Kuala Lumpur, 28 Oktober 2021 – Kumpulan Touch ‘n Go, menerusi Touch ‘n Go eWallet, telah memeterai kerjasama strategik dengan Visa, pemimpin dunia dalam pembayaran digital.
Kerjasama ini bakal menyaksikan Touch ‘n Go eWallet menyertai Program Laluan Pantas Teknologi Kewangan Visa, yang memberikan Touch ‘n Go akses kepada rangkaian rakan niaga dan sekutu global Visa secara langsung. Program ini merupakan sebahagian daripada strategi global Visa untuk membuka rangkaiannya dan memberikan sokongan kepada pelbagai peserta yang sedang merangka pengalaman perdagangan baharu bagi pengguna dalam talian yang kini semakin arif. Kerjasama ini juga termasuk pembangunan penyelesaian kad prabayar yang terikat dengan kemudahan Touch ‘n Go eWallet. Penyelesaian ini dijangka disediakan kepada pengguna Touch ‘n Go eWallet pada 2022.
“Dalam suasana hari ini, kerjasama erat dan tawaran nilai yang nyata kepada pelanggan dan pengguna adalah satu-satunya cara untuk terus berkembang maju. Usaha sama strategik antara Touch ‘n Go dan Visa akan membawa kerjasama antara syarikat-syarikat kami menuju mercu lebih tinggi. Kedua-dua jenama memberi tumpuan kepada pelanggan, dan dengan kerjasama Visa, kami dijangka terus menyediakan perkhidmatan nilai tambah kepada pengguna e-Dompet kami,” kata Effendy Shahul Hamid, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan, Kumpulan Touch ‘n Go.
Menurut kajian Sikap Pembayaran Pengguna Visa[1], kedua-dua kad tanpa sentuhan (92 peratus) dan dompet digital (81 peratus) digunakan secara meluas di Malaysia. Data menunjukkan bahawa 77 peratus menggunakan kedua-dua kaedah pembayaran ini. Dengan kad prabayar Touch ‘n Go Visa yang akan disediakan, rakyat Malaysia boleh menikmati kelebihan kedua-dua pilihan sekali gus, kerana kad ini melengkapi kemudahan sedia ada yang ditawarkan oleh peniaga QR Touch ‘n Go eWallet di Malaysia dengan rangkaian luas Visa meliputi lebih daripada 70 juta lokasi perniagaan di seluruh dunia.
Ng Kong Boon, Pengurus Negara Visa bagi Malaysia berkata, “Memandangkan pandemik COVID-19 dijangka mempercepatkan peralihan negara ke arah menjadi masyarakat tanpa tunai sepenuhnya menjelang 2025, kami sukacita untuk bekerjasama dengan Touch ‘n Go untuk membolehkan lebih ramai pengguna memanfaatkan pembayaran digital dengan pengeluaran kad Visa. Menerusi kerjasama ini, kami juga berharap untuk bersama-sama melancarkan tawaran perkhidmatan kewangan dengan Touch ‘n Go bagi segmen pengguna yang bukan pelanggan bank dan masih kurang diberi perhatian di Malaysia, dengan memanfaatkan capaian global rangkaian rakan niaga Visa.”
Penyelesaian Prabayar Touch ‘n Go Visa bertujuan menambah baik pengalaman pembayaran bagi pelanggan Touch ‘n Go eWallet yang sedia ada. Kad Prabayar Touch ‘n Go-Visa akan menawarkan pilihan pengeluaran tunai tambahan kepada pengguna Touch ‘n Go eWallet menerusi kemudahan pengeluaran wang titik akhir di ATM yang menyediakan urus niaga VISA di dalam negara dan di peringkat global.
[1] Kajian Sikap Pembayaran Pengguna Visa dilaksanakan antara Ogos dan September 2020