Majlis AIDS Malaysia Melantik Kepimpinan Baharu dan Mengalu-alukan Perwakilan Sektor Korporat Bagi Memacu Kelestarian.

Majlis AIDS Malaysia Melantik Kepimpinan Baharu dan Mengalu-alukan Perwakilan Sektor Korporat Bagi Memacu Kelestarian.
Duduk dari kiri : Dr. Hajjah Yatela Zainal Abidin , Dr. Zaiton binti Yahaya, Assoc Prof Dr. Raja Iskandar Shah Raja, Dr. Nur Afiqah Mohd Salleh, Dr. Yuwana Podin
Berdiri dari kiri : Dr. Theyveeka Selvy Rajoo , Louis Ting, Azizi Meor Ngah , Ken Woo Kin Fai, Dato’ Yasmeen Shariff

Kuala Lumpur, 17 Ogos 2024 – Majlis AIDS Malaysia (MAC) telah melantik Jawatankuasa Eksekutif (EXCO) baharu untuk tempoh 3 tahun semasa Mesyuarat Agung Tahunannya baru-baru ini. Professor Madya Dr Raja Iskandar Shah Raja Azwa, Pakar Penyakit Berjangkit dari Fakulti Perubatan, Universiti Malaya telah dilantik semula sebagai Presiden untuk MAC. Pemilihan ini mencerminkan sokongan padu Ahli-Ahli Gabungan MAC terhadap kepimpinan beliau dalam mengemudi cabaran penularan HIV dan AIDS di negara ini.

“Saya amat berbesar hati dengan kepercayaan yang diberikan oleh Ahli-Ahli Gabungan MAC kepada saya,” kata Dr. Raja Iskandar. “ Saya dan rakan-rakan EXCO komited untuk mengekalkan pendekatan berlandaskan sains dan pengekalan hak yang telah sekian lama membimbing respons kami terhadap epidemik HIV. MAC akan terus melindungi kepentingan Orang Yang Hidup dengan HIV di Malaysia dan melipatgandakan usaha untuk menghapuskan segala halangan yang menjejaskan akses kepada rawatan, saringan, jagaan dan sokongan untuk anggota komuniti yang terjejas dengan HIV dan AIDS.” ujar beliau.

Dr. Raja Iskandar juga menekankan kepentingan untuk mengambil iktibar dari pengalaman lampau dan bersedia untuk berdepan dengan cabaran baharu seperti peningkatan kadar penularan seksual HIV. “Fokus kami kekal untuk membasmi penularan HIV dan memastikan mereka yang hidup dengan virus ini menerima jagaan dan sokongan yang mereka perlukan,” tambahnya lagi.

EXCO yang baru dipilih ini mencerminkan komitmen MAC untuk menyesuaikan diri dengan landskap HIV/AIDS yang sentiasa berubah, baik di Malaysia mahupun di peringkat global. Penyertaan profesional dan pemimpin komuniti dari pelbagai latar belakang dilihat dapat memperkukuhkan keupayaan MAC untuk menangani isu-isu kompleks berkaitan HIV/AIDS.

Baru-baru ini MAC telah menyemak semula perlembagaannya untuk meningkatkan kualiti tadbir urus dan memperkukuhkan kelestarian jangka panjang kami. Perubahan besar yang terhasil daripada semakan ini adalah pengenalan tiga slot Ahli EXCO bebas yang dikhususkan untuk pemimpin sektor korporat atau badan-badan professional yang bukan dari kalangan Ahli Majlis.

Di antara ahli baru yang dilantik ialah Dr. Hajjah Yatela Zainal Abidin, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sime Darby (YSD). Dr. Yatela mempunyai pengalaman yang meluas dalam menerajui 5 mercu utama yang menjadi fokus YSD iaitu Pendidikan, Komuniti & Kesihatan, Alam Sekitar, Sukan dan Seni Budaya. Perlaksanaan program-program YSD juga adalah sejajar dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDGs) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang menangani isu-isu kritikal sejagat seperti kemiskinan, AIDS, ketidaksamaan gender dan lain-lain.

Mengulas mengenai peranan baru beliau, Dr. Yatela berkata, ” Setelah menjalin kerjasama erat dengan MAC selama lebih sedekad, kami menyaksikan sendiri impak besar program-program MAC terhadap komuniti yang terjejas oleh HIV. Sebagai rakan Kerjasama Strategik MAC, kami juga komited kepada sasaran mengakhiri AIDS dan mahu membantu MAC untuk menjadi organisasi yang lebih lestari, dinamik dan berdaya saing.”

Barisan EXCO ini turut dianggotai Azizi Meor Ngah, seorang veteran korporat dengan pengalaman lebih lima dekad dalam operasi perniagaan strategik, pertanian, media, industri halal, dan tenaga boleh diperbaharui. Azizi telah memegang jawatan penting seperti Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Utusan Melayu Berhad dan Persatuan Minyak Sawit Malaysia. Dewasa ini, beliau memberi tumpuan penuh kepada inisiatif perubahan iklim dan pembangunan lestari. Isu HIV/AIDS juga tidak asing kepada beliau, hasil daripada pengalaman berkhidmat sebagai Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan AIDS Malaysia.

Melengkapkan anggota EXCO bebas yang baru ialah Louis Ting dari firma guaman Louis Tai & Partners, sebuah firma guaman dengan kepakaran dalam bidang penjagaan kesihatan dan sains hayat. Graduan sarjana berganda Undang-Undang dan Perniagaan dari Universiti Monash ini berada dalam posisi terbaik untuk melontarkan pandangan atau nasihat yang berkaitan dengan isu perundangan dan urustadbir dan mampu menyumbang secara strategik kepada inisiatif MAC.

JAWATANKUASA EKSEKUTIF MAJLIS AIDS MALAYSIA UNTUK 2024-2027
ADALAH SEPERTI BERIKUT

  • Presiden: Prof Madya Dr. Raja Iskandar Shah Raja Azwa (PT Foundation)
  • Naib Presiden: Dr. Nur Afiqah Mohd Salleh (Persatuan Insaf Murni)
  • Setiausaha Kehormat: Dr. Zaiton binti Yahaya (Sabah AIDS Awareness
    Group Association)
  • Penolong Setiausaha Kehormat: Dr. Yuwana Podin (Sarawak AIDS
    Concern Society)
  • Bendahari Kehormat: Ken Woo Kin Fai (Kuala Lumpur AIDS Support
    Services Society)
  • Ahli EXCO:
    o Dr. Theyveeka Selvy Rajoo (St. Johns Ambulance Malaysia)
    o Dato’ Yasmeen Shariff (Majlis Kebajikan Kanak-Kanak Malaysia)
    o Dr. Hajjah Yatela Zainal Abidin (CEO, Yayasan Sime Darby)
    o Azizi Meor Ngah (CEO, Invest Energy Group)
    o Louis Ting (Managing Partner, Louis Tai & Partners)
© 2024 BlackButterfly DesignArts