You are currently viewing Kopi Kenangan, Syarikat F&B ‘Unicorn’ Pertama Dan Terbaharu Di Asia Tenggara Kini Melebarkan Sayapnya Ke Malaysia
From left to right_ Edward Tirtanata, CEO & Co-Founder, Kopi Kenangan and James Prananto, Chief Business Development Officer & Co-Founder, Kopi Kenangan

Kopi Kenangan, Syarikat F&B ‘Unicorn’ Pertama Dan Terbaharu Di Asia Tenggara Kini Melebarkan Sayapnya Ke Malaysia

Cawangan pertama di Suria KLCC menjadi pembuka tirai perkembangan antarabangsanya

Kuala Lumpur, 17 Oktober 2022 – Kopi Kenangan, rangkaian F&B paling pesat membangun dari Indonesia kini membuka cawangan pertamanya di Malaysia pada hari ini di Suria KLCC. Pelancaran kedai ini dirasmikan oleh Pengasas Bersama Kopi Kenangan, CEO Edward Tirtanata, dan Ketua Pegawai Pembangunan Perniagaan, James Prananto.

CEO dan Pengasas Bersama Edward Tirtanata berkata, “Kami memilih Malaysia sebagai destinasi perkembangan pemasaran pertama kami kerana kegemaran rakyat Malaysia terhadap makanan, perkembangan budaya kopi dan konsep makanan “grab-and-go”. Terdapat banyak persamaan cita rasa makanan rakyat Malaysia dengan Indonesia dan keinginan mereka untuk mencuba sesuatu yang baharu. Sektor F&B di Malaysia mempunyai masa depan yang cerah disebabkan pengalihan negara ke arah ekonomi digital pendapatan tinggi, dengan penekanan diberikan terhadap pendigitalan, selari dengan operasi perniagaan kami. Kami ingin mengeksport kejayaan model kopi “grab-and-go” kami dari Indonesia ke pasaran luar negara, bermula dengan Malaysia. Kami mengasaskan Kopi Kenangan dengan tujuan untuk menjadikan kopi berkualiti dengan harga yang lebih berpatutan dan mudah didapati untuk semua. Kami cukup teruja untuk berkongsi cita rasa kopi Indonesia bersama dengan sahabat-sahabat kami di Malaysia.”

Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Pembangunan Perniagaan James Prananto pula berkata, “Kopi Kenangan akan beroperasi di bawah jenama Kenangan Coffee sebagai nama rasminya di luar Indonesia. Kami ingin memberikan penekanan terhadap perkataan Kenangan kerana ia menggambarkan memori yang dicipta bersama. Semua pelanggan yang melawat kedai akan dilayan seperti seorang rakan, dan setiap cawan kopi yang dijual akan dibuat dengan kasih sayang, agar pelanggan kami juga dapat mencipta kenangan bersama dengan kami. Kami ingin menjadi jenama yang paling disukai pelanggan di Asia Tenggara, dan Malaysia akan memainkan peranan yang penting  dalam membantu kami mencapai matlamat ini.”

Kenangan Coffee akan membuka empat lagi cawangan di MyTown Cheras, Pavilion KL, NU Sentral KL dan Sunway Pyramid PJ menjelang akhir tahun ini. Ia juga telah melancarkan pusat latihan ‘Training Academy’ yang tersendiri di Uptown, PJ untuk menyediakan pelbagai program latihan untuk barista dan pekerjanya yang lain, dengan hasrat untuk menjadi pusat latihan F&B profesional terbaik di Malaysia. Selari dengan komitmennya untuk menyediakan kopi berkualiti terbaik kepada para pelanggan, jenama ini juga telah mendapatkan khidmat Mikael Jasin, Barista Ke-7 Terbaik di Dunia (2021) pada masa ini sebagai Pengarah Kopi (Head of Coffee) dan akan memanfaatkan kepakaran dan pengalamannya yang luas bagi merevolusikan cara Kenangan Coffee diperoleh, dihasilkan, dan dinikmati.

Kenangan Coffee akan memperkenalkan minuman istimewanya, Kenangan Latte (Gambar 1) dan Avocado Coffee (Gambar 2), serta pelbagai pilihan kopi lain. Setiap cawan kopi akan dijual pada harga permulaan RM5.90, selaras dengan janji jenama ini untuk menyediakan kopi berkualiti dengan harga berpatutan kepada semua. Kenangan Coffee juga akan menyediakan pelbagai juadah bersama dengan pilihan kopinya.

Untuk maklumat lanjut, sila layari: www.kenangancoffee.my