aktiviti kemasyarakatan dalam sebulan.

Daripada 1,200 aktiviti kemasyarakatan yang dijalankan pada tahun 2015, McDonald’s Malaysia telah menjalankan lebih 7,000 aktiviti pada tahun 2020. Sepanjang tahun ini, McDonald’s Malaysia telah menaja hampir 200,000 hidangan makanan untuk petugas barisan hadapan negara — termasuk pekerja hospital, polis, dan tentera.

“Satu-satunya pengajaran tahun 2020 adalah, ia amat penting untuk kita bersatu padu sebagai sebuah negara dan komuniti. Sumbangan terbaru kepada lebih 1,000 rumah anak yatim ini memaparkan semangat kolaboratif #KitaBoleh yang akhirnya akan memberi kesan positif terhadap komuniti. Kami di McDonald’s Malaysia akan terus berbuat yang terbaik untuk komuniti di mana kami beroperasi,” kata Azmir.

© 2023 BlackButterfly DesignArts