Kitakerja.my Pelawa Rakyat Malaysia Sertai Inisiatif Pemadanan Kerja Bagi Membantu Kumpulan B40

  • Laman web bagi membantu Kumpulan B40 mendapatkan kerja
  • Memohon sokongan dari rakyat Malaysia untuk membantu rakyat Malaysia

PETALING JAYA, 24 Ogos 2021 – Kitakerja.my, sebuah inisiatif sosial menumpukan kepada pemadanan kerja bagi pencari kerja daripada kalangan berpendapatan Bawah 40 (“B40”) untuk majikan di negara ini, menyeru supaya lebih ramai rakyat Malaysia menghulurkan tangan membantu membina ekosistem pencari kerja dan majikan, dan pada masa sama, membantu pemulihan ekonomi.

Kitakerja.my merupakan ilham dua orang muda negara ini yang menyatukan sumber mereka bagi membantu sesama rakyat Malaysia di dalam kelompok B40 yang kehilangan pekerjaan.

Pengasas bersama Kitakerja.my Choong En Han berkata, “Sejak 18 bulan lalu, seluruh negara kita tertumpu kepada dua angka iaitu kes baharu COVID-19 dan kadar kematian, tetapi ada satu lagi angka yang telah menyelinap keluar daripada kehidupan kita tanpa disedari ramai, iaitu kadar pengangguran di negara ini.”

Terdapat lebih daripada 770,000 rakyat Malaysia yang menganggur, menurut Jabatan Perangkaan dalam laporan Jun 2021. Jabatan itu juga melaporkan kira-kira 100,000 rakyat Malaysia kehilangan kerja pada 2020 disebabkan pandemik, menurut bekas Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan dalam laporan bertarikh 9 Disember 2020.

“Kami memulakan kitakerja.my bagi memberikan rakyat Malaysia yang menganggur, terutama golongan B40 sebuah platform dimana mereka boleh membuat pemadanan kerja yang ditawarkan oleh majikan. Pekerjaan semakin sukar sekarang disebabkan perintah kawalan pergerakan yang telah kita alami sejak Mac 2020. Bersama dengan majikan dan pencari kerja, kita boleh saling membantu dan membantu pemulihan dan kemajuan ekonomi, dengan penawaran satu demi satu pekerjaan,’’ jelas Choong.

“Kita telah menyaksikan dengan mata kita sendiri bagaimana perniagaan terjejas teruk akibat pandemik COVID-19. Pembuangan pekerja sentiasa menjadi perkara terakhir dilakukan oleh mana-mana perniagaan. Kami mahu melaksanakan peranan kami di dalam membantu rakyat Malaysia yang terjejas akibat pandemik untuk membina semula kehidupan mereka, terutama mereka daripada kumpulan B40 yang paling terkesan akibat kegawatan kewangan,’’ Choong menambah kata, ‘’Kita perlu bertindak sekarang dan menjadi satu sebahagian daripada penyelesaian dan membentuk gerakan supaya Malaysia menjadi lebih baik, jika tidak, paras pendapatan isi rumah rakyat Malaysia akan terus menyusut.’’

Mohd Nizam Abdul Rahim, rakan pengasas bersama yang mengilhamkan inisiatif tersebut bersama Choong, berkata, ‘’Sumber-sumber kami adalah terhad dan kami benar-benar memerlukan bantuan rakyat Malaysia yang mempunyai kemahiran untuk membantu kami membina, mempromosi dan membangunkan inisiatif ini. Pada masa ini, kitakerja.my memadankan pencari kerja dan majikan secara manual tetapi kami mencari rumusan untuk mengautomasikan proses tersebut.’’

“Kami mempelawa pakar teknologi, jurulatih dan rakyat Malaysia secara umumnya, untuk menjadi sebahagian daripada gerakan ini. Jika anda mempunyai kemahiran dan idea untuk menjadi kitakerja.my platform yang lebih baik bagi membantu rakyat Malaysia yang memerlukan, silakan hubungi kami. Sumbangan anda boleh memadai dengan hanya berkongsi laman web kami kitakerja.my atau mengutus mesej menerusi WhatsApp bagi memastikan lebih ramai orang tahu mengenainya.’’

“Ramai yang menderita secara senyap, tetapi itu bukan caranya. Rakyat Malaysia wajar berganding bahu pada saat-saat sebegini dengan matlamat membina semula negara ketika kita bakal meraikan ulang tahun ke-64 Hari Kemerdekaan Malaysia. Diharapkan majikan yang mencari pekerja, boleh memberi peluang kepada rakyat Malaysia untuk mendapat pekerjaan. Dengan pencari kerja diambil bekerja, kesan gandaannya akan meningkatkan penggunaan persendirian dan kemuncaknya, semua orang akan untung di negara ini,’’ kata Nizam.

Selain memadankan pekerjaan bagi pencari kerja B40, kitakerja.my juga merancang untuk menjadikan mereka lebih berpotensi untuk mendapat kerja menerusi program latihan dan pembangunan di mana kemahiran vokasional bakal diberi penekanan.

Kitakerja.my merupakan inisiatif sosial dan pembinaan negara oleh rakyat Malaysia untuk rakyat Malaysia.  Kitakerja.my akan menjadi perusahaan sosial sebaik sahaja semua prasarana disiapkan. Choong dan Nizam adalah terbuka untuk membincangkan kemungkinan yang boleh membantu menaikkan kemahiran atau memahirkan semula pencari kerja B40. #jomkitakerjabersama

© 2023 BlackButterfly DesignArts