Tayangan serentak khas untuk filem ‘Dumbo’ dianjurkan untuk kanak-kanak istimewa dan yang kurang bernasib baik di seluruh negara
PETALING JAYA, 30 Mac – Salah sebuah rangkaian pawagam terbesar di Malaysia, MBO Cinemas bersama kumpulan NGO berfokuskan kanak-kanak, Kiwanis Malaysia, telah menganjurkan sebuah program amal khas untuk lebih dari 3,400 kanak-kanak berkeperluan khas dan yang kurang bernasib baik di seluruh negara.
Kembali untuk tahun ketiga, ‘Kiwanis-MBO Mega Movie Treats 3.0’ kali ini telah menganjurkan tayangan khas untuk filem Disney terbaru ‘Dumbo’ yang diadakan secara serentak di cawangan MBO Cinemas seluruh negara.
Majlis pelancaran program amal ini telah berlangsung di cawangan MBO Cinemas terbaru di Atria Shopping Gallery dan dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor untuk Kampung Tunku, YB Lim Yi Wei, yang disertai oleh Pengurus Besar Jualan dan Pemasaran MBO Cinemas, Jamie Tiong, dan Gabenor Kiwanis Malaysia, Ivan Oh.
Tetamu khas lain yang hadir ke majlis tersebut termasuk Ibu Kiwanis yang juga isteri kepada pendahulu Tan Sri Khir Johari, Puan Sri Khir Johari; Timothy Chu, Naib Presiden JCI Malaysia; dan En Kamarul Hisham Bin Hj Yeop Hashim, ahli Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ).
Gabenor Kiwanis Ivan Oh berkata, “Kerjasama dengan MBO untuk membawa peluang ini kepada kanak-kanak bukan sahaja membawa senyuman dan sorakan hari ini, tetapi lebih penting lagi, ia membantu mencetuskan imaginasi dan untuk mereka membawa pulang nilai-nilai bermakna seperti saling menerima perbezaan atau berusaha sehingga kejayaan dicapai.”
“Asas filem ‘Dumbo’ yang mengisahkan tentang seekor anak gajah yang dilahirkan dengan sepasang telinga yang amat besar, mempunyai pelbagai nilai positif seperti memupuk keyakinan diri dalam kalangan golongan berkelainan upaya untuk mencapai hasrat hidup dan kami berharap ia berfungsi sebagai penyuntik semangat kepada anak-anak istimewa ini,” tambah Ivan.
Pengurus
Besar Pemasaran dan Penjualan MBO Cinemas, Jamie Tiong, berkata bahawa MBO
Cinemas gembira kerana berpeluang untuk memanfaatkan kedudukan pasarannya
sebagai salah satu rangkaian pawagam terbesar di negara untuk membantu menambah
nilai kepada masyarakat menerusi acara amal sebegini.
“Program amal yang dijalankan secara
serentak di seluruh negara sememangnya memerlukan penyelarasan dan perancangan yang
menyeluruh dan kami berbangga kerana dapat bekerjasama dengan Kiwanis Malaysia
sekali lagi dalam menjadikan acara ini satu kejayaan yang hebat.
“Saya juga amat terharu apabila mendengar
bahawa untuk beberapa kanak-kanak di sini, ini kali pertama mereka menonton
wayang di pawagam. Kami harap mereka membawa pulang kenangan yang manis dari
pengalaman ini,” tambah Jamie.
Cawangan pawagam MBO Cinemas yang terlibat termasuk di Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Ipoh, Skudai, Kluang, Batu Pahat, Kota Tinggi, Teluk Intan, Taiping, Kuantan, Kulim, Melaka, Kota Kinabalu dan Kuching.
Program amal ini juga dijayakan oleh JCI Malaysia selaku rakan badan amal bersama Kiwanis Malaysia, manakala tajaan makanan dan minuman diberikan oleh penaja seperti Coca-Cola, Pizza Hut dan Dutch Lady.