‘LEVEL UP KL 2022’ Perkasa Industri Permainan Malaysia Ke Arah Hab Permainan Serantau 

Kuala Lumpur, 6 Oktober 2022 – ‘LEVEL UP KL 2022’ atau Persidangan Pembangun Permainan Asia Tenggara yang berlangsung sejak 4 Oktober dan berakhir pada 7 Oktober 2022 diharap dapat memperkasa industri permainan video digital Malaysia ke arah hab permainan serantau.

Acara yang dianjurkan oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), agensi peneraju ekonomi digital negara di bawah seliaan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (K-KOMM), diadakan setiap tahun dan kali ini kembali diadakan secara fizikal melibatkan seramai 1,500 peserta, 80 penceramah serta lebih 100 pempamer dari seluruh dunia.

Menurut Menteri Komunikasi dan Multimedia, YB Tan Sri Datuk Seri Panglima TPr Annuar Haji Musa, ‘LEVEL UP KL 2022’ merupakan komitmen Kerajaan dalam mewujudkan dan memperkasa Malaysia sebagai peneraju ekosistem permainan video digital bertaraf dunia di Asia Tenggara.

“Acara ini akan mempamerkan potensi bakat dalam industri permainan Malaysia kepada pemain antarabangsa, mewujudkan peluang untuk perkongsian dan pelaburan masa depan dari serata dunia,” tambahnya lagi.

Manakala Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Ts. Mahadhir Aziz memaklumkan bahawa ‘LEVEL UP KL 2022’ yang kali kelapan penganjurannya ini adalah sejajar dengan inisiatif strategik nasional yang dilancarkan baru-baru ini iaitu Malaysia Digital (MD), bertujuan untuk menggalak dan menarik bukan sahaja syarikat, tetapi juga bakat dan pelaburan.

“Ini secara tidak langsung membolehkan perniagaan Malaysia dan masyarakat diangkat sebagai pameran utama dalam ekonomi digital di peringkat global dan akan terus menarik perhatian menerusi ucaptama dari pakar dan pempengaruh, perbincangan bersama-sama pemain industri serta pelbagai peluang kolaborasi yang menarik,” katanya lagi.

‘LEVEL UP KL 2022’ Perkasa Industri Permainan Malaysia Ke Arah Hab Permainan Serantau
(From L-R) Datuk Fadzli Abdul Wahit, Head/Senior Vice President, Transformation of MDEC; Gopi Ganesalingam, Senior Vice President, Ecosystem Development, MDEC; Mohan Low, Director of Digital Creative Content, MDEC; Ts Mahadhir Aziz, CEO, MDEC; Raymond Foo, Senior Marketing Manager, SEA Gamer Mall; DC Gan, Managing Director Magnus Games Studio; Kadri Harma, CEO of Nine66

Pada acara kali ini juga, MDEC akan menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dalam industri permainan seperti berikut:

  1. MoU dengan Nine66 iaitu sebuah syarikat permainan yang berpangkalan di Arab Saudi, bagi meneroka dan mempromosikan kerjasama pembangunan permainan antara Malaysia dan Arab Saudi, termasuklah menyediakan peluang latihan di luar negara untuk bakat tempatan mempertingkatkan kemahiran serta meningkatkan pendedahan terhadap dunia pekerjaan peringkat global.
  • MoU dengan Magnus Games Studio yang merupakan studio permainan tempatan, bagi mempromosikan inisiatif dan projek Metaverse khususnya dalam Festival Kandungan Digital Malaysia 2022 (MYDCF) yang akan datang. Melalui MoU ini, Magnus Games akan menyokong aspek pemasaran dan promosi MYDCF di platform Metaverse mereka.
  • MoU dengan SEA Gamer Mall (SEAGM) untuk melancarkan Festival Permainan Malaysia (Malaysia Game Fest). Inisiatif yang didorong oleh MDEC ini bertujuan untuk mempromosikan produk permainan tempatan dan membudayakan pengkomersialan hak harta intelek dengan memanfaatkan rakan platform Asia Tenggara. Kempen selama tiga bulan tersebut akan bermula pada Oktober dan berakhir pada Disember 2022.

Permainan video di Malaysia menjadi antara industri paling pesat berkembang dalam sektor ekonomi digital. Menurut laporan PWC Global Entertainment & Media Outlook 2019-2023, pasaran permainan video telah menjana pendapatan sebanyak US$214.2 bilion pada 2021 (tidak termasuk e-sukan), dengan unjuran  kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) sebanyak 8.4 peratus untuk mencapai US$321.1 bilion menjelang 2026.

Justeru, ‘LEVEL UP KL 2022’ akan terus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab serantau dengan mewujudkan ekosistem kandungan digital yang kondusif, inklusif dan berdaya saing di peringkat global. Selain menjadi cerminan hasrat Kerajaan dalam memangkin industri permainan dengan menyokong ekosistem pembangunan permainan dan penerbitan, pada masa sama mendedahkan serta mewujudkan kesedaran terhadap teknologi permainan baharu dengan menyediakan platform kepada masyarakat berinteraksi, belajar dan berkongsi pengetahuan dalam dunia pembangunan permainan.

Layari https://mdec.my/ms/levelupkl/ untuk pendaftaran dan maklumat lanjut berkenaan acara ini.

© 2023 BlackButterfly DesignArts