Lebih Cepat Daripada Jangkaan: Mencari Ketenangan Fikiran Untuk Menjalani Pembedahan dan Pulih Seperti Biasa

Pusat Perubatan Sunway Velocity (SMCV) menerajui kempen ‘Sooner Than Expected’ untuk menangani kebimbangan orang ramai tentang prosedur pembedahan yang bakal mereka jalani dan memastikan mereka dapat pulih seperti sedia kala dengan selamat

Lebih Cepat Daripada Jangkaan: Mencari Ketenangan Fikiran Untuk Menjalani Pembedahan dan Pulih Seperti Biasa

Kuala Lumpur, 15 Mei 2024 –  Keperluan untuk menjalani pembedahan atau sebarang prosedur perubatan yang invasif sememangnya boleh menimbulkan ketakutan pada ramai. Ini kerana terdapat risiko dan potensi gangguan kepada kehidupan seharian dan kerja mereka, ditambah pula dengan ketidakpastian berkaitan prosedur berkenaan yang mungkin akan menimbulkan ketakutan sehingga ada juga yang mungkin tidak mahu menjalani pembedahan kerana kebimbangan ini.

Terdapat pelbagai kebimbingan yang sering dialami orang ramai apabila bercakap mengenai keperluan mereka untuk menjalani pembedahan, termasuklah masa yang lebih lama perlu diambil untuk proses pemulihan dan kesan pada gaya hidup mereka selepas menjalani pembedahan serta perubahan fizikal yang boleh dilihat seperti parut. Menurut Dr Khoo Eng Lea, Pakar Perunding Anestesiologi di Pusat Perubatan Sunway Velocity(SMCV), pesakit juga lazim menyatakan kebimbangan mereka tentang kesakitan yang bakal dialami selepas pembedahan dan semasa tempoh pemulihan. “Walaupun ramai yang gerun apabila perlu menjalani pembedahan, adalah penting untuk menyedari bahawa prosedur perubatan pada hari ini telah mengalami pelbagai kemajuan dengan tujuan untuk membantu pesakit mendapat rawatan yang paling berkesan dengan risiko yang rendah”, tambahnya.

Pembedahan Invasif Minimal (MIS)

Salah satu dari prosedur perubatan sedemikian ialah melalui pembedahan invasif minimal (MIS) yang merupakan sejenis pembedahan yang dijalankan untuk meminimakan trauma pada badan pesakit berbanding dengan pembedahan tradisional. Dengan menggunakan teknik seperti pembedahan lubang kunci tunggal (single keyhole surgery) dan pembedahan lubang kunci berbilang (multiple keyhole surgery), MIS bertujuan untuk mengurangkan ketidakselesaan pesakit dan mempercepatkan pemulihan. Walau bagaimanapun, landskap kaedah pembedahan terkini juga telah berubah dengan kemunculan pembedahan robotik.

Teknologi pembedahan robotik seperti Sistem Pembedahan da Vinci Xi dan Sistem Pembedahan Bantuan Lengan Robotik Mako SmartRobotics™ telah mentakrifkan semula landskap penjagaan kesihatan. Sistem canggih ini menyediakan pakar bedah dengan ketepatan yang tiada tandingan semasa menjalankan prosedur pembedahan. Menurut Dato’ Dr Selvalingam Sothilingam, Pakar Perunding Urologi dan Pakar Bedah Robotik di SMCV, sistem pembedahan robotik yang ada hari ini dapat membantu pakar bedah untuk memetakan perancangan dan kaedah pembedahan mereka dengan lebih baik apabila menggunakan kemajuan seperti pengimejan 3D dan prosedur pembedahan yang disesuaikan khusus mengikut keadaan setiap pesakit serta sejarah perubatan mereka.

Lebih Cepat Daripada Jangkaan: Mencari Ketenangan Fikiran Untuk Menjalani Pembedahan dan Pulih Seperti Biasa

Selain itu, keupayaan robotik ini menawarkan rangkaian pergerakan yang lebih besar, membolehkan pakar bedah melakukan hirisan yang lebih tepat dengan parut yang minima. Pesakit juga mendapat manfaat dengan jangka masa kemasukan ke hospital yang lebih singkat yang kemudiannya akan membantu dalam meningkatkan pemulihan mereka secara menyeluruh selepas pembedahan.

Dato’ Dr Selvalingam seterusnya menekankan impak transformatif pembedahan robotik yang dapat mengurangkan risiko komplikasi pembedahan seperti jangkitan dan kehilangan darah semasa dan selepas prosedur pembedahan.

Lebih Cepat Daripada Jangkaan Mencari Ketenangan Fikiran Untuk Menjalani Pembedahan dan Pulih Seperti Biasa

Walaupun terdapat banyak faedah pembedahan robotik dan MIS, pembedahan robotik mungkin masih merupakan konsep yang tidak difahami oleh sesetengah pesakit yang kemudiannya boleh membawa kepada pelbagai soalan atau keraguan. Dato’ Dr Selvalingam berkongsi bahawa salah satu keraguan lazim di kalangan orang ramai ialah ketakutan untuk melakukan prosedur pembedahan yang dilakukan sepenuhnya oleh robot tanpa kepakaran pakar bedah terlatih. Beliau menjelaskan bahawa sistem pembedahan da Vinci Xi dan MAKO dikendalikan oleh pakar bedah terlatih dan disebabkan oleh sifat prosedur pembedahan yang memerlukan kepakaran terperinci, beliau menegaskan bahawa hanya pakar bedah yang telah menjalani latihan dan memperoleh sijil sahaja dapat mengendalikan sistem pembedahan ini.

Kempen ‘Sooner Than Expected’ SMCV

Memahami rasa ingin tahu dan kebimbangan orang ramai apabila mereka perlu menjalani pembedahan, SMCV melancarkan kempen “Sooner Than Expected” dengan matlamat untuk menangani ketakutan dan menjawab segala persoalan serta menghilangkan kesalah anggapan orang ramai. Melalui inisiatif ini, SMCV bertujuan untuk mempamerkan realiti pembedahan robotik dengan mengetengahkan faedah utamanya iaitu kadar pemulihan yang lebih cepat dan membolehkan pesakit menyambung semula aktiviti kegemaran mereka secepat mungkin.

Dengan kempen “Sooner Than Expected” ini, SMCV menawarkan pengalaman imersif, memberikan orang ramai pemahaman yang lebih baik tentang bagaiman pembedahan invasif minimal dijalankan. Ini akan ditunjukkan melalui siri video yang menampilkan sistem pembedahan da Vinci Xi dan MAKO. Selain itu, siri video ini juga akan menunjukkan kemudahan dan perkhidmatan SMCV yang lain, termasuk bilik pembedahan dan pusat rehabilitasi yang didedikasikan untuk membantu mengekalkan kesejahteraan pesakit secara keseluruhan semasa mereka dalam proses pemulihan selepas pembedahan.

Tambahan lagi, SMCV akan menganjurkan pameran yang dinamakan sebagai “Shaping the Future of Surgery’ dari 12 Jun hingga 13 Julai 2024 yang bakal dibuka untuk dikunjungi oleh orang ramai. Semua pelawat akan berpeluang untuk melihat bagaimana pembedahan robotik, insisi terbuka (open incision) dan pembedahan lubang kunci dijalankan melalui kaedah simulasi realiti maya (VR). Dengan memberikan pengalaman secara langsung tentang bagaimana pembedahan ini dijalankan, SMCV berharap untuk membantu mengurangkan kebimbangan pesakit sambil memberikan gambaran yang lebih mendalam tentang mekanisma dan faedah setiap pembedahan yang berkemungkinan bakal dijalani oleh para pesakit.

Lebih Cepat Daripada Jangkaan Mencari Ketenangan Fikiran Untuk Menjalani Pembedahan dan Pulih Seperti Biasa

Sebagai kesimpulan, kemungkinan untuk menghadapi sebarang prosedur perubatan sememangnya boleh menimbulkan perasaan takut dan bimbang kepada pesakit. Ia adalah perkara biasa untuk mempunyai keraguan tentang bagaimana hendak kembali ke kehidupan normal dan menguruskan kesakitan selepas pembedahan. Walau bagaimanapun, adalah penting untuk ingat bahawa kunci utama untuk menghilangkan keraguan dan ketakutan ini terletak kepada memahami secara menyeluruh mengenai pilihan rawatan perubatan yang sedia ada dan meletakkan kepercayaan kepada penjagaan profesional perubatan. Sokongan menyeluruh daripada keluarga dan kenalan rapat juga memainkan peranan penting dalam meredakan kebimbangan dan menggalakkan penyembuhan yang optimum semasa pesakit sedang bersedia untuk menjalani pembedahan dan menyediakan mental mereka untuk pulih. Dengan mengutamakan komunikasi secara terbuka dan akses kepada penjagaan yang komprehensif, penyedia penjagaan kesihatan berhasrat untuk memperkasakan pesakit untuk menjalani prosedur pembedahan mereka dengan yakin supaya mereka mendapat ketenangan fikiran dalam proses pemulihan mereka.

© 2024 BlackButterfly DesignArts