Lapan daripada sepuluh pengguna Malaysia ingin mengurangkan kesan terhadap alam sekitar

Kuala Lumpur, 14 November 2023 — Visa, pemimpin global dalam pembayaran digital, telah berkongsi hasil Kajian Sikap Pembayaran Pengguna di Malaysia[1], yang menunjukkan tahap kesedaran dan penerimaan yang semakin tinggi terhadap amalan penggunaan bertanggungjawab dalam kalangan pengguna Malaysia. Kajian tersebut mendapati lapan daripada sepuluh (80%) pengguna Malaysia menyedari kesan alam sekitar daripada penggunaan mereka terhadap masyarakat dan bercadang mengambil langkah-langkah untuk mengurangkan kesannya.

Lapan daripada sepuluh pengguna Malaysia ingin mengurangkan kesan terhadap alam sekitar

Kajian ini juga mendapati bahawa pengguna Malaysia menganggap pembayaran digital sebagai cara pembayaran yang lebih mesra alam berbanding tunai. Tiga daripada kaedah pembayaran paling mesra alam ialah dompet mudah alih (94%), perbankan Internet (93%), dan kad kredit, debit dan prabayar. (90%).

Ng Kong Boon, Pengurus Negara Visa bagi Malaysia berkata: “Visa mengakui tahap kesedaran yang meningkat dalam kalangan pengguna di Malaysia berhubung dengan kepentingan membuat pilihan lestari dan menyokong jenama-jenama yang mempunyai nilai-nilai sama dengan mereka. Kami benar-benar bertekad untuk mendorong perubahan positif dan amalan penggunaan yang bertanggungjawab. Menerusi usaha sama dan pakatan dengan syarikat-syarikat perniagaan yang berpegang kepada prinsip yang sama, kami akan terus merintis jalan dan membina masa depan yang lebih baik untuk semua.”

Berasaskan hasil kajian, 39 peratus daripada responden berkata mereka sudah pun mengambil langkah yang aktif untuk mengurangkan kesan alam sekitar daripada penggunaan mereka, manakala 41 peratus berkata mereka bercadang untuk mengambil langkah ke arah amalan penggunaan yang bertanggungjawab.

Dari segi jenama yang disokong oleh mereka, lebih daripada empat dalam sepuluh (43%) pengguna Malaysia berkata mereka akan memberikan sokongan aktif kepada syarikat-syarikat yang melabur dalam inisiatif Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) dan kelestarian.  Lima belas peratus daripada mereka sanggup membayar lebih untuk memberikan sokongan.

Kajian Visa juga memaparkan perangkaan tentang pilihan pengguna bagi penyelesaian pembayaran mesra alam. Hasil penemuan mendapati bahawa rakyat Malaysia sangat berminat dalam kad pembayaran lestari yang diperbuat daripada bahan kitar semula, dengan lebih separuh (68%) daripada responden menyatakan pilihan bagi kad tersebut. Tambahan lagi, 63 peratus responden menyatakan keinginan nyata untuk pendidikan terkhusus mengenai penggunaan lestari, yang menekankan keperluan bagi meningkatkan kesedaran dan memberikan panduan untuk membolehkan mereka membuat pilihan yang lebih bertanggungjawab.

Pengguna Malaysia juga sanggup menyumbang kepada tujuan ‘hijau’ seperti yang dilihat dalam kajian yang mendedahkan bahawa 56 peratus daripada pengguna sanggup menyumbang sebahagian daripada mata ganjaran bagi menyokong inisiatif yang tertumpu kepada pencemaran serta menggalakkan penggunaan bahan lestari dan perbelanjaan pengurusan sisa yang lebih cekap.

Pengguna sanggup memberikan sumbangan kepada beberapa matlamat alam sekitar utama, antaranya termasuk pencemaran udara dan air (41%), pengurusan sisa dan kitar semula (39%), dan kelestarian (37%). Di samping itu, pengguna menyatakan kesanggupan mereka untuk menyumbang kepada tujuan kemasyarakatan, seperti pemulihan bencana (26%), bekalan makanan untuk semua (25%), dan kesihatan awam (19%).

“Menyedari bahawa persekitaran pengguna sentiasa berubah, Visa terus berpegang teguh kepada usaha menggalakkan penggunaan bertanggungjawab menerusi inisiatif Alam Sekitar, Sosial, dan Tadbir Urus (ESG). Visa melancarkan Visa Eco Benefits tahun lepas, iaitu penyelesaian serba maju berasaskan kelestarian yang membolehkan pemegang kad bank yang mengambil bahagian untuk mengira jejak karbon yang dihasilkan menerusi transaksi mereka dan mendapatkan pilihan untuk melaksanakan pengimbangan karbon dan menyumbang kepada kebajikan menerusi laman web atau aplikasi bank pilihan pengguna. Menerusi tawaran pembayaran lestari ini, Visa berhasrat untuk memperkasakan pengguna Malaysia agar menjajarkan transaksi kewangan dengan nilai-nilai alam sekitar untuk membolehkan mereka memainkan peranan aktif dalam usaha mengurangkan jejak karbon mereka,” kata Ng Kong Boon.

© 2023 BlackButterfly DesignArts