Malaysia Teacher Prize Pertama Menampilkan 10 Finalis

Dari program pendidikan khas yang inklusif, pelaksanaan kemahiran vokasional dan pembelajaran abad ke-21 yang berasaskan gamifikasi, anugerah ini mengetengahkan kaedah pengajaran dan pembelajaran kreatif daripada guru-guru terbilang dari seluruh negara.

Kuala Lumpur, 5 September 2022 – Malaysia Teacher Prize yang julung kali diadakan pada tahun ini mengumumkan 10 guru Finalis sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan luar biasa mereka dalam usaha mendidik anak-anak muda di negara ini. Anugerah yang dianjurkan oleh PEMIMPIN GSL dengan sokongan YTL Foundation ini adalah anugerah Global Teacher Prize edisi Malaysia yang pertama. Anugerah ini bertujuan untuk menghargai sumbangan cemerlang para guru dengan mengetengahkan peranan mereka dalam mendidik masyarakat kita.

Sepuluh orang guru yang telah disenarai pendek ini akan terus bertanding untuk meraih Hadiah Utama Malaysia Teacher Prize, iaitu hadiah wang tunai sebanyak RM50,000. Selain daripada Hadiah Utama tersebut, empat orang guru lain yang merupakan 5 Finalis teratas masing-masing akan menerima hadiah wang tunai sebanyak RM5,000. Kesemua guru yang tersenarai dalam 10 Finalis ini akan menjalani program pembangunan profesional untuk memahami dan mengembangkan impak mereka menjangkaui ruangan bilik darjah.

Malaysia Teacher Prize Pertama Menampilkan 10 Finalis

Malaysia Teacher Prize yang pertama ini telah menerima lebih daripada 800 permohonan dalam tempoh permohonan dari 10 Mei hingga 17 Julai 2022. Dari permohonan ini, 10 orang guru yang terbaik telah disenarai pendek oleh panel juri yang terdiri daripada barisan ahli akademik, pegawai-pegawai Kementerian Pendidikan Malaysia, individu cemerlang dari organisasi korporat dan pendidikan dari seluruh negara. 10 Finalis ini telah dipilih berdasarkan amalan bilik darjah mereka yang inovatif, sumbangan mereka terhadap profesion perguruan dan komuniti mereka, cara penggunaan hadiah wang yang terbaik, dan kisah mereka sebagai seorang pendidik.

Salah seorang 10 Finalis Malaysia Teacher Prize ialah Wan Muadzam Wan Abidin, seorang guru pendidikan khas dari Sekolah Kebangsaan Klang, Selangor, yang telah mencipta alat bantuan berlari bernama Caballus RAfVI untuk membantu murid kurang penglihatan berlari dan berlatih dalam sukan olahraga. Wan Muadzam juga sedang bekerjasama dengan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) untuk menambahbaik inovasinya supaya lebih ramai murid berkeperluan khas dapat menyertai dunia sukan. Selain itu, Goh Kok Ming, seorang guru Matematik di SJK(C) Chi Seng 2, Perak, diiktiraf kerana teknik pengajaran beliau yang mengintegrasikan aplikasi Minecraft. Beliau juga memberikan muridnya kelas coding di luar waktu sekolah untuk menyediakan mereka dengan kemahiran digital yang diperlukan dalam abad ke-21.

Finalis lain untuk Malaysia Teacher Prize yang pertama ini ialah:

Malaysia Teacher Prize Pertama Menampilkan 10 Finalis
Anuthra Sirisena (SMJK Chung Hwa Tenom, Sabah)

Anuthra Sirisena, seorang guru Kimia di SMJK Chung Hwa Tenom, Sabah yang telah menceburi dunia robotik sejak tahun 2017. Beliau telah mengasaskan Tenom Innovation Centre yang telah meningkatkan kemahiran guru dan murid dalam bidang robotik. Inovasi ini telah memberi impak kepada 2,000 orang guru dan murid melalui bengkel dan sesi latihan.

Malaysia Teacher Prize Pertama Menampilkan 10 Finalis
Tan Shi Min (SMK Syed Ibrahim, Kedah)

Tan Shi Min, seorang guru Bahasa Inggeris di SMK Syed Ibrahim, Kedah telah membimbing murid-murid beliau sehingga berjaya mencapai gred kelulusan tertinggi dalam subjek Bahasa Inggeris bagi peperiksaan SPM dalam tempoh lima tahun ini melalui inovasi ‘Wheel of Learning’ beliau. Ciptaan penyusun grafik pelbagai lapisan beliau telah membantu murid dalam pembentukan idea dan perbendaharaan kata melalui luahan perasaan serta meningkatkan kebolehan penulisan cerita.

Malaysia Teacher Prize Pertama Menampilkan 10 Finalis
Shyielathy Arumugam (SMK Datuk Haji Abdul Wahab, Perak)

Shyielathy Arumugam dari SMK Datuk Haji Abdul Wahab, Perak dan Khairil Azmir Ahmad dari SMKA Perempuan Alawiyah, Perlis telah mewarnai kehidupan murid-murid dan komuniti setempat. Shyielathy telah mengumpul ilustrasi daripada murid aliran pendidikan khas beliau dan menerapkan ilustrasi ini sebagai watak dalam buku bergambar beliau. Setakat ini, beliau telah berjaya menerbitkan empat buah buku bergambar. Khairil Azmir bersama murid-murid beliau telah menyumbang kepada komuniti setempat dengan mereka bentuk dan seterusnya menghasilkan 20 buah mural dalam program Kangar Street 2.0. Hasil tangan mereka kini menjadi tarikan pelancong ke Kangar.

Malaysia Teacher Prize Pertama Menampilkan 10 Finalis
Kumaresan Muniandy (SM Pendidikan Khas Vokasional Merbok, Kedah)

Kumaresan Muniandy, seorang guru pendidikan khas vokasional di SM Pendidikan Khas Vokasional Merbok, Kedah telah memperkenalkan “Hello School to Work” dengan kerjasama pengusaha hotel untuk memberikan murid-murid beliau pengalaman bekerja sebenar semasa cuti sekolah. Program ini telah membuka peluang kepada murid beliau untuk bekerja dalam industri perhotelan selepas mereka menamatkan pengajian.

Malaysia Teacher Prize Pertama Menampilkan 10 Finalis
Anita Md. Yasin (Keningau Vocational College, Sabah)

Anita Md. Yasin, seorang guru vokasional bidang bakeri dan pastri di Kolej Vokasional Keningau, Sabah, telah memenangi pelbagai anugerah melalui penciptaan alatan dan kaedah pengajaran dan pembelajaran yang inovatif. Melalui projek komuniti “Sprout”, murid-murid beliau boleh melibatkan diri dalam bengkel dan program bantuan untuk masyarakat setempat. Murid-murid beliau telah berjaya memenangi hadiah dalam pelbagai pertandingan kemahiran dan latihan. Beliau juga telah membantu mereka membuka kedai bakeri sendiri.

Malaysia Teacher Prize Pertama Menampilkan 10 Finalis
Shahril Othman (SK Seri Samudera, Perak)

Shahril Othman, guru besar SK Seri Samudera, Perak telah mempelbagaikan kaedah pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah beliau dengan menggunakan pembelajaran berasaskan inkuiri. Beliau aktif berkongsi amalan pengajaran dan pembelajaran beliau melalui seminar dan bengkel untuk guru-guru dan juga ibu bapa bagi membantu mereka menyokong pembelajaran anak-anak di rumah. Beliau juga menawarkan kelas Matematik dalam talian secara percuma yang melibatkan lebih daripada 400 orang murid.

Malaysia Teacher Prize Pertama Menampilkan 10 Finalis
Aishah Mohamed Hamdan (SMK Raja Permaisuri Bainun, Perak)

Aishah Mohamed Hamdan, seorang guru Bahasa Inggeris di SMK Raja Permaisuri Bainun, Perak, merupakan penyokong pembelajaran berasaskan projek. Beliau telah melaksanakan beberapa projek murid seperti persembahan muzikal dan pengurusan alam sekitar dan sisa. Projek-projek ini telah meningkatkan pelibatan murid-murid dan gred purata mata pelajar (GPMP) Bahasa Inggeris di sekolah beliau.

Bersempena dengan Hari Kemerdekaan baru-baru ini, pengumuman 10 Finalis Malaysia Teacher Prize ini meraikan guru-guru pelbagai latar belakang dan berkaliber dari seluruh Malaysia.

“YTL Foundation berbesar hati untuk menyokong Malaysia Teacher Prize melalui PEMIMPIN GSL dan kerjasama ini memberi peluang kepada kami untuk menonjolkan dan meraikan usaha para guru di Malaysia. Malaysia Teacher Prize adalah antara pelbagai program yang kami taja untuk memperkasa  dan membina semula komuniti setempat, terutamanya mereka yang terkesan dalam tempoh pasca pandemik ini. Saya yakin bahawa 10 Finalis ini akan terus memberi inspirasi kepada guru-guru lain di seluruh negara dengan kisah dan usaha mereka untuk meningkatkan kemenjadian murid,” kata Dato’ Kathleen Chew, Pengarah Program YTL Foundation.

“Kisah 10 Finalis Malaysia Teacher Prize mengingatkan kami tentang betapa pentingnya tugas harian yang dijalankan oleh guru-guru di dalam bilik darjah untuk membawa perubahan dalam kehidupan anak murid mereka. Guru-guru ini telah melangkaui panggilan tugas mereka untuk memastikan setiap murid diberi peluang untuk memenuhi potensi mereka. Kami yakin bahawa individu-individu yang cemerlang ini akan memberi inspirasi bukan sahaja kepada komuniti pengajar tetapi kepada negara kita secara keseluruhannya dengan semangat dan komitmen mereka kepada murid-murid dan masyarakat,” kata Cheryl Ann Fernando, Ketua Pegawai Eksekutif PEMIMPIN GSL.

“Kisah-kisah daripada 10 Finalis yang disenarai pendek ini hanyalah sebahagian daripada kisah guru-guru Malaysia yang telah melakukan perkara yang menakjubkan. Justeru, langkah kami yang seterusnya adalah untuk mengembangkan idea mereka ke peringkat antarabangsa. Inilah sebabnya Malaysia Teacher Prize telah menyediakan pelan pembangunan jangka panjang untuk 10 Finalis ini supaya mereka boleh terus memurnikan kaedah pengajaran dan pembelajaran mereka dan berkongsi pengetahuan mereka dengan guru-guru di seluruh Malaysia,” kata Samuel Isaiah, Pengarah Program PEMIMPIN GSL.

Majlis anugerah Malaysia Teacher Prize akan berlangsung pada hari Jumaat, 7 Oktober 2022. 10 Finalis yang terpilih ini akan juga berkongsi kaedah pengajaran dan pembelajaran mereka dalam persidangan Leaps of Knowledge pada 8 Oktober 2022 yang akan berlangsung dari 8:30 pagi hingga 5:00 petang di JW Marriott, Kuala Lumpur.

Untuk maklumat lanjut tentang 10 Finalis Malaysia Teacher Prize serta kisah inspirasi mereka, sila layari https://malaysiateacherprize.org/.

Untuk maklumat lanjut mengenai Leaps of Knowledge, sila layari https://www.leapsofknowledge.com/.

© 2023 BlackButterfly DesignArts