Langkah Keseimbangan: Menyusuri Kemudahan dan Keselamatan Dalam Talian bagi Memerangi Penipuan E-Dagang

Mendapat tawaran hebat dalam talian memang menyeronokkan dan patut dinikmati sewajarnya. Namun, ia juga berisiko tinggi bagi yang tidak berwaspada. Pelajari kaedah untuk memastikan keselamatan anda.

Berjual beli dalam talian kini sudah menjadi lumrah kehidupan, hinggakan kita terlupa bagaimana canggungnya berbuat demikian hanya beberapa tahun lalu. Ketika kita sedang menjejaki laluan ini, pandemik yang melanda telah melonjakkan proses ini dengan lebih pantas lagi. Malah, kita boleh dengan beraninya mengatakan ia telah meledakkan perubahan seismik dari segi cara kita melakukan transaksi harian, daripada hubungan sosial dan penerimaan berita hinggalah perniagaan, perbankan dan perdagangan. Secara umumnya, huruf `e-‘ telah ditambah kepada hampir apa sahaja dalam kehidupan kita hari ini.

Sementara ada kalangan kita yang menyesuaikan diri dengan pantas, yang lain pula mendapati perubahan daripada transaksi bersemuka kepada hanya menggunakan sentuhan hujung jari agak mencabar. (Ingat tak panggilan telefon daripada ibu bapa kita bertanya bagaimana hendak menggunakan aplikasi-aplikasi tertentu?)

Ketepikan semua gurauan, limpahan pengguna yang ramai di platform digital juga bermakna terdapat ramai pengguna baharu – dan selalunya naif – yang tanpa disedari, pembabitan mereka di dalam ekonomi digital juga bermakna mereka mungkin menjadi sasaran penipu atau scammers.

Melihat kepada skop penipuan dalam talian, penipuan e-dagang terutamanya, menyaksikan peningkatan yang tinggi. Data daripada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Polis Diraja Malaysia (JSJK, PDRM) mendedahkan bahawa terdapat 3,512 kes pada 2019, dan meningkat kepada 5,850 kes pada 2020. Trend peningkatan ini berterusan, dengan 9,545 kes pada 2021 dan 9,258 kes pada 2022, dan kelihatan seperti tiada yang dapat menghentikannya, dengan kes semasa sebanyak 7,911 setakat 31 Ogos 2023.

Apa yang paling teruk ialah kerugian akibat penipuan e-dagang juga turut meningkat tinggi, dari RM28 juta pada 2019 kepada RM140 juta pada 2022. Dengan hampir RM144.8 juta dicatatkan setakat 31 Ogos 2023, satu rekod negatif yang akan kita pecahkan.

Apa yang boleh kita lakukan untuk mengekang trend ini?

Malangnya, kita semua pernah melalui situasi sebegini. Menempah barang secara dalam talian dan kemudiannya dihantar terus ke pintu rumah kita sememangnya cukup menyenangkan. Digabungkan pula dengan kesukaan rakyat Malaysia terhadap tawaran hebat dan kita memiliki kombinasi yang amat bahaya di mana kita boleh terjebak di dalam muslihat dan penipuan wang yang kita susah-payah usahakan.

Langkah Keseimbangan: Menyusuri Kemudahan dan Keselamatan Dalam Talian bagi Memerangi Penipuan E-Dagang

Perkara seumpamanya boleh menjadi pengalaman perit bagi sesetengah orang, sementara orang lain seperti Ena Rahim lebih bernasib baik. Ena sudah menjadi pengguna Mudah.my sejak 2012 dan menggunakan platform itu untuk mencari rumah baharu bagi kucing, dengan berkongsi imej dan video secara langsung dengan pihak yang berminat. Namun, apabila beliau menerima panggilan daripada nombor telefon negara asing dengan kod yang tidak dikenali, beliau merasakannya agak aneh. Mereka meminta supaya kucing dihantar ke luar negara tetapi tidak menyediakan pembayaran. Susulan itu, mereka meminta Ena mengatur dan menanggung sendiri bayaran kurier tempatan.

“Sejak itu, saya semakin sedar. Saya akan memeriksa nombor telefon dan bank akaun di laman web Semak Mule PDRM dan menyekat nombor asing. Sekarang, saya juga menyimpan semua chat saya pada aplikasi Mudah.my sebab ia lebih selamat,” kata Ena. “Saya rasa ia adalah inisiatif yang cukup bagus oleh Mudah.my dan PDRM dalam membantu mendidik orang ramai mengenai penipuan, dan sangat membantu untuk memiliki sumber seperti #MudahDanSelamat dimana orang ramai boleh belajar kaedah memastikan diri mereka selamat daripada ditipu.”

Malangnya, ramai berfikir perkara itu tidak akan terjadi kepada mereka dan tidak berhati-hati, menjadikan cukup senang bagi penipu untuk mengambil kesempatan ke atas mereka. Pada masa yang sama, penipu kian berkemahiran tinggi untuk memanipulasi orang ramai. Perkara ini telah disaksikan dan dikesan berlaku berulang kali oleh pihak berkuasa serta platform e-dagang seperti Mudah.my.

“Selama bertahun, sejajar dengan penipu yang makin sofistikated,  Mudah.my juga telah berevolusi dan membangunkan lebih banyak alat dan fungsi bagi mengenal pasti dan menghalang penipu, dengan meningkatkan ciri-ciri keselamatan dan menubuhkan Pasukan Trust & Security khusus untuk memastikan keselamatan pengguna,” kata Gaurav Bhasin, CEO Mudah.my. “Ini termasuk pelbagai ciri keselamatan yang komprehensif di mana kami telah berjaya menghalang iklan penipu daripada disiarkan sebanyak 92% dalam tempoh hanya 7 bulan, mengurangkan chat spam penipuan daripada 15% kepada kurang daripada 1% dan mengurangkan laporan kegiatan penipuan daripada 300 kepada 50 sebulan.”

Antara panduan berguna bagi menjamin keselamatan anda dalam talian:

#1. Berwaspada terhadap sebarang tawaran yang terlalu hebat dan sukar dipercayai. Elakkan bertindak secara FOMO (bimbang terlepas peluang) kerana inilah jerat yang penipu nanti-nantikan.

#2. Jual dan beli di platform berwibawa seperti Mudah.my yang melindungi keselamatan pengguna dengan ciri-ciri keselamatan berkesan.

#3. Lakukan sedikit siasatan anda sendiri – selidik ulasan pengguna lain bagi mendapatkan pandangan sama ada penjual atau pembeli adalah berwibawa dan semak menerusi laman web Semak Mule untuk memeriksa no. akaun bank. Jika anda guna Mudah.my, sila klik pautan www.mudah.my/ccid untuk dihubungkan terus ke laman Semak Mule. Mudah.my adalah platform dalam talian pertama yang menyediakan fungsi ini.

Sebagaimana pengalaman yang Ena kongsikan, ada dua cara aktiviti penipuan berlaku: penipu menyamar sebagai pembeli dan sebagai penjual. Jadi, ia amatlah penting untuk anda sentiasa berwaspada, tidak kira bagaimana menariknya tawaran tersebut. Modus Operasi biasa diguna penipu adalah seperti berikut:

Mangsa = Pembeli  Mangsa = Penjual
Suspek/penjual tawar barangan pada harga sangat rendah (“tawaran tidak masuk akal”).  Mangsa/penjual iklankan barangan untuk jualan.
Mangsa/pembeli menghubungi suspek berkaitan barangan dan dipaksa membuat pembayaran segera kerana kononnya tawaran itu hanya untuk masa terhad.  Suspek/pembeli mendakwa dari luar negara dan menyatakan minat membeli banyak unit barangan tersebut, kemudian kemukakan resit palsu menunjukkan jumlah lebih besar daripada harga asal dimasukkan ke dalam akaun mangsa.  
Mangsa buat pembayaran tetapi barang tidak dihantar seperti dijanjikan.  Suspek meminta penjual memulangkan jumlah bayaran yang terlebih dengan segera. Mangsa tergesa-gesa membuat pembayaran tanpa memeriksa jika jumlah itu benar-benar telah dimasukkan ke dalam akaun banknya.  

Sebenarnya, penipuan berlaku di mana-mana sahaja. Mereka boleh memikirkan pelbagai cara untuk menipu dan memberikan penjelasan yang begitu menyakinkan supaya anda kekal berminat, malahan membuat permintaan yang aneh tetapi masih wajar. Jadi, melainkan anda mahu mengelak transaksi dalam talian selamanya (mustahil!), risiko akan sentiasa ada dan kita hanya perlu mengamalkan sikap berwaspada yang tinggi dengan elemen syak wasangka. Gunakan sebarang atau semua ciri-ciri keselamatan bagi mengelak diri anda terjebak ke dalam perangkap penipuan.

Jika anda mengesyaki diri anda telah menjadi mangsa scam, anda boleh menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di 997 (0800 – 2000) atau hotline (24/7) dan membuat laporan polis di mana-mana balai polis.

© 2023 BlackButterfly DesignArts