KESIHATAN WANITA: BUAT SARINGAN ATAU TIDAK?  

KESIHATAN WANITA: BUAT SARINGAN ATAU TIDAK?  

Setiap dekad membawa cabaran kesihatan baharu dan pemeriksaan kesihatan secara tetap boleh membantu mengesan masalah lebih awal. Dr Muralitharan Ganesalingam, Ketua Jabatan Obstetrik dan Ginekologi, Fakulti Perubatan, Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU) dan Pakar Perunding Obstetrik dan Ginekologi di IMU Healthcare, berkongsi beberapa nasihat supaya wanita lebih proaktif tentang kesihatan mereka.

Kebanyakan orang keberatan untuk menjalani pemeriksaan kesihatan. Lagipun, ia bukanlah satu idea yang menyeronokkan! Malah, setiap peluang yang ada digunakan untuk menangguhkan atau terus mengelak melakukannya. Kita berfikiran:

Lebih baik saya tak tahu apa-apa, Eloklah saya jalani sahaja hidup ini.

Untuk apa? Ia hanya membuang masa dan wang.

Menyusahkan sahaja. Saya lebih suka buat perkara lain.

Adakah sentimen ini seperti biasa anda dengar? Memanglah ia sesuatu yang normal untuk berasa begitu, terutama apabila merasakan hidup sudah cukup sibuk dengan urusan kerjaya dan keluarga. Namun begitu, pemikiran begini boleh memudaratkan kesihatan kita untuk jangka panjang. Wanita, apatah lagi seorang ibu, lebih cenderung untuk meletakkan keperluan orang lain melebihi keperluan sendiri[1]. Oleh itu, adalah penting untuk lebih ramai wanita belajar untuk mengutamakan diri dan menjadi pro-aktif tentang kesihatan mereka.

KESIHATAN WANITA: BUAT SARINGAN ATAU TIDAK?  

Dr Muralitharan Ganesalingam yang merupakan Ketua Jabatan Obstetrik dan Ginekologi, Fakulti Perubatan, Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU) dan Pakar Perunding Obstetrik dan Ginekologi di IMU Healthcare, memberi sedikit penerangan tentang salah tanggapan biasa dan beberapa nasihat praktikal mengenai pemeriksaan kesihatan dan bila boleh mula melakukannya.

Saya sihat-sihat sahaja; kenapa perlu buat pemeriksaan kesihatan?

“Matlamat ujian saringan adalah untuk mengesan perubahan dalam badan sebelum ia menjadi tidak terurus. Dengan cara ini, anda berpeluang mengubah suai gaya hidup dan mengelak penyakit tertentu,” jelas Dr Murali.

Secara ringkasnya, ini bermakna anda perlu menjalani pemeriksaan kesihatan semasa anda sihat!

Baiklah. Jadi, bila saya perlu mula menjalani pemeriksaan kesihatan?

Badan kita melalui proses penuaan semula jadi, dan matlamatnya adalah untuk menua secara sihat. Secara amnya, wanita berumur antara 19-24 tahun dianggap berada di kemuncak kesihatan. Selepas itu, bermula usia 25 tahun, lemak mula terkumpul terutamanya di pinggul, paha dan perut. Jisim otot pun semakin merosot. Dari umur 35 tahun, jisim tulang berkurangan pada kadar 0.5-1% setahun, katanya.

Semua itu adalah perubahan semula jadi walaupun setiap orang ada perbezaannya. Dr Murali menasihati supaya pemeriksaan tahunan dilakukan sejurus mencapai usia dewasa, contohnya apabila anda mula bekerja, dan dua kali setahun selepas berumur 45 tahun.

Ada begitu banyak jenis ujian! Ujian saringan yang manakah harus saya utamakan?

Statistik penyakit tidak berjangkit seperti diabetes, tekanan darah tinggi dan kolesterol tinggi telah meningkat selama bertahun-tahun. Oleh itu, beliau mencadangkan pemeriksaan kesihatan tahunan untuk semua orang dewasa yang sihat harus bermula dengan:[2] [3]

  • Tekanan darah untuk memeriksa hipertensi. Penyakit yang dikenali sebagai pembunuh senyap ini berkembang tanpa gejala yang ketara dan menjejaskan tiga daripada 10 rakyat Malaysia, iaitu kira-kira 6.4 juta orang serta meningkatkan risiko strok dan serangan jantung.
  • Kiraan darah untuk mengesan penyakit seperti anemia. Secara purata, anemia menjejaskan tiga daripada 10 orang wanita berumur 15-49 tahun dan boleh menyebabkan komplikasi semasa hamil seperti keguguran dan kelahiran pramatang.
  • Ujian glukosa darah untuk memeriksa diabetes. Kira-kira satu daripada lima orang dewasa menghidap diabetes, bersamaan dengan 3.9 juta orang dewasa.
  • Indeks Jisim Badan (BMI) untuk memantau kenaikan berat badan dan membantu mencegah obesiti. Statistik kebangsaan menunjukkan bahawa satu daripada dua orang dewasa mempunyai berat badan berlebihan atau obes, manakala seorang daripada dua orang mempunyai obesiti perut, di mana wanita masing-masing menyumbang 54.7% dan 64.8%.
  • Ujian lipid untuk memeriksa peningkatan paras kolesterol yang boleh menyebabkan penyakit jantung. Sekitar empat daripada 10 rakyat Malaysia, iaitu kira-kira 8 juta orang mengalami tahap kolesterol yang tinggi. Wanita lebih berkemungkinan mempunyai tahap lebih tinggi berbanding lelaki. Walaupun begitu, seorang daripada 4 orang tidak menyedari yang mereka mempunyai kolesterol tinggi.
  • Fungsi buah pinggang dan profil hati kerana penyakit buah pinggang kronik menjejaskan seorang daripada tujuh orang rakyat Malaysia, dan diabetes merupakan faktor risiko yang ketara.

Apabila usia anda meningkat, Dr Murali turut mengesyorkan pemeriksaan mata tahunan, ujian pendengaran dan pemeriksaan pergigian.

Apa pula ujian yang khusus untuk wanita?

Beberapa ujian saringan amat penting untuk wanita, iaitu ‘pap smear’ untuk memeriksa kanser serviks, pemeriksaan payudara untuk mengesan kanser payudara dan imbasan kepadatan mineral tulang untuk mengesan osteoporosis.

Kanser serviks

“Salah satu penyakit khusus apabila wanita semakin meningkat ialah kanser serviks. Berdasarkan sejarah, kanser serviks pernah menjadi salah satu kanser yang dominan di kalangan wanita, dengan 500,000 kes baharu setahun di seluruh dunia dan 250,000 kematian. Disebabkan kita mempunyai program saringan yang cekap melalui penggunaan pap smear, kita berupaya mengurangkan kes kanser serviks dengan banyak sekali. Ia adalah kemajuan paling ketara dalam kawalan kanser. Justeru, pemeriksaan tahunan untuk kanser serviks adalah sesuatu yang sangat saya galakkan,” kata Dr Murali.

Ujian pap smear melibatkan pengambilan sedikit sampel tisu dari serviks, yang akan diperiksa untuk keganjilan atau perubahan yang boleh menjadi tanda kanser serviks. Bagaimanapun, di sebalik keberkesanannya sebagai ujian saringan, satu kajian baru-baru ini mendapati hanya 45% wanita Malaysia pernah menjalani ujian tersebut, katanya.

Kanser payudara

Kanser payudara kekal sebagai kanser yang paling biasa dihidapi wanita Malaysia. Mengikut anggaran baru-baru ini, seorang daripada 20 orang wanita akan menghidapnya dan sekurang-kurangnya sembilan individu mati akibat kanser payudara setiap hari. [4]  Walaupun statistiknya begitu, hanya seorang daripada dua orang wanita berumur 18 tahun ke atas yang melakukan pemeriksaan payudara sendiri dan hanya seorang daripada empat wanita berusia 40 tahun ke atas yang pernah menjalani ujian mamogram. [5]

Memandangkan kanser payudara boleh dirawat apabila dikesan pada peringkat awal, adalah penting bagi semua wanita berdisiplin melakukan pemeriksaan kendiri payudara dan pemeriksaan tahunan oleh doktor yang akan menasihati jika ujian mamogram diperlukan, ujar Dr Murali.

Osteoporosis

Akhir sekali, apabila ketumpatan mineral tulang berkurangan seiring usia dan risiko patah tulang meningkat, wanita yang sudah menopaus berusia 50 tahun ke atas harus disaring. Dalam kalangan warga emas berumur 65 tahun ke atas, saringan hendaklah dilakukan sekurang-kurangnya sekali setahun, mengikut garis panduan Malaysia.[6]

Apa yang doktor maksudkan apabila mereka menyebut ‘berisiko tinggi’?

Terdapat perkara tertentu seperti sejarah keluarga dan faktor gaya hidup yang meningkatkan risiko anda mengalami masalah kesihatan tertentu, jelas Dr Murali. Faktor yang mungkin memerlukan pemeriksaan lebih kerap ialah peningkatan usia, sejarah keluarga, tahap tekanan yang tinggi dan tabiat gaya hidup seperti merokok, pengambilan alkohol dan mempunyai ramai pasangan seksual. Beliau juga mengingatkan bahawa kesan tabiat gaya hidup hanya dapat dilihat di usia tua dan tekanan kronik yang dihadapi sama ada dari pekerjaan, keluarga atau situasi kewangan, adalah ancaman besar kepada kesihatan.

Kata-kata nasihat akhir

Menyedari bahawa lebih ramai orang mengambil serius perihal pemeriksaan kesihatan, kita tetap perlu melakukannya dengan berhati-hati kerana ujian yang tidak perlu boleh menyebabkan perasaan cemas. Sebagai contoh, ujian mamogram tahunan mungkin tidak perlu dilakukan kerana keputusan keabnormalan boleh mencapai sehingga 50%, tetapi tidak semua menjadi kanser. Oleh itu, Dr Murali mengingatkan bahawa ujian saringan hanya munasabah jika ia diperlukan dan boleh membawa kepada peningkatan kesihatan.

Akhirnya, apa yang penting adalah untuk anda berkomunikasi dengan doktor mengenai sebarang kebimbangan kesihatan dan membincangkan sama ada pemeriksaan kesihatan boleh memberi manfaat kepada anda berdasarkan usia, gaya hidup dan sejarah keluarga anda.

© 2023 BlackButterfly DesignArts