Langkawi Rangkul Asia Best Awards 2022, Diiktiraf Sebagai Salah Satu Pulau Terbaik Di Asia Tenggara Oleh Travel + Leisure

Permata Tropika dan Khazanah Berharga untuk Peluang Percutian Menarik

Kuala Lumpur, 21 Julai 2022 – Langkawi, yang terdiri daripada gugusan 99 pulau di luar pantai Kedah, Malaysia merangkul Asia Best Awards 2022 dan diiktiraf sebagai salah satu Pulau Terbaik di Asia Tenggara baru-baru ini. Permata tropika yang menjadi tarikan utama di Malaysia ini terkenal dengan hutan bakau yang kaya dengan flora dan fauna, pemandangan yang unik, kedai membeli-belah bebas cukai dan tempat menarik yang mesra keluarga. Tidak dapat disangkal lagi bahawa Langkawi merupakan destinasi pelancongan yang sempurna untuk mencari kedamaian dan pengalaman mengujakan yang tidak dapat ditandingi di tempat lain.

Berada di kedudukan kelima di samping Phuket, Koh Samui dan Bali, Langkawi mempunyai banyak tawaran untuk pelancong dan pengunjung dari semua peringkat umur. Keindahan panoramanya boleh dilihat di kawasan seperti air terjun, kolam air panas, dan taman hutan. Langkawi digelar “Permata Kedah” kerana pulau ini adalah kawasan pertama di Asia Tenggara yang telah diberikan status Geopark UNESCO, atas keunikan pulau itu yang mempunyai pelbagai formasi batuan yang mengagumkan dan dikelilingi hutan purba, gua yang luas dengan stalaktit dan stalagmit, gua dan terowong bawah laut serta hidupan liar.

Langkawi Rangkul Asia Best Awards 2022, Diiktiraf Sebagai Salah Satu Pulau Terbaik Di Asia Tenggara Oleh Travel + Leisure

Sebagai agensi perintis dalam pembangunan pelancongan Langkawi, Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) memainkan peranan penting dalam menjadikan Langkawi sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia yang terkenal seperti sekarang.

Sejak penubuhannya, LADA sentiasa komited untuk meletakkan Pulau Langkawi sebagai salah satu daripada 10 destinasi pelancongan terbaik di dunia. “Ia merupakan satu penghormatan dan kami amat berbangga kerana telah memperoleh anugerah ini yang mengiktiraf Langkawi sebagai salah satu pulau terbaik di Asia Tenggara. Anugerah ini adalah bukti kepada usaha dan dedikasi berterusan kami terutamanya sepanjang pandemik ketika ketibaan pelancong ke pulau ini berada pada tahap yang kurang memuaskan. Walaupun berdepan pelbagai cabaran, kami tetap optimis dan memikul tanggungjawab untuk memastikan pulau ini berdaya tahan dalam perjalanannya ke arah pemulihan dan kekal menjadi destinasi pelancongan pilihan ramai,” kata Ketua Pegawai Eksekutif LADA, Encik Nasaruddin Abdul Muttalib.

Langkawi Rangkul Asia Best Awards 2022, Diiktiraf Sebagai Salah Satu Pulau Terbaik Di Asia Tenggara Oleh Travel + Leisure

“Dalam usaha kami untuk melangkah lebih jauh dan dengan lebih banyak sekatan perjalanan dilonggarkan, kami menjangkakan ketibaan lebih ramai pelancong antarabangsa yang berpotensi akan menggiatkan semula ekonomi dan merangsang pendapatan masyarakat setempat. Bagi merealisasi hasrat ini, kami memberi tumpuan kepada empat komponen utama iaitu Pelancongan Leisure (Antarabangsa & Domestik), Mesyuarat, Insentif, Persidangan dan Pameran (MICE) dan Acara Pelancongan. Pelan tindakan kami merangkumi mempromosikan pelancongan berkonsepkan hijau, mencipta pengalaman dan bertanggungjawab, insentif seperti membeli-belah bebas cukai dan mewujudkan tempat yang menarik untuk Instagram bagi memastikan kami dapat mengekalkan kedudukan kami sebagai salah satu pulau terbaik di Asia Tenggara,” tambah Nasaruddin.

Kejayaan manis ini turut diiringi dengan berita gembira apabila Four Seasons Resort Langkawi turut menerima anugerah The Best Beach and Upcountry Hotel in Malaysia 2022.

Tidak dinafikan bahawa kunjungan ke Langkawi pastinya akan menawarkan pengalaman tanpa batas yang begitu berharga. Dirahmati dengan cuaca panas sepanjang tahun, pulau ini menjadi destinasi yang mengujakan bagi mereka yang ingin berehat atau memuaskan naluri pengembaraan mereka dengan menyelam skuba atau snorkeling. Selain itu, mereka juga boleh menikmati keindahan desa dan landskap sawah padi dengan menerokai pulau itu dan menaiki kereta kabel yang mendebarkan ke Gunung Machinchang atau pergi meredah hutan dan menerokai kekayaan flora dan fauna yang tidak ditemui di tempat lain di dunia.

Jangan lepaskan peluang ini dan segera merancang percutian anda yang seterusnya ke Langkawi untuk merasai pengalaman yang mengujakan dan premium.

© 2023 BlackButterfly DesignArts