LONDON, 23 September 2020 – Malaysia menerima pengiktirafan pada Anugerah Pelancongan Perubatan 2020 anjuran International Medical Travel Journal (IMTJ) baru-baru ini, dengan memenangi anugerah rebutan ramai, Pelancongan Kesihatan dan Perubatan: Destinasi Terbaik Tahun Ini. Kemenangan itu meningkatkan kedudukan Malaysia sebagai Pusat Penjagaan Kesihatan Mengagumkan Di Dunia (World’s Healthcare Marvel) dan mencerminkan komitmen teguh daripada organisasi berkaitan bagi memastikan kesinambungan daripada sektor Penjagaan Kesihatan Malaysia ketika pandemik COVID-19.
Kemenangan ke atas anugerah yang menjadi rebutan iaitu Destinasi Terbaik Tahun ini, menandakan kali keempat Malaysia meraih gelaran ini, setelah memenanginya tiga kali berturut-turut dari 2015-2017. Keputusan ini terbukti di dalam kemajuan industri kesihatan di mana Malaysia menerima sejumlah 1.3 juta pelawat penjagaan kesihatan pada 2019 berbanding 643,000 pada 2011. Pengiktirafan ini mengukuhkan lagi status Malaysia sebagai destinasi pelancongan kesihatan di mata dunia.
Sementara itu, Majlis Pelancongan Penjagaan Kesihatan Malaysia (MHTC) meneruskan kemenangan kali ke empat anugerah Kluster Terbaik Tahun ini. Anugerah ini diberi berdasarkan perkongsian kukuh swasta-awam yang menjadi nadi kepada pertumbuhan pesat Penjagaan Kesihatan Malaysia sejak beberapa tahun ini.
Sherene Azli, CEO MHTC dipetik sebagai berkata, “Kami amat berbesar hati untuk menerima ketiga-tiga anugerah tersebut daripada IMTJ. Penerimaan anugerah Destinasi Terbaik Tahun Ini dan Kluster Terbaik Tahun ini sekali lagi menunjukkan keyakinan global terhadap kecemerlangan prasarana kesihatan di Malaysia untuk pelancong penjagaan kesihatan dan pengalaman perjalanan pesakit yang menjadi contoh dunia. Semua ini wujud kerana dedikasi dan usaha semua pihak terlibat. Ini mendorong kami untuk terus menambah baik penyampaian perkhidmatan dan mengekalkan jenama Penjagaan Kesihatan Malaysia supaya terus gemilang,”
Beberapa institusi peneraju penjagaan kesihatan swasta Malaysia turut meraih kemenangan di dalam anugerah berprestij tersebut:
- Thomson Hospital Kota Damansara – Inisiatif Kualiti Terbaik (Best Quality Initiative)
- Sunway Fertility Centre – Klinik Fertility Antarabangsa Terbaik Tahunan (International Fertility Clinic of the Year)
- Prince Court Medical Centre – Hospital Antarabangsa Terbaik Tahunan (International Hospital of the Year)
- Sunway Eye Centre – Klinik Mata Antarabangsa Terbaik Tahunan (International Eye Clinic of the Year
Ketika industri pelancongan penjagaan kesihatan masih terkesan akibat pandemik COVID-19, sektor Penjagaan Kesihatan Malaysia secara proaktif berusaha menyediakan pelan pemulihan untuk industri dengan mengetengahkan keupayaan dan kekuatan negara sebagai penyedia penjagaan kesihatan berkualiti bertaraf dunia. Elemen teras adalah pendigitalan penjagaan kesihatan, yang membolehkan penjagaan berterusan kepada pesakit.
“Komitmen kami untuk menjulang Malaysia sebagai Pusat Kecemerlangan Penjagaan Kesihatan Di Dunia tidak akan pudar. Kami bekerja seiring Kementerian Kesihatan bagi memastikan SOP ketat dipatuhi kerana keselamatan orang ramai sentiasa menjadi keutamaan tertinggi kami, dan kami juga mempersiapkan diri untuk menerima ketibaan pelawat penjagaan kesihatan yang mahu mendapatkan rawatan kesihatan dan kesejahteraan di Malaysia apabila tiba masanya nanti. Sehingga itu, kita akan terus menumpukan usaha dengan memacu pertumbuhan industri secara berkekalan bagi Malaysia untuk terus diiktiraf sebagai Pusat Kecemerlangan Penjagaan Kesihatan Dunia,” kata Sherene.
Majlis Anugerah Pelancong Perubatan IMTJ 2020 yang berlangsung di atas platform maya pada tahun ini, meraikan pencapaian cemerlang di dalam sektor pelancongan perubatan di seluruh dunia. Penyertaan dinilai oleh panel pakar-pakar antarabangsa, antaranya: Keith Pollard, Ketua Pengarang IMTJ; Pengerusi Eksekutif LaingBuisson, Pengerusi Panel Penghakiman UK; Lutz Lungwitz, Presiden Persatuan Perubatan Kesejahteraan Jerman; Dr Claudia Mika, CEO firma TEMOS; Laszlo Puczko, Pengasas Pelancongan Kesihatan Sedunia, dan Elizabeth Ziemba, Presiden Latihan Pelancongan Perubatan.